Skip to main content

Iklan

Iklan

Bercuti akan ‘menenangkan’ petugas jagaan kesihatan kita, kata Menteri MOH

Para petugas jagaan kesihatan di Singapura "semakin terbeban" sepanjang pandemik COVID-19 20 bulan lalu dan membenarkan mereka untuk mengambil cuti akan memberi "kelegaan yang amat diperlukan".

Anggaran Waktu Membaca:
Bercuti akan ‘menenangkan’ petugas jagaan kesihatan kita, kata Menteri MOH

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 20 Oct 2021 09:39PM Dikemas Kini : 20 Oct 2021 09:41PM

SINGAPURA: Para petugas jagaan kesihatan di Singapura "semakin terbeban" sepanjang pandemik COVID-19 20 bulan lalu dan membenarkan mereka untuk mengambil cuti akan memberi "kelegaan yang amat diperlukan".

Demikian kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (20 Okt).

Bercakap di sidang media bersama Menteri Kewangan Lawrence Wong, Encik Ong maklum bahawa penting untuk menjaga kesejahteraan para petugas jagaan kesihatan dan Kementerian Kesihatan (MOH) sudahpun mula menjadualkan mereka untuk mengambil cuti secara bergilir-gilir menjelang hujung tahun ini.

"Mereka amat terbeban sepanjang 20 bulan lebih yang lalu," kata beliau.

"Saya rasa untuk sebahagian besar mereka, jika bukan semuanya, belum berkesempatan mengambil cuti. Para jururawat dan petugas jagaan kesihatan hijrahan kami belum berpeluang bertemu dengan keluarga mereka.

"Oleh itu, meskipun beban kerja amat berat dan setiap (pekerja jagaan kesihatan) diperlukan, kami harus menjaga kesejahteraan mereka juga. Ini sebabnya MOH mengeluarkan makluman untuk membenarkan dan juga mengarah kelompok-kelompok (jagaan kesihatan awam) untuk mula menjadualkan mereka untuk mengambil cuti secara bergilir-gilir menjelang hujung tahun ini dan saya rasa ia kelegaan yang amat diperlukan bagi para petugas jagaan kesihatan."

Komen Encik Ong itu dibuat sehari selepas diumumkan bahawa para petugas jagaan kesihatan kini boleh membuat permohonan cuti untuk ke luar negara dan menyambung semula kerja setibanya di sini.

"Berkuat kuasa segera, MOH akan menggugurkan penangguhan bagi permohonan cuti ke luar negara bagi semua petugas jagaan kesihatan," menurut Perusahaan Kementerian Kesihatan (MOHH) dalam satu makluman pada Selasa.

MOHH, iaitu syarikat perusahaan kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan Singapura menyatakan bahawa semakan pada garis panduan perjalanan ke luar negara sejajar dengan protokol pemerintah yang diperhalusi dan Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Sudah Divaksin (VTL) yang diumumkan pada 9 Oktober.

Encik Ong turut akur bahawa penting untuk menambah tenaga manusia agar dapat memberi kelegaan kepada para petugas jagaan kesihatan. Langkah-langkah itu termasuk mengurangkan Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR), sekali gus membolehkan para petugas dikerahkan semula, jelas beliau.

Encik Ong juga menarik perhatian pemerintah sudahpun memohon bantuan para relawan menerusi SG Healthcare Corps.

"2,000 individu sudahpun memberikan respons dan kami sudah mengenal pasti lebih 800 yang sesuai dan sedang menanti untuk dikerahkan," kata beliau.

Beliau juga menarik perhatian kementerian itu sedang memanfaatkan sektor swasta dan menyatakan mereka "banyak membantu".

"Mereka giat membantu kami dengan operasi pemvaksinan, ujian swab, dan operasi (kemudahan rawatan COVID-19) serta (kemudahan jagaan masyarakat). Oleh itu mereka amat membantu.

"Kami juga sudahpun mendampingi mereka untuk membantu merawat sebilangan pesakit, COVID mahupun bukan COVID sekali gus boleh berkongsi beban sebagai satu ekosistem jagaan kesihatan," tambah Encik Ong.

"Oleh itu, menerusi pelbagai cara, kami berharap menjelang hujung tahun ini, para pekerja jagaan kesihatan boleh berehat."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan