Campur, padankan vaksin COVID-19 berbeza tidak wajar ditentukan orang awam
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan amalan mencampur dan memadankan suntikan vaksin berbeza untuk orang ramai tidak boleh diputuskan oleh seseorang individu.
(Gambar: AFP)
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan amalan mencampur dan memadankan suntikan vaksin berbeza untuk orang ramai tidak boleh diputuskan oleh seseorang individu.
Sebaliknya, ia sepatutnya dibuat oleh agensi awam bergantung kepada data sedia ada.
Meskipun amalan mencampur dan memadankan vaksin berlainan menarik bagi penduduk di negara kekurangan bekalan vaksin, lebih banyak kajian diperlukan untuk memastikan keselamatan dan keimunogenan, kata seorang jurucakap WHO sambil memetik ketua saintis badan dunia itu, Dr Soumya Swaminathan dalam satu taklimat media di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva.
"Data daripada kajian campuran dan padanan vaksin yang berbeza sedang dinantikan - keimunogenan dan keselamatan kedua-duanya perlu dinilai," kata Dr Swaminathan, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut maklumat yang disediakan jurucakap WHO, percubaan klinikal yang diketuai Universiti Oxford di Britain kini sedang dijalankan untuk mengkaji campuran vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech.
Baru-baru ini, kajian itu turut diperluaskan untuk merangkumi vaksin Moderna dan Novavax.
Jurucakap WHO mendedahkan penemuan awal daripada kajian itu menunjukkan individu yang menerima vaksin AstraZeneca untuk dos pertama, diikuti dengan vaksin Pfizer-BioNTech sebagai dos kedua, berkemungkinan mengalami demam dan kesan sampingan ringan biasa berbanding kesan daripada suntikan dua dos vaksin AstraZeneca.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.