COVID-19: Pasukan robotik perempuan Aghan buat alat bantuan pernafasan kos rendah
Sekumpulan remaja perempuan dikenali sebagai "Afghan Dreamers", membina prototaip alat bantuan pernafasan menggunakan motor daripada kereta dan rantai motosikal.
(Gambar: REUTERS/Jalil Ahmad)
HERAT,Afghanistan: Sekumpulan remaja perempuan dikenali sebagai "Afghan Dreamers", membina prototaip alat bantuan pernafasan menggunakan motor daripada kereta dan rantai motosikal.
Pasukan robotik remaja perempuan itu sebelum ini pernah memenangi anugerah antarabangsa bagi robot ciptaan mereka.
Sejak Mac lalu, kumpulan dari Herat itu, yang merupakan kawasan di mana kes pertama COVID-19 dilaporkan di Afghanistan bergabung tenaga untuk menghasilkan alat bantuan pernafasan kos rendah.
Mereka mengambil masa hampir empat bulan untuk menyiapkan alat tersebut, yang sebahagiannya,berasaskan reka bentuk dari Institut Teknologi Massachusetts(MIT).
Kumpulan remaja itu juga mendapat bimbingan daripada pakar di Universiti Harvard.
Alat yang mereka hasilkan, mudah dibawa, menggunakan kuasa bateri sehingga 10 jam dan berharga sekitar AS$700 (S$970) berbanding harga alat pernafasan tradisional sebanyak AS$20,000 (S$27,800).
"Kami amat teruja dapat mengambil langkah pertama dalam bidang perubatan dan dapat menyelamatkannyawa dengan usaha kami,"kata salah seorang anggota pasukan Somaya Faruqi, 18 tahun kepada Reuters.
Meskipun alat itu masih perlu menjalani ujian akhir daripada pihak berkuasa kesihatan sebelum boleh digunakan, para pegawai amat mengalu-alukannya dek sistem kesihatan yang musnah teruk akibat berpuluh-puluh tahun dilanda perang.
Afghanistan hanya mempunyai kemudahan alat bantuan pernafasan sebanyak 800 unit untuk merawat jumlah pesakit COVID-19 yang semakin meningkat.
Setakat ini sekitar 35,500 kes COVID-19 dicatatkan di negara ini dengan 1,181 kematian.
Namun, menurut para pakar, angkanya mungkin jauh lebih tinggi disebabkan jumlah ujian yang rendah.
Dengan kadar celik huruf hanya 30 peratus di negara mereka, remaja-remaja ini berharap projek mereka menjadi inspirasi kepada orang ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.