Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: S'pura harus bersedia hadapi gelombang jangkitan kedua, 'boleh dicegah' jika semua orang mainkan peranan, kata Gan Kim Yong

Singapura harus bersedia menghadapi gelombang kedua jangkitan COVID-19, dan mesti melakukan yang terbaik untuk mengelaknya, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Jumaat (17 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: S'pura harus bersedia hadapi gelombang jangkitan kedua, 'boleh dicegah' jika semua orang mainkan peranan, kata Gan Kim Yong

(Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Diterbitkan : 17 Jul 2020 09:48PM Dikemas Kini : 18 Jul 2020 02:57PM

SINGAPURA: Singapura harus bersedia menghadapi gelombang kedua jangkitan COVID-19, dan mesti melakukan yang terbaik untuk mengelaknya, menurut Menteri Kesihatan Gan Kim Yong pada Jumaat (17 Jul).

Bercakap di sidang media pasukan bertindak pelbagai kementerian, Encik Gan menarik perhatian kemunculan semula kes COVID-19 di negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, Australia dan Hong Kong, dengan kelompok besar terbentuk di acara keagamaan, pusat-pusat hiburan malam, restoran dan di sekolah.

Beliau juga menekankan kelompok baru itu disebabkan individu-individu yang keluar rumah meskipun tidak sihat, tidak mengamalkan jarak selamat, atau mudah berjangkit disebabkan oleh kelemahan protokol pengurusan selamat di tempat kerja.

"Kita harus bersiap sedia menghadapi gelombang kedua tetapi kita harus melakukan yang terbaik untuk mengelaknya jika kita boleh," kata Encik Gan, sambil menambah bahawa terdapat "pengajaran berguna" daripada situasi di negara lain.

"Disebabkan itu di Singapura, kita mengambil pendekatan berhati-hati dalam menarik balik sekatan bagi beberapa aktiviti yang kita tahu lebih berisiko.

"Bagi mereka yang perlu terus berfungsi seperti tempat-tempat kerja, kita sudah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan risiko penularan di tempat-tempat itu. Beberapa langkah itu menyebabkan kesulitan, tetapi ia lebih baik memastikan keselamatan kita."

Pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan Encik Kenneth Mak berkata pasukan bertindak mendapati "sejumlah" jangkitan berlaku di tempat kerja, dan ada kelompok yang muncul daripada beberapa kes yang di tempat kerja menjangkiti ahli keluarga sendiri.

MOH katanya akan terus melaksanakan langkah-langkah "agresif" dalam mengawal dan mengasingkan semua kontak rapat kes COVID-19 untuk memutuskan rangkaian jangkitan,tambahnya.

Jumlah kes dalam masyarakat yang tidak berkaitan masih merupakan tumpuan utama, dan kebanyakan mereka dikenal pasti menerusi ujian rutin yang dijalankan ke atas pekerja barisan hadapan, mereka yang bekerja dalam sektor binaan, marin dan pemrosesan, kata Profesor Madya Mak.

Dengan "pengembangan ketara" aktiviti ekonomi serta interaksi sosial sejak permulaan Fasa 2, Singapura harus menjangkakan jumlah kes meningkat, menurut Encik Gan, sambil menambah bahawa pengesanan awal dan langkah kawalan adalah penting untuk mencegah lebih banyak jangkitan dan kemunculan kelompok-kelompok besar.

"Gelombang kedua boleh dicegah jika semua orang memainkan peranan. Dan saya yakin jika sesiapa boleh melakukannya, rakyat Singapura boleh."

Encik Gan menekankan bahawa meskipun jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat sudah meningkat sejak langkah "circuit breaker" ditarik balik sekitar sebulan setengah lalu, jumlah purata terus "kekal rendah" - sekitar 12 kes sehari pada minggu lalu, iaitu sama dengan minggu pertama Julai.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan