Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: Rawatan fisioterapi online pastikan rawatan tidak terhenti

 Sesi terapi bagi pesakit luar dikategorikan Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai khidmat tidak penting di bawah tempoh 'circuit breaker' COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sesi terapi bagi pesakit luar dikategorikan Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai khidmat tidak penting di bawah tempoh 'circuit breaker' COVID-19.

Bagaimanapun ini tidak bermakna khidmat klinik-klinik yang menawarkan rawatan fisioterapi turut terhenti.

Sebaliknya, para pesakit kini boleh mendapatkan nasihat dan rawatan fisioterapi menerusi sidang video atau tele-video.

Pesakit tidak boleh ke hospital atau ke klinik dan ahli fisioterapi juga tidak boleh datang ke rumah pesakit.

Namun ahli terapi The Rehab Lab SG, seperti Encik Muhd Fadhli masih dapat terus memberikan khidmat menerusi kaedah ini.

Sehubungan itu, platform maya yang menawarkan khidmat nasihat kesihatan bukan baru, tapi hakikatnya ia lebih berguna sekarang demi memastikan rawatan tidak terhenti.

Contohnya bagi pesakit seperti Cik Syima Jimmy 23 tahun.

Jururawat sambilan itu memilih melakukan terapi secara online bagi masalah sakit belakang yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu.

Setiap sesi secara online ini berlangsung antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada keadaan pesakit.

"Jikalau kami mengadakan sesi di klinik, Encik Fadhli dapat mengaktifkan otot-otot yang tertentu dengan pemegangan, menunjuk, memegang, mengurut, memicit tetapi tidak secara virtual. Kekurangan itu tidak mengehadkan fisioterapi saya untuk memberi tips-tips dan juga untuk memantau pergerakan ataupun kemajuan yang saya dapat buat secara harian di rumah," menurut Cik Syima.

Menurut Encik Fadhli, beliau mengadakan sekitar 5 sesi konsultasi menerusi tele-video setiap hari.

Beliau akur, biasanya pesakit lebih muda yang lebih terbuka dengan cara begini.

"Kita dapat lihat yang pesakit-pesakit yang lebih lanjut usia, mereka lebih sukar untuk mereka menggunakan teknologi. Tetapi tiada masalah sebab semua berada di rumah, jadi anak-anak dapat membantu," ujar Encik Fadhli.

Beliau menawarkan terapi bagi penyakit seperti sakit sendi dan sakit belakang.

Namun ada penyakit di mana kaedah tele-video masih tidak begitu sesuai digunakan.

"Jadi secara amnya senaman-senaman itu boleh dilakukan tetapi bagi sebahagian daripada mereka seperti yang pesakit angin ahmar, kita perlu ada di sana," kata Encik Fadhli lagi.

Beliau menasihati sesiapa yang boleh melakukan terapi di rumah supaya terus berbuat demikian supaya proses pemulihan dapat dipercepatkan sementara menunggu klinik dibuka semula. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan