COVID-19: Risiko kes diimport meningkat; rakyat dinasihatkan tangguh semua perjalanan ke luar negara
Rakyat Singapura pada Rabu (18 Mac) dinasihatkan untuk menangguhkan semua perjalanan ke luar negara, serta merta, di tengah-tengah risiko kes COVID-19 diimport ke Singapura yang meningkat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Encik Lawrence Wong. (Gambar: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Rakyat Singapura pada Rabu (18 Mac) dinasihatkan untuk menangguhkan semua perjalanan ke luar negara, serta merta, di tengah-tengah risiko kes COVID-19 diimport ke Singapura yang meningkat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Dalam satu kenyataan media, MOH menyatakan bahawa nasihat perjalanan itu menggantikanarahan yang dikeluarkan pada Ahad, yang meminta rakyat menangguhkan semua perjalanan ke luar negara yang tidak penting. Nasihat perjalanan yang diperluaskan itu adalah "untuk mengurangkan risiko rakyat Singapura dijangkiti virus itu semasa di luar negara dan menjangkiti rakyat Singapura yang lain apabila mereka pulang ke Singapura nanti," tambah kementerian itu.
Selain itu, semua rakyat Singapura, penduduk tetap, pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek yang memasuki Singapura mulai pukul 11.59 malam pada Jumaat akan diberi Notis Jangan Keluar Rumah selama 14 hari.
Bagi penduduk Singapura dan pemegang pas jangka panjang yang datang dari wilayah Hubei di China, mereka akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.
Mereka juga harus menunjukkan bukti tempat di mana mereka akan melaksanakan Notis Jangan Keluar Rumah, sebagai contoh, tempahan hotel yang meliputi seluruh tempoh itu atau tempat penginapan yang dimiliki mereka atau anggota keluarga masing-masing.
Mereka yang diberi Notis Jangan Keluar Rumah tidak boleh meninggalkan tempat penginapan mereka sepanjang tempoh dua minggu.
Seperti diumumkan sebelum ini, pelawat jangka pendek yang pernah ke tanah besar China, Perancis, Jerman, Iran, Itali, Korea Selatan dan Sepanyol tidak dibenarkan masuk atau membuat persinggahan di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.