Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: 115 juta penduduk dunia berdepan kemiskinan tahun ini, kata Bank Dunia

Bank Dunia memberi amaran sehingga 115 juta penduduk dunia dijangka berdepan kemiskinan tahun ini ekoran kemerosotan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 115 juta penduduk dunia berdepan kemiskinan tahun ini, kata Bank Dunia

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 08 Oct 2020 08:10PM Dikemas Kini : 08 Oct 2020 08:21PM

WASHINGTON: Bank Dunia memberi amaran sehingga 115 juta penduduk dunia dijangka berdepan kemiskinan tahun ini ekoran kemerosotan ekonomi global akibat pandemik COVID-19.

Jumlah itu lebih tinggi daripada yang dianggarkan bank tersebut pada Ogos lalu, sebanyak 100 juta orang yang akan dihimpit kemiskinan.

Presiden Bank Dunia, David Malpass, dalam satu kenyataan pada Rabu (7 Okt), berkata laporan terbaru itu turut mengunjurkan bahawa menjelang 2021, 150 juta penduduk dunia akan hidup di bawah paras kemiskinan melampau dengan pendapatan kurang AS$1.90 (S$2.58) sehari.

"Pandemik dan kemelesetan global boleh menyebabkan lebih daripada 1.4 peratus penduduk dunia berada dalam kategori kemiskinan yang melampau," katanya.

Sekiranya pandemik COVID-19 tidak melanda, kadar kemiskinan tegar global diramal turun kepada 7.9 peratus.

Namun, ia kini mungkin naik setinggi 9.4 peratus, menurut laporan utama bank itu.

Ahli ekonomi Bank Dunia berkata, jumlah mangsa baru kemiskinan tahun ini adalah sekitar 88 juta hingga 115 juta orang.

Ia bergantung kepada prospek ekonomi global, yang menurut anggaran badan berpusat di Washington itu, adalah sekitar penguncupan lima peratus hingga lapan peratus dalam senario paling buruk.

Ini akan membantutkan kemajuan yang dicapai selama puluhan tahun dalam usaha mengurangkan kemiskinan tegar.

Penulis laporan itu memberi amaran akan wujud 'titik kemiskinan' di kawasan yang berdepan kedua-dua krisis ekonomi dan konflik.

Hasil penyelidikan itu juga mendapati jumlah meningkat dalam kalangan mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar di kawasan bandar. Ini secara langsung menggugat program sedia ada bagi mengurangkan kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar.

Menurut Bank Dunia, cabaran menangani pandemik COVID-19 bersama tekanan konflik dan perubahan iklim, akan menjejas matlamat membasmi kemiskinan pada 2030.

Ia mungkin tidak tercapai tanpa tindakan dasar yang cepat dan proaktif.

Bahkan badan itu memberi amaran bahawa kadar kemiskinan global boleh berada sekitar tujuh peratus pada dekad berikutnya.

"Bagi mengekang kesan serius ini terhadap kemajuan pembangunan dan mengurangkan kemiskinan, semua negara perlu mempersiapkan persekitaran ekonomi yang berbeza ketika pasca COVID-19.

"Mereka harus biarkan modal, tenaga kerja, kemahiran dan inovasi bergerak ke dalam perniagaan dan sektor baru mengikut perkembangan semasa," kata Encik Malpass.

Sumber : AFP/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan