Skip to main content

Iklan

Iklan

Calon PAP, WP kongsi rancangan & mesej untuk penduduk GRC Sengkang

Tinggal sehari sahaja untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum 2020 Singapura dan salah satu GRC yang kini banyak mendapat perhatian ialah GRC Sengkang.

Anggaran Waktu Membaca:
Calon PAP, WP kongsi rancangan & mesej untuk penduduk GRC Sengkang

Calon PAP Amrin Amin, Calon WP Raeesah Khan bertemu penduduk di GRC Sengkang. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SINGAPURA: Tinggal sehari sahaja untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum 2020 Singapura dan salah satu GRC yang kini banyak mendapat perhatian ialah GRC Sengkang.

Ia merupakan sebuah kawasan undi baru dalam pilihan raya kali ini.

Satu isu hangat di GRC itu sekarang ini ialah tentang laporan polis yang dibuat terhadap calon Parti Pekerja (WP), Raeesah Farid Khan, berhubung catatan media sosial tulisannya yang dikatakan bersifat perkauman.

Namun demikian, setelah seminggu berkempen, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan WP yang bertanding di situ kini terus mempergiat kegiatan bertemu para penduduk.

BERITAmediacorp cuba menjejaki calon-calon Melayu/Islam dari kedua-dua parti itu untuk bertanyakan isu-isu berkaitan penduduk Sengkang dan apa yang akan penduduk raih daripada calon parti yang dipilih kelak.

APA ISU-ISUNYA DI GRC SENGKANG?

Kami dapat bertemu calon PAP, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin dan bertanyakan kepada beliau apakah antara isu-isu yang disuarakan penduduk GRC Sengkang kepadanya.

"Pertama ialah pekerjaan. Ramai yang rasa bimbang tentang pekerjaan mereka terutama mereka yang baru keluar dari sekolah. Kedua yang berumur pertengahan seperti 40 tahun 50 tahun mereka khuatir tentang pekerjaan mereka. Mereka khuatir tentang sama ada mereka akan terus mendapat gaji yang sama atau diturunkan gaji. Ketiga ialah dari sudut keperluan masyarakat kita dari segi adanya prasarana yang sesuai untuk masyarakat secara umumnya," kata Encik Amrin.

Lantaran itu, beliau mengatakan bahawa sebuah pusat kerjaya akan diadakan di Sengkang CC untuk memberi khidmat dan pertolongan kepada mereka yang "rasa sangat tertekan untuk mendapat pekerjaan".

Para penduduk GRC itu juga akan dipadankan dengan peluang-peluang yang ada, diberikan latihan atau peluang untuk menimba kemahiran.

BERITAmediacorp juga cuba untuk melakukan wawancara dengan calon WP, Cik Raeesah Khan untuk bertanyakan soalan yang sama. Kami mula mengirim lima emel kepada WP dan beberapa mesej menerusi Facebook dan Instagram kepada Cik Raeesa sejak lima hari lalu (1 Jul), namun tidak berjaya mendapatkan Cik Raeesa untuk diwawancara.

WP kemudian menyatakan hari ini (7 Jul) disebabkan siasatan polis sedang dijalankan ke atas Cik Raeesah, beliau tidak dapat diwawancara. Anggota lain WP menawarkan beberapa jawapan menerusi sidang medianya yang diadakan tengah hari tadi.

Pasukan WP di GRC Sengkang. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Menurut ketua pasukan WP bagi GRC Sengkang, Cik He Ting Ru, meskipun terdapat ramai keluarga muda di kawasan undi itu, beliau juga menyedari terdapat banyak keluarga berbilang generasi.

Ini kerana mereka tinggal sekeluarga bersama ibu dan bapa yang sudah berusia. Maka itu, isu-isu yang disuarakan penduduk merangkumi hal-hal berkaitan ibu bapa yang sudah tua serta anak-anak kecil.

"Salah satu perkara yang menjadi kebimbangan penduduk sekarang ialah mata pencarian. Kos kehidupan. Lebih-lebih lagi kehidupan di tengah-tengah COVID-19. Jadi saya ada bercakap dengan beberapa penduduk yang sama ada kehilangan kerja atau diberhentikan sementara. Ini saya rasa antara isu-isu yang mesti kami teliti dan prihatin," kata Cik He.

Pasukan WP di GRC Sengkang. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

APA YANG DITAWARKAN KEPADA PENDUDUK?

Apabila ditanya apakah yang mahu ditawarkan kepada penduduk GRC Sengkang sekiranya dilantik, ini jawapan Encik Amrin:

"Berita baik... di Sengkang juga akan ada satu hab, di mana ada Hab Bersepadu Buangkok yang sedang dibina. Di situ ada satu kedai pusat beli belah dan juga ada pusat penjaja dan pusat masyarakat. Hab Bersepadu Buangkok ini adalah satu tempat yang benar-benar menjadi pusat, benar menjadi tumpuan masyarakat... dan dijangka siap pada tahun 2022."

Encik Amrin menyatakan, esok (8 Jul) beliau akan memberi lebih banyak butiran tentang rancangan untuk mewujudkan kemudahan di GRC itu.

Beliau juga mahu mewujudkan satu gerakan yang dipanggil Sengkang Bersama.

"Ini adalah satu cara di mana kita boleh menggembleng tenaga masyarakat kita mangajak mereka, menjemput mereka supaya sama-sama kita membina bandar yg kita idamkan. Apakah pengalaman mereka kita ingin mendapat idea-idea supaya mereka dapat sama-sama membina bandar yang dapat memenuhi cita rasa atau keperluan mereka," tambah Encik Amrin.

Di pihak WP pula, seorang lagi calonnya di GRC ini Louis Chua pula memberikan perspektif beliau:

"Menerusi lawatan kami, kami mendapati kurangnya kedai-kedai kopi dan kedai-kedai kejiranan di beberapa kawasan tertentu di Sengkang ini. Itu sesuatu yang kami percaya kami perlu tangani. Sengkang bukan sebuah bandar baru. Ia sudah dibangunkan sejak 1990-an. Sudah tiba masanya kami tangani keperluan asas penduduk Sengkang ini."

Pasukan WP di GRC Sengkang. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Selain itu, terdapat projek-projek yang sudah sememangnya dalam perancangan untuk bandar Sengkang, seperti naik taraf sistem MRT dan LRT Sengkang dan pembinaan kelab-kelab masyarakat, akan diteliti oleh WP.

"Kami akan pastikan semua ini selesai dalam tempoh yang sudah ditetapkan dan projek-projek ini diteruskan untuk penduduk," kata Encik Louis.

MESEJ PAP & WP UNTUK PENGUNDI SENGKANG

Dengan lebih 120,000 penduduk GRC Sengkang dijangka keluar mengundi Jumaat ini (10 Jul), apa strategi para calon untuk memikat hati penduduk dan apakah mesej yang ingin disampaikan kepada penduduk?

Encik Amrin berkata "tidak ada rahsia untuk memikat hati" dan yang penting adalah "ikhlas berbakti kepada masyarakat".

"Jadi di saat-saat krisis ini saya rasa amatlah penting untuk kita memilih satu pemerintah wakil rakyat yang berkebolehan yang berkemahiran yang berjiwa rakyat. Di saat-saat sebeginilah bukan masanya untuk kita bereksperimentasi. Kita memerlukan wakil yang sebenar-benarnya ingin berkhidmat kepada masyarakat, yang ada pengalaman dan saya sedia membantu masyarakat di Sengkang ini," Encik Amrin memberitahu BERITAmediacorp.

Calon PAP, Amrin Amin di GRC Sengkang. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Ini pula mesej daripada calon WP, Encik Jamus Lim kepada penduduk Sengkang:

"Kami tahu ini perjuangan mencabar dan kami terus meminta sokongan pengundi Sengkang, jika anda yakin dengan nilai-nilai yang kami perjuangkan, anda setuju dengan dasar-dasar yang kami cuba kedepankan dalam pilihan raya ini, kami minta anda jadikan undi anda bermakna."

Pasukan WP di GRC Sengkang. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pasukan PAP di GRC Sengkang dipimpin oleh Encik Ng Chee Meng dan turut dianggotai Dr Lam Pin Min dan muka baru Raymond Lye.

Kawasan undi itu merangkumi kawasan-kawasan undi sebelum ini seperti Sengkang West dan Punggol East, serta sebahagian daripada GRC Pasir-Ris Punggol yang berada dalam kawasan Sengkang.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan