COVID-19: Potongan yuran tajaka dilanjutkan sebulan lagi
Semua pusat jagaan kanak-kanak digesa supaya melanjutkan potongan yuran 50 peratus bagi kanak-kanak rakyat Singapura yang tidak menghadiri prasekolah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan pada Mei.

Seorang ibu menghantar anak lelakinya ke pusat tadika. (Gambar fail: Alif Amsyar)
SINGAPURA: Semua pusat jagaan kanak-kanak digesa supaya melanjutkan potongan yuran 50 peratus bagi kanak-kanak rakyat Singapura yang tidak menghadiri prasekolah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan pada Mei.
"Jumlah tersebut akan dicatat dalam invois bermula atau pada bulan Jun bergantung kepada dasar setiap tajaka," menurut Ketua Eksekutif Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), Cik Jamie Ang, dalam surat kepada ibu bapa serta penjaga pada Khamis (30 Apr).
Potongan yuran sebanyak 50 peratus itu diberikan kepada kanak-kanak yang terus berdaftar pada Jun dan selepas mengambil kira GST serta subsidi prasekolah.
Ibu bapa kanak-kanak prasekolah menerima potongan 50 peratus yuran sekolah mereka selama sebulan apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan dilaksanakan pada April.
Pada 21 April, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan tempoh pemutus jangkitan itu dilanjutkan selama empat minggu lagi, dari 5 Mei ke 1 Jun.
Cuti sekolah tadika dipercepatkan ke bulan Mei sementara perkhidmatan am di khidmat tajaka terus digantung semasa tempoh pemutus jangkitan yang dilanjutkan.
ECDA menyatakan pengecualian yuran itu berbeza bergantung kepada keadaan kewangan setiap pusat tajaka.
"Kami berharap ibu bapa memahami bahawa pusat jagaan kanak-kanak mungkin perlu mempelbagaikan bagaimana ia dapat memberikan pengecualian itu bergantung kepada keadaan kewangannya," kata Cik Ang.
"Pusat jagaan kanak-kanak tidak serangam dan bantuan Pemerintah mungkin tidak dapat menampung seluruh kos operasi, bergantung kepada struktur pembiayaan dan gabungan tenaga kerja."
Beliau menambah: "Pengendali tajaka mungkin mempelbagaikan bagaimana potongan yuran itu disediakan. Sebilangan daripadanya mungkin perlu membahagikan
jumlahnya sepanjang beberapa bulan atau sehingga keadaan bertambah baik, atau memberikan potongan dalam jenis lain seperti kelas tambahan semasa luar waktu program, sumber pembelajaran atau aktiviti pada masa depan."
ECDA juga akan terus menyokong ibu bapa dengan subsidi prasekolah dan secara automatik mengecualikan syarat biasa bagi layak subsidi prasekolah pada Mei 2020.
Ibu bapa yang pendapatannya terjejas boleh mendapatkan bantuan prasekolah untuk memohon bagi subsidi mereka dinilai semula sehingga mereka memenuhi syarat mendapatkan subsidi yang lebih tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.