Belanjawan pertahanan 2021 meningkat, MINDEF kurang belanja pada 2020 disebabkan projek tertangguh: Ng Eng Hen
Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menerima peruntukan S$15.36 bilion tahun ini, peningkatan 12.7 peratus berbanding S$13.63 bilion pada tahun kewangan lalu.

(Gambar: MINDEF)
SINGAPURA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menerima peruntukan S$15.36 bilion tahun ini, peningkatan 12.7 peratus berbanding S$13.63 bilion pada tahun kewangan lalu.
Peruntukan itu yang kedua tertinggi dalam kalangan kementerian, di belakang Kementerian Kesihatan.
Kenaikan yang ketara itu disebabkan perbelanjaan MINDEF yang lebih rendah pada 2020 daripada dirancangkan akibat projek-projek yang tertunda.
Demikian menurut
Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Isnin (1 Mac).
Dr Ng berkata peruntukan tahun ini juga adalah kali pertama MINDEF mencatatkan kenaikan tahunan dua angka sejak 1998.
"Ini terutamanya disebabkan MINDEF membelanjakan kurang S$1.5 bilion daripada yang dirancangkan pada tahun 2020 - kira-kira 10 peratus lebih rendah - kerana beberapa projek yang tertangguh," katanya dalam ucapan perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MINDEF di Parlimen.
Ini termasuk bagi projek besar seperti Bandar SAFTI, yang akan siap menjelang 2024 dan bukannya 2023, dan kapal selam kelas Invincible, yang penghantarannya tertangguh enam bulan kepada pertengahan 2022.
"Sekiranya pemulihan pasca-COVID berlaku, MINDEF berharap peruntukan ini kembali stabil dan kembali ke pertumbuhan yang disasarkan dan diumumkan pada tahun-tahun sebelumnya - sekitar 3 hingga 4 peratus setiap tahun, sejajar dengan inflasi sepanjang tempoh itu," kata Dr Ng.
Meskipun demikian, Dr Ng menekankan bahawa penghantaran empat jet pejuang F-35 yang ditempah Angkatan Udara Republik Singapura mengikut jadual pada sekitar tahun 2026, dan RSAF akan memulakan latihan F-35 di Guam mulai 2029.
Defense News melaporkan pada Julai tahun lalu bahawa RSAF berhasrat untuk menempatkan detasemen latihan F-16 yang berpusat di Arizona dengan unit latihan F-35 yang akan datang.
Berhubung tentera darat pula, Dr Ng berkata Markas Sense & Strike dirasmikan pada November lalu.
Ia melibatkan penyusunan semula Ibu Pejabat Perisikan Tentera dan Ibu Pejabat Meriam di bawah Divisyen 6, yang terdiri daripada sejumlah briged infantri.
Ini membolehkan Angkatan Tentera untuk "menggabungkan kemampuan dari kedua-dua (markas) untuk 'melihat lebih baik' dan 'menembak lebih cepat' dengan kurang tenaga kerja," kata Dr Ng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.