Skip to main content

Cara beraya amalkan diet berasaskan tumbuhan atau 'vegan'

Lauk-lauk seperti rendang daging, ayam masak merah dan sambal udang adalah satu kemestian setiap Hari Raya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lauk-lauk seperti rendang daging, ayam masak merah dan sambal udang adalah satu kemestian setiap Hari Raya.

Tetapi bagaimana pula rasanya jika ayam, daging dan udang digantikan sepenuhnya dengan bahan dari sumber tumbuh-tumbuhan?

Wartawan BERITAmediacorp berkesempatan beraya bersama seorang tuan rumah yang mengamalkan diet berasaskan tumbuhan atau 'vegan'.

Juadah di rumah Encik Hilmi Hayan Mohamad Othman, 25 tahun kelihatan sama sahaja seperti yang biasa disajikan di hari raya.

Namun, lauk pauk yang dimasak ibunya Cik Zubaidah Hamzah, 46 tahun, sebenarnya semuanya berasaskan tumbuh-tumbuhan.

DIET VEGAN TETAPI KEKALKAN CITA RASA MELAYU

Encik Hilmi dan semua tetamu yang diundangnya mengamalkan gaya hidup 'vegan'.

Encik Hilmi Hayan Mohamad Othman dan ibunya. (Gambar: rendangmamavegan.sg/Instagram)

Mereka percaya akan nilai kesihatan dalam diet berasakan tumbuh-tumbuhan seperti ini.

Cik Zubaidah menyokong diet anaknya itu dan sudah mengubah suai masakannya tetapi masih mengekal citarasa asli makanan Melayu.

'Daging' rendang yang dimasaknya misalnya diperbuat daripada cendawan.

Namun, sanak-saudara mara yang berkunjung dan menjamu hidangan 'vegan' tidak merasakan perbezaannya berbanding lauk rendang asli yang menggunakan daging.

"Reaksi mereka tak sangat berbeza sebab makanan yang kita hidangkan di rumah saya semua sama. Tidak ada reaksi yang lain sebab rasanya pun sama," kongsi Encik Hilmi.

Apabila bertandang ke rumah saudara mara dan teman-teman pula, diet 'vegan' tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Selalunya saya buat dari rumah dahulu. Sudah sediakan jadi saya tidak kelaparan pergi rumah orang. Jadi masak yang mudah-mudah sahaja." kata Cik Noraini Anis, 54 tahun.

Cik Noraini, seorang suri rumah, mengikuti langkah anaknya Muhammad Ryza Rahman, 31 tahun, yang mengamalkan diet 'vegan' sejak 2013.

(Gambar: sayangsonline/Instagram)

Encik Muhammad Ryza Rahman. (Gambar: sayangsonline/Instagram)

Tambahnya lagi: "Saya juga gunakan kesempatan untuk menerangkan kepada mereka diet vegan yang saya amalkan. Ada di antara mereka yang bertanyakan resipi makanan yang saya bawa."

Beliau juga aktif berkongsi resipi makanannya di akaun Instagramnya "Javanese_Vegan".

Menurut anaknya Encik Ryza, beliau menerima banyak pertanyaan di laman Facebook "Vegan Muslims of Singapore" dan "SG Vegan Muslims" yang ditadbirnya.

'Kami kongsi mana boleh beli pencuci mulut seperti putu piring atau kuih talam. Kalau pergi 'foodcourt' apa sebagai orang Islam nak cari makanan yang halal, apa yang kita boleh makan," ujar Muhammad Ryza Rahman.

Permintaan bagi makanan 'vegan' halal juga semakin meningkat.

Encik Ryza yang bertugas sepenuh masa sebagai seorang penganalisis makmal mengambil tempahan kek 'vegan' halal dengan jenama "Sayang's".

Beliau memastikan segala bahan-bahan yang digunakan datang dari sumber yang beretika dan halal.

Antara sajian popular yang dihasilkannya adalah kek coklat dan 'Apple Crumble'".

Encik Hilmi dan ibunya juga sudah mula menjual epok-epok rendang 'vegan' di bawah jenama "Rendang Mama Vegan".

"Saya pernah mencuba konsep makanan Melayu 'vegan' di Kuala Lumpur, Malaysia dan sambutannya sangat baik. Kini saya mahu mahu membawa konsep ini di Singapura pula kerana saya percaya terdapat pasaran yang luas di Singapura," kongsi Hilmi.

Selain itu, beliau juga merancang membuka gerai makanan 'vegan' dan kafe berkonsepkan makanan Melayu dan 'grill' pada tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita