Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: 1 kes baru disahkan di S'pura, 3 lagi dibenarkan keluar hospital

Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan satu lagi kes jangkitan virus COVID-19 pada Khamis (20 Feb), menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini kepada 85.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Feb 2020 08:54PM Dikemas Kini : 21 Feb 2020 12:28AM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan satu lagi kes jangkitan virus COVID-19 pada Khamis (20 Feb), menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini kepada 85.

Tiga lagi pesakit dibenarkan pulang dari hospital pada Khamis, bermakna kesemuanya 37 kes sudah pulih daripada jangkitan virus itu.

Lagi 48 pesakit masih di hospital, dengan empat daripada mereka dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Kes terbaru yang disahkan merupakan seorang lelaki pemegang pas kerja Singapura berusia 36 tahun dari China.

Namun, beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini dan kini dimasukkan di bilik pengasingan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Menurut kenyataan MOH, usaha pengesanan hubungan sedang dilakukan untuk mengenal pasti sebarang kaitan dengan kes-kes sebelumnya.

Dalam pada itu,
antara mereka yang dibenarkan keluar hospital pada Khamis ialah Kes 66, seorang lelaki Singapura berusia 28 tahun yang bekerja di gereja Grace Assembly of God. Gereja itu adalah salah satu daripada lima kelompok jangkitan yang diketahui di sini.

Dua lagi yang dibenarkan pulang adalah Kes 6, lelaki berusia 56 tahun dari Wuhan dan Kes 16, lelaki berusia 38 tahun juga dari Wuhan. Mereka tidak mempunyai pertalian keluarga dan tidak dikaitkan dengan mana-mana kelompok.

Setakat tengah hari 20 Feb, MOH sudah mengenal pasti 2,616 kenalan rapat yang sudah dikuarantin. Daripada jumlah ini, 1,147 masih dikuarantin, dan 1,469 sudah tamat tempoh kuarantin mereka.

Virus yang mula menular di Wuhan, sudah meragut lebih 2,100 nyawa dan menjangkiti hampir 75,000 orang, kebanyakannya di tanah besar China.

Ia merebak ke lebih 25 negara, termasuk Singapura, Jepun dan Thailand.

Di luar China, 11 orang meninggal dunia akibat penyakit itu. Iran melaporkan dua kematian pada Rabu, kematian pertama seumpamanya di Timur Tengah. Korea Selatan melaporkan satu kematian pada Khamis, dan dua warga senja bekas penumpang kapal Diamond Princess, meninggal pada Khamis.

Menteri luar negara-negara anggota ASEAN dan China mengadakan pertemuan kecemasan mengenai wabak virus korona itu pada Khamis.

Bercakap di Laos selepas rundingan itu, Menteri Luar China, Wang Yi berkata usaha negaranya untuk mengawal penularan virus itu "sudah menunjukkan hasil" dan penyakit itu "terkawal dan dapat sembuh" meskipun mencetuskan rasa cemas di merata dunia.

Pada Rabu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan ia "sangat kagum" dengan tindak balas Singapura terhadap penuularan COVID-19.

Singapura pada 7 Feb menaikkan tahap DORSCON kepada Jingga, mendorong langkah-langkah pencegahan tambahan dilaksanakan.

Negara ini juga sudah memperuntukkan S$800 juta dalam Belanjawan 2020 untuk menyokong agensi-agensi barisan hadapan dalam usahanya untuk membendung penularan COVID-19, dengan sebahagian besar diperuntukkan kepada MOH.

Langkah-langkah yang baru diumumkan untuk membantu firma, pekerja dan keluarga adalah sesuai buat masa ini namun Pemerintah bersedia untuk lakukan lebih banyak lagi jika situasi memerlukannya, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan