Skip to main content

COVID-19: NGO lancar inisiatif bantu pekerja asing

 Inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh masyarakat dilancarkan bagi membantu para pekerja asing yang terjejas oleh langkah "pemutus rantaian" Singapura yang bertujuan mengekang penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: NGO lancar inisiatif bantu pekerja asing

(Gambar: Cai Yinzhou)

Diterbitkan : 10 Apr 2020 03:04PM Dikemas Kini : 10 Apr 2020 03:05PM

SINGAPURA: Inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh masyarakat dilancarkan bagi membantu para pekerja asing yang terjejas oleh langkah "pemutus rantaian" Singapura yang bertujuan mengekang penularan COVID-19.

COVID Migrant Support Coalition, sebuah kumpulan tidak formal yang dianggotai oleh para relawan dari Geylang Adventures, itsRainingCoats, Singapore Migrant Friends dan Migrant X Me, mengagihkan makanan tengah hari dan malam sejak Selasa (7 Apr), apabila langkah-langkah tersebut dikuat kuasakan.

Pada Khamis, mereka mengagihkan makanan tengah hari dan malam bernilai S$2,178 sebanyak 254 bungkus bagi setiap agihan - ke lapan kawasan, menurut perangkaan yang dikumpulkan oleh pengasas Geylang Adventures Encik Cai Yinzhou.

Di bawah langkah yang dikuat kuasakan pada Selasa, para pekerja warga asing yang tidak tinggal di asrama yang diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan, dibenarkan untuk meninggalkan tempat tinggal mereka untuk membeli barangan keperluan.

Bagaimanapun tanpa arahan jelas, beberapa pekerja ini bimbang untuk meninggalkan premis mereka, manakala yang lain diberitahu oleh majikan mereka untuk kekal berada di dalam, kata Encik Cai, yang menerajui usaha mengagihkan makanan percuma itu.

Laporan berita yang melaporkan bahawa para pekerja asing dilarang meninggalkan asrama mereka juga menyebabkan mereka berasa lebih bimbang, tambahnya.

Kebanyakan penerima bantuan itu tinggal di kilang yang ditukar kepada asrama atau tempat tinggal sementara di tapak binaan, yang biasanya dikendalikan oleh syarikat yang menggajikan pekerja yang tinggal di tapak binaan, kata Encik Cai.

Selain menghantar makanan, para relawan akan menggunakan wang derma daripada orang awam untuk membeli keperluan lain, seperti, telur, tisu tandas dan sabun yang akan diagihkan kepada para pekerja. Beberapa individu juga tampil untuk mendermakan barangan tersebut.

Mulai minggu depan, SDI Academy merancang mengagihkan sekurang-kurangnya 2,500 pek kebajikan yang mengandungi cecair pembasmi kuman, beras, minyak dan pelitup.

Ia kini sedang mengumpulkan derma dan menyediakan beg tersebut, menurut ketua eksekutif pertubuhan itu, Encik Sazzad Hossain. Pek itu akan diagihkan kepada para pekerja yang tinggal di kilang yang diubah kepada asrama.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita