Bonus Bicentennial: Apa yang anda perlu tahu
Pelbagai acara dan projek dianjurkan tahun ini sebagai menandakan 200 tahun sejak ketibaan Sir Stamford Raffles di Singapura.
Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)
SINGAPURA: Pelbagai acara dan projek dianjurkan tahun ini sebagai menandakan 200 tahun sejak ketibaan Sir Stamford Raffles di Singapura. Kini ia juga akan dilanjutkan untuk membantu rakyat Singapura dengan keperluan-keperluan khusus.
Untuk memperingati dwiabad Singapura, Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Isnin (18 Feb) mengumumkan Bonus Bicentennial bernilai S$1.1 bilion untuk diagihkan kepada warga Singapura.
Ini kandungan bonus tersebut:
BANTUAN BELANJA SEHARIAN BAGI YANG MEMERLUKAN
Bayaran tambahan akan diagihkan kepada warga Singapura berpendapatan rendah pada hujung tahun untuk membantu mereka menampung perbelanjaan seharian.
Ini termasuk:
- Sehingga S$300 Baucar GST - Tunai (Bayaran Bicentennial)
- Wang tunai Bonus Bicentennial Daya Kerja: Penerima bayaran Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) akan menerima tambahan 10 peratus bayaran bagi kerja yang dilakukan pada 2018, dengan bayaran sekurang-kurangnya S$100.
REBAT CUKAI PENDAPATAN PERIBADI
Rebat cukai pendapatan juga akan diberi bagi pendapatan yang diraih pada 2018 (Tahun Penilaian 2019). Rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 50 peratus akan diberi kepada semua pembayar cukai di kalangan penduduk Singapura - dihadkan pada S$200 bagi setiap individu.
Ia dianggarkan bernilai S$280 juta.
SOKONGAN BAGI PELAJAR
Warga muda Singapura juga tidak terkecuali, dengan Pemerintah menjanjikan tokokan tambahan bagi menyokong pendidikan para pelajar menjelang pertengahan 2019.
Para pelajar sekolah rendah dan menengah akan menerima tokokan S$150 dalam akaun Edusave mereka, manakala rakyat Singapura berusia antara 17 hingga 20 tahun akan menerima sehingga S$500 ke dalam Akaun Pendidikan Pos-Menengah mereka.
Sekitar 570,000 pelajar dijangka meraih manfaat daripada tokokan tersebut yang keseluruhannya bernilai sekitar S$140 juta.
SIMPANAN PERSARAAN BAGI WARGA EMAS, TERUTAMA WANITA
Tokokan sekali sahaja bernilai S$1,000 akan dibuat ke dalam akaun CPF warga Singapura yang layak berusia antara 50 hingga 64 tahun. Hanya mereka yang mempunyai kurang S$60,000 simpanan persaraan dalam akaun CPF akan menerima tokokan ini.
Sekitar 300,000 warga Singapura akan menerima tokokan ini, kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita yang meninggalkan tenaga kerja untuk menjaga ahli keluarga mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.