Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: Malaysia lancar program saringan bagi pekerja asing di kawasan berisiko tinggi bermula 1 Dis

Kementerian Sumber Manusia (KSM) Malaysia akan melaksanakan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula Selasa depan (1 Disember).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Malaysia lancar program saringan bagi pekerja asing di kawasan berisiko tinggi bermula 1 Dis
Diterbitkan : 28 Nov 2020 09:25PM Dikemas Kini : 28 Nov 2020 09:28PM

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) Malaysia akan melaksanakan Program Saringan COVID-19 Bagi Pekerja Asing secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi, bermula Selasa depan (1 Disember).

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan dalam kenyataan hari ini (28 Nov) berkata bagi membolehkan program dijalankan secara komprehensif, saringan COVID-19 ini akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama klinik dan hospital swasta.

“Ujian saringan ini akan menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan kit ujian akan dibiayai oleh Perkeso.

“Majikan hanya perlu membiayai kos perkhidmatan yang dikenakan oleh klinik atau hospital. Bagi pekerja asing yang bukan pencarum Perkeso, kos saringan perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan ini akan dijalankan secara berjadual dan berperingkat dengan memberi tumpuan kepada daerah-daerah yang berisiko tinggi, di mana ia akan dimulakan dengan pekerja-pekerja asing di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa depan.

“Lain-lain daerah zon merah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan bermula pada 9 Disember depan manakala seluruh negeri Sabah, Labuan dan lain-lain daerah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan bermula pada 16 Disember,” katanya.

Encik Saravanan berkata program saringan ini merupakan kolaborasi di antara agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh, yang meliputi aspek saringan, pemantauan dan pengurusan kes selepas ujian dijalankan.

Beliau berkata program ini akan dikuatkuasakan oleh KSM di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi mencegah penularan COVID-19 di kalangan pekerja asing.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan