Skip to main content

Biden arah laporan risikan asal usul COVID-19 dalam tempoh 90 hari

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu (26 Mei) mengarahkan agensi-agensi risikan negaranya supaya melaporkan kepada beliau dalam masa tiga bulan sama ada virus COVID-19 yang pertama kali muncul di China adalah dari sumber seekor haiwan atau akibat kemalangan di makmal.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden arah laporan risikan asal usul COVID-19 dalam tempoh 90 hari

Laporan akhbar menyatakan tiga pekerja makmal di Institut Virologi Wuhan dimasukkan ke hospital pada November 2019 dengan simptom seperti koronavirus. (Gambar: Hector Retamal/AFP)

Diterbitkan : 27 May 2021 11:12AM Dikemas Kini : 27 May 2021 11:13AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu (26 Mei) mengarahkan agensi-agensi risikan negaranya supaya melaporkan kepada beliau dalam masa tiga bulan sama ada virus COVID-19 yang pertama kali muncul di China adalah dari sumber seekor haiwan atau akibat kemalangan di makmal.

Agensi risikan harus "melipatgandakan usaha mereka untuk mengumpul serta menganalisis maklumat yang boleh membuat kesimpulan yang pasti dan melaporkannya kembali kepada saya dalam tempoh 90 hari," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.

Menurut Encik Biden, agensi-agensi itu kini terbahagi kepada dua kemungkinan berhubung punca virus yang sudah menjangkiti hampir 170 juta penduduk dunia dan mengorbankan lebih 3.4 juta nyawa - perangkaan yang menurut para pakar, pasti jauh lebih rendah.

Arahan Encik Biden itu menandakan peningkatan kontroversi mengenai bagaimana virus itu pertama kali muncul, sama ada melalui kontak haiwan di sebuah pasar di Wuhan, China, atau melalui pelepasan virus dari sebuah makmal penyelidikan dengan ciri keselamatan yang sangat ketat di bandar yang sama.

Jawapan kepada tanda tanya itu mempunyai kesan besar buat China, yang menegaskan ia tidak bertanggungjawab atas pandemik itu, dan juga bagi politik Amerika Syarikat.

Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat sebelum ini membiayai kajian koronavirus kelawar di Wuhan tetapi ia menafikan menyokong kajian "perolehan fungsi" yang melibatkan pengubahsuaian virus sehingga ia menjadi lebih mudah disebarkan kepada manusia.

Dana itu ditamatkan tahun lalu oleh pentadbiran bekas presiden Donald Trump.

Teori makmal itu digunakan oleh pembangkang, Republikan, untuk menyerang saintis terkemuka, termasuk Anthony Fauci dari NIH, dan Beijing, yang sekeras-kerasnya menafikan tuduhan tersebut.

Mac lalu, Biden berkata beliau meminta laporan berhubung asal usul virus tersebut termasuk "sama ada ia muncul daripada kontak manusia dengan haiwan yang terjangkit atau akibat kemalangan di makmal."

"Setakat ini, risikan Amerika Syarikat menggabungkan dua senario yang mungkin berlaku tetapi belum mencapai kesimpulan yang mauktamad mengenai persoalan ini," katanya.  

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita