Skip to main content

COVID-19: Calon yang tidak dapat fail Borang Pencalonan boleh benarkan proksi serah borang

Rakyat Singapura keluar mengundi pada Jumaat, 10 Julai. Hari Penamaan Calon pula jatuh pada 30 Jun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Jun 2020 07:27PM Dikemas Kini : 24 Jun 2020 09:24PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura keluar mengundi pada Jumaat, 10 Julai. Hari Penamaan Calon pula jatuh pada 30 Jun ini.

Jabatan Pilihan Raya mengumumkan sembilan pusat bagi penamaan calon pada Selasa depan.

Semua bakal calon harus mematuhi peraturan dan prosedur pada Hari Penamaan Calon.

Pada kali ini, calon-calon yang tidak dapat memfailkan Borang Pencalonan mereka sendiri atas sebab-sebab kesihatan atau kerana menjalani Notis Jangan Keluar Rumah COVID-19 boleh membenarkan proksi untuk menyerahkan borang tersebut bagi pihak mereka.

Pada Hari Penamaan Calon, bakal calon perlu menghantar satu set borang yang lengkap.

Borang-borang tersebut adalah borang pencalonan dan sijil derma politik yang menyenaraikan sumbangan derma yang diterima dan pengisytiharan ia dari penderma yang dibenarkan.

Para bakal calon dari kaum minoriti yang akan bertanding dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan atau GRC perlu juga mendapatkan sijil dari Jawatankuasa Masyarakat Melayu atau Jawatankuasa Masyarakat India atau Jawatankuasa Kaum-kaum Minoriti Lain.

Lima anggota Jawatankuasa Masyarakat Melayu dipengerusikan Encik Yatiman Yusof.

Pada masa lalu, calon-calon perlu ke Jabatan Pilihan Raya untuk mendapatkan borang-borang tersebut.

Bagaimanapun, mulai pilihan raya umum akan datang, borang-borang itu boleh dimuat turun melalui khidmat digital baru di laman Jabatan Pilihan Raya.

Para bakal calon boleh menggunakan SingPass mereka untuk log masuk ke dalam sistem tersebut dan Pengesahan Dua Faktor (2FA).

Sebagai sebahagian daripada proses permohonan juga, kertas penamaan hendaklah juga mengandungi tandatangan calon, pencadang, penyokong dan sekurang-kurangnya empat orang saksi.

Mereka merupakan para penduduk di kawasan undi yang hendak ditandingi calon berkenaan.

Walau bagaimanapun, borang-borang pencalonan masih perlu dicetak dan diserahkan kepada Pegawai Pilihan Raya di Pusat Penamaan Calon antara 11.00 ​​pagi hingga 12.00 tengah hari pada Hari Penamaan Calon.

Calon-calon juga boleh membantah sesuatu pencalonan.

Bantahan boleh dibuat atas alasan seseorang calon itu tidak sesuai atau kertas pencalonan tidak diisi dengan betul.

Sebaik-baik sahaja proses penamaan calon ditutup pada tengah hari dan tiada bantahan diterima menjelang 12.30 tengah hari, rakyat akan tahu siapa calon yang menang tanpa bertanding atau kawasan undi yang tiada pertandingan.

Ada sembilan Pusat Penamaan Calon untuk 31 kawasan pilihan raya.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, semua pusat penamaan calon adalah di sekolah-sekolah.

Antara sekolah yang terlibat kali ini ialah Sekolah Rendah Deyi dan Sekolah Rendah Bendemeer.

Calon juga perlu membayar wang Deposit Pilihan Raya sebanyak S$13,500.

Jumlah itu sama dengan elaun bulanan tetap seorang Anggota Parlimen, digenapkan kepada S$500 terdekat.

Jumlah deposit yang dikenakan semasa Pilihan Raya Umum 2015 ialah S$14,500 menggunakan formula kiraan berbeza.

Calon pilihan raya akan hilang wang deposit itu sekiranya memperolehi kurang daripada 12.5% jumlah keseluruhan undi sah dalam kawasan mereka bertanding dan buat pertama kalinya pembayarannya boleh dibuat secara online.

Sumber : CNA/RR/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita