COVID-19: Lelaki warga China didakwa cuba sogok pegawai polis di stesen MRT Boon Lay
Seorang lelaki berusia 27 tahun didakwa pada Jumaat (8 Mei) kerana cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.
(Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 27 tahun didakwa pada Jumaat (8 Mei) kerana cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.
Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Chen Long,seorang warga China menawarkan S$50 kepada pegawai Komand Keselamatan Pengangkutan Awam di Stesen MRT Boon Lay pada sekitar pukul 6.00 petang pada Khamis.
Pegawai Chan Hui Shi bagaimanapun menolak suapannya.
CPIB menyatakan bahawa Chen menawarkan rasuah itu sebagai "ganjaran supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadapnya" setelah dia didapati melanggar Peraturan 3A(1)(a) bagi Peraturan COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020.
Peraturan itu mewajibkan semua orang memakai pelitup bagi menutup bahagian hidung dan mulut setiap masa apabila mereka keluar rumah.
Sebagai sebahagian daripada langkah lebih ketat untuk membendung penularan COVID-19, orang ramai kini diwajibkan memakai pelitup di tempat awam kecuali dibenarkan oleh undang-undang.
Chen akan dihadapkan ke mahkamah bagi sidang praperbicaraan pada 15 Mei.
Jika sabit kesalahan berkaitan rasuah Chen boleh didenda sehingga S$100,000 dan dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.