Skip to main content

Iklan

Iklan

'Berbanggalah dengan diri anda'; Presiden Halimah ucap tahniah kepada atlit Olimpik Team S'pore

Presiden Halimah Yacob memuji usaha para atlit Team Singapore di Sukan Olimpik Tokyo semasa satu sesi pendampingan maya pada Khamis (12 Ogos). Puan Halimah menekankan mereka juga seharusnya berbangga dengan diri sendiri tidak kira apa saja keputusan yang dicapai. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2021 01:37PM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 09:07PM

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob memuji usaha para atlit Team Singapore di Sukan Olimpik Tokyo semasa satu sesi pendampingan maya pada Khamis (12 Ogos). Puan Halimah menekankan mereka juga seharusnya berbangga dengan diri sendiri tidak kira apa saja keputusan yang dicapai.

Dalam sesi pendampingan itu, yang disertai 15 atlit termasuk perenang Joseph Schooling dan pemain tenis meja Yu Mengyu, Puan Halimah menarik perhatian tiada "jalan pintas" untuk menjadi seorang atlit Sukan Olimpik. Beliau berkata para atlit sudahpun "bekerja keras dan membuat pengorbanan yang luar biasa" untuk mencapai prestasi itu.

Turut hadir di sesi tersebut ialah Menteri Kebudayaan , Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Ketua Rombongan Sukan Olimpik Ben Tan dan Ketua Eksekutif Sport Singapore Lim Teck Yin, antara lain.

"Usaha gigih dan tekad yang telah anda memperlihatkan untuk mencapai tahap ini, terutama dengan gangguan dan ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19, sangat luar biasa," kata Puan Halimah.

"Anda seharusnya berbangga dengan diri anda sendiri, tidak kira apa keputusan yang anda kecapi dan apa yang dikatakan orang lain. Kami juga bangga dengan anda."

Ketika menyampaikan ucapan tahniah kepada para atlit, Puan Halimah menarik perhatian bahawa mewakili Singapura di peringkat Sukan Olimpik adalah satu "pencapaian unggul".

"Untuk bersaing di persada antarabangsa adalah satu impian yang hanya boleh diimpikan kebanyakan orang," tambah presiden.

JANGAN PEDULI DENGAN KATA-KATA MENGGURISKAN

Puan Halimah juga menggesa para atlit supaya jangan berkecil hati dan berasa tersinggung dengan sesetengah "kata-kata mengguriskan" yang ditulis online.

"Sukan penuh beremosi, termasuk daripada peminat dan penonton. Ini adalah satu di antara banyak aspek yang menarik tentang sukan. Sepanjang tempoh ini, setiap catatan media sosial dan liputan media mendapat ribuan orang menyokong serta menghargai usaha anda dan banyak yang mendapat inspirasi daripada anda," ungkap beliau.

"Sebagai sebahagian daripada menerima pendapat yang rencam di ruang awam, segelintir mungkin mempersoalkan kemampuan atau dedikasi anda. Sebilangan mungkin membuat komen yang berunsur kebencian. Daripada menumpukan perhatian kepadanya, saya menggesa anda supaya berhenti sejenak dan meyakinkan diri anda bahawa tiada seorang pun yang boleh merampas dedikasi anda untuk mencapai kecemerlangan. Abaikan kata-kata kasar itu dan gunakan tenaga itu untuk mendorong anda mencapai matlamat seterusnya. "

Puan Halimah menarik perhatian setiap atlit Singapura adalah "sumber inspirasi",

"Apabila anda bersaing dalam Sukan (Olimpik) sepanjang beberapa minggu lalu, ramai di antara kita terpaut di kaca televisyen untuk menyaksikan anda mempamerkan kemahiran dan minat anda di pentas dunia. Saya yakin ramai anak muda Singapura mendapat inspirasi daripada anda," ujar Puan Halimah.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada setiap individu yang bekerja di balik tabir untuk menyokong para atlit negara.

"Pihak-pihak berkepentingan dari seluruh ekosistem sukan perlu terus bekerja keras untuk mewujudkan sebuah persekitaran di mana para atlit kita boleh berkembang maju dan para atlit harapan kita boleh digilap. Sebagai atlit Sukan Olimpik, saya berharap anda akan menggunakan pengalaman dan ilmu anda untuk tujuan ini dan menyumbang semula kepada masyarakat sukan agar kita boleh membina sebuah negara sukan yang lebih baik."

Team Singapore menghantar 23 atlit dari 12 sukan ke Sukan Olimpik Tokyo - 17 daripada mereka membuat penampilan sulung bagi temasya sukan itu.

"Bagi kebanyakan anda, ini adalah penampilan pertama anda di Sukan Olimpik. Ia tentunya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan saya yakin akan membakar semangat anda untuk mencapai tahap kecemerlangan sukan yang lebih tinggi dan kembali ke pentas global ini pada masa hadapan," kata Puan Halimah.

"Tidak kiralah di Paris 2024, LA28, Brisbane 2032, kami menyokong anda sebagai OneTeamSG." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan