Skip to main content

COVID-19 boleh berjangkit melalui udara?

Apabila Pemerintah mula menjalankan ujian koronavirus ke atas penghuni blok HDB baru-baru ini setelah individu yang dijangkiti COVID-19 didapati tinggal di blok berkenaan, timbul pertanyaan sama ada penduduk boleh mendapat jangkitan itu daripada jiran mereka dan bagaimana?

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19 boleh berjangkit melalui udara?

Gambar hiasan: Mohamed Hassan/Pixabay

Diterbitkan : 01 Jun 2021 09:39PM Dikemas Kini : 01 Jun 2021 10:12PM

SINGAPURA: Apabila Pemerintah mula menjalankan ujian koronavirus ke atas penghuni blok HDB baru-baru ini setelah individu yang dijangkiti COVID-19 didapati tinggal di blok berkenaan, timbul pertanyaan sama ada penduduk boleh mendapat jangkitan itu daripada jiran mereka dan bagaimana?

Ujian swab dijalankan di Blok 745 Yishun Street 72. (Gambar-gambar: Hanidah Amin)

Ujian swab dijalankan bagi penduduk di salah sebuah blok di Yishun. (Gambar: Hanidah Amin)

Persoalan itu timbul setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kemas kini di laman webnya bulan lalu, menyatakan jangkitan koronavirus boleh merebak melalui udara jika berada dalam ruang sempit tanpa pegaliran udara yang baik atau keadaan di mana ramai orang berkumpul bagi tempoh masa yang lama.

Sebabnya ialah "titisan jangkitan mampu berada di udara atau boleh bergerak lebih jauh daripada 1 meter", kata WHO.

Ini merupakan satu perkembangan baru kerana pada permulaan pandemik COVID-19 tahun lalu, penguasa kesihatan termasuk WHO percaya penyakit itu secara amnya merebak menerusi titisan cecair dari hidung dan mulut individu yang dijangkiti lalu disedut atau bersentuh dengan mata, hidung dan mulut melalui lapisan yang tercemar.

Selepas setahun pandemik itu melanda, bukti kini membayangkan bahawa kaedah penyebaran melalui udara mungkin memainkan peranan lebih besar daripada yang dipercayai sebelum ini.

Papan tanda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). (Gambar: AFP)

Papan tanda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). (Gambar: AFP) 

Bahkan, penemuan itu sesuatu yang diakur WHO dan Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat.

Beberapa pakar yang dihubungi berkongsi risiko dijangkiti virus melalui udara dan bagaimana orang ramai dapat melindungi diri mereka dengan lebih baik semasa berada di rumah, ketika menaiki pengangkutan awam, gunakan lif serta bersenam di luar.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN "MEREBAK MELALUI UDARA"

Pakar penyakit berjangkit Hsu Li Yang berkata sebelum berlakunya pandemik COVID-19, "penularan melalui udara" disimpulkan sebagai berpunca dari partikel lebih kecil daripada 5 mikrometer yang mampu bertahan di udara bagi tempoh masa yang lama, menjangkiti orang lain dari jarak lebih jauh daripada sumber jangkitan.

Sebaliknya, penularan "titisan cecair" dipercayai bertahan di udara dan merebak lebih jauh.

Namun, kata Profesor Madya Hsu, hasil kajian saintis mendapati takrifan itu sebagai tidak betul.

Menurut ketua program penyakit berjangkit di Sekolah Saw Swee Hock bagi Kesihatan Awam di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, gabungan partikel besar dan titisan cecair dilepaskan ke udara apabila individu yang dijangkiti batuk, bersin, bercakap, menyanyi atau menghembuskan nafas.

Tambahnya partikel yang berbeza saiz boleh kekal di udara dan bergerak lebih jauh dari 1-2 meter, lantas menjangkiti lebih ramai orang pada jarak lebih jauh. Kebolehan partikel-partikel ini kekal di udara juga bergantung kepada faktor-faktor persekitaran seperti aliran udara dan kelembapan.

Risikonya juga lebih tinggi semasa berada dalam ruang tertutup berbanding di luar kerana pengudaraan memainkan peranan dalam merebaknya virus.

Berinteraksi secara bersemuka pada jarak yang dekat dan pendedahan untuk tempoh masa yang lama juga meningkatkan lagi risiko.

BERADA DI LUAR LEBH SELAMAT?

Menurut Profesor Madya Tham Kwok Wai dari Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran NUS udara segar dan pengudaraan yang baik memecahkan titisan cecair dan virus yang dibawanya.

Bagaimanapun, risiko tetap wujud jika pengaliran udara kurang baik khususnya apabila penduduk menjadi lalai dan tidak mematuhi langkah-langkah selamat seperti memakai pelitup dengan betul dan mengamalkan jarak selamat.

Sebagai contoh apabila orang ramai berkumpul di perhentian bas ketika cuaca tidak berangin untuk memecahkan partikel, kata Prof Madya Tham.

Tambah beliau lagi, ruang naik tangga juga tidak mempunyai pengaliran udara yang baik dan ini mungkin cara penularan virus yang menjejas isi rumah berbeza di Blok 506 Hougang Avenue 8.

"Mungkin mereka yang terjejas berkongsi kawasan tangga yang sama," katanya. Namun beliau akur tidak cukup data untuk mengesahkannya.

Prof Madya Tham berkata cara penularan lain yang mungkin berlaku semasa pesakit berada di luar termasuk berada dalam jarak rapat seperti berbual-bual, berbelanja dan makan di tempat yang tidak mempunyai pengaliran udara yang baik.

Mengekalkan jarak selamat akan membolehkan udara memecahkan kepekatan virus dalam titisan cecair yang dihembuskan dari orang terdekat.

Prof Madya Tham juga menyarankan mengelak pergi tempat yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik seperti kedai yang hanya menggunakan alat hawa dingin dan tidak membenarkan udara luar masuk.

Bagi tempat-tempat sedemikian, pengunjung katanya harus memakai pelitup dengan betul dan jangan meluangkan masa yang lama di dalam.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN KETIKA BERSENAM DI LUAR

(Gambar: Bruno Nascimento/Unsplash)

Meskipun penyelidikan menunjukkan bahawa seseorang yang bersenam melepaskan lebih banyak titisan cecair, Prof Madya Tham berkata bersenam di luar rumah tidak mungkin menjadi penyumbang utama jangkitan di kawasan kejiranan.

"(Di ruang luar), kebanyakan titisan yang dihembuskan akan hilang dengan cukup cepat sehingga kepekatannya sangat rendah dan tidak menyebabkan jangkitan."

Namun katanya, jika seseorang berada sangat dekat dengan orang yang dijangkiti, beberapa titisan ini dapat dihirup dalam jumlah yang cukup banyak sehingga menyebabkan jangkitan, tambah beliau.

Beliau memberi contoh senario di mana orang yang dijangkiti batuk atau bersin dan terkena pada orang lain.

Contoh lain ialah ketika berjalan di belakang orang yang dijangkiti dan menghirup wap yang dikeluarkan - untuk jangka masa yang lama.

"Sekiranya anda berada di belakangnya selama 10 hingga 15 minit anda mendedahkan diri anda (kepada virus) untuk jangka masa yang agak lama," kata Prof Madya Tham.

APA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA NAIK LIF

Satu lagi sumber penyebaran yang mungkin berlaku adalah di dalam lif, kata para pakar, terutama apabila orang bercakap atau menanggalkan pelitup mereka.

Mungkin juga berlaku seseorang batuk atau bersin di dalam lif sebelum keluar tetapi orang yang masuk mungkin tidak mengetahuinya.

Inilah sebabnya penting untuk terus mematuhi langkah selamat seperti menjaga jarak selamat dan menggunakan pelitup dengan penapisan yang baik, atau pelitup sekali pakai atau boleh digunakan semula dengan sekurang-kurangnya dua lapisan kain dan sekurang-kurangnya 95 peratus kemampuan penapisan bakteria.

BAGAIMANA PULA UDARA DALAM BAS, KERETA API, TEKSI DAN KERETA

Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A* Star) telah membuat kajian dan mendapati bahawa pengangkutan awam seperti kereta api MRT dan bas awam mempunyai pengudaraan yang mencukupi.

Sebagai contoh, udara dalam kereta api MRT bertukar ganti setiap enam minit melalui sistem pengudaraan dan ketika pintu terbuka dan ditutup.

Prof Madya Tham berkata kebanyakan bentuk pengangkutan awam mematuhi nasihat oleh Penguasa Pengangkutan Darat untuk meningkatkan sistem pengaliran udara, tetapi langkah-langkah perlindungan mungkin tidak diberi perhatian oleh pengangkutan sewa swasta.

Selain memastikan pemandu dan penumpang menggunakan pelitup dengan betul, pasukan dari unit penyelidikan mutu udara NUS mencadangkan agar penumpang meminta pemandu kereta sewa privet menurunkan tingkap, sama ada sepenuhnya atau sekurang-kurangnya sebahagian. Ini juga harus dilakukan ketika menaiki teksi.

"Membuka tingkap di bahagian bertentangan meskipun sebahagiannya, membantu pengaliran lebih baik."

Sekiranya pemandu atau penumpang tidak mahu membuka tingkap, pasukan itu menyarankan agar sistem pengudaraan kereta dibuka sepenuhnya.

Mekanisme itu membolehkan udara dari luar mengalir ke dalam kereta.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada Disember tahun lalu, yang melihat corak pengaliran udara di dalam sebuah kereta sebagai berpotensi mengurangkan penularan COVID-19 menerusi udara, mendapati bahawa sistem pengudaraan kereta tidak meningkatkan pengaliran udara dalam kereta seperti menurunkan tingkap.

Satu simulasi yang dijalankan menunjukkan bahawa membuka keempat-empat tingkap adalah yang paling ideal.

CARA MEMBAIKI PENGALIRAN UDARA DI RUMAH

Di dalam rumah, membaiki pengaliran udara dan pengudaraan dapat membantu meningkatkan mutu udara.

Ini bermakna membuka tingkap dan menghidupkan kipas,kata Prof Madya Hsu.

Sekiranya terdapat kipas ekzos di dapur atau bilik mandi, biarkan ia terus hidup jika anda mempunyai pengunjung di rumah. Biarkan kipas ekzos itu dihidupkan selama satu jam setelah tetamu anda pulang.

Pilihan lain termasuk meletakkan kipas dekat dengan tingkap atau pintu yang terbuka, menghadap ke luar, untuk meningkatkan pengudaraan. Arahkan kipas daripada orang lain. Pertimbang gunakan kipas siling untuk meningkatkan lagi pengaliran udara.

Petua ini diadaptasi dari CDC Amerika Syarikat untuk membaiki pengudaraan di rumah serta garis panduan terbaru yang dikeluarkan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan Singapura, Agensi Sekitaran Nasional dan Kementerian Kesihatan mengenai pengudaraan di pusat beli-belah, pejabat, kedai kopi dan dormitori untuk mencegah penularan koronavirus.

Sumber : Today/SS/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita