Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan Kecekalan: S$800 juta diperuntuk bagi Geran Bantuan COVID-19; subsidi bil api air S$100

Pemerintah akan memperuntukkan S$800 juta bagi Geran Bantuan COVID-19 di samping komitment sebelum ini, umum Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat di Parlimen pada Selasa (26 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 May 2020 07:27PM Dikemas Kini : 27 May 2020 12:23AM

SINGAPURA: Pemerintah akan memperuntukkan S$800 juta bagi Geran Bantuan COVID-19 di samping komitment sebelum ini, umum Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat di Parlimen pada Selasa (26 Mei).

Geran itu meliputi mereka yang hilang pekerjaan, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau akan mendapat gaji berkurangan ketara dalam bulan-bulan mendatang kerana COVID-19, kata Encik Heng.

Pihak berkuasa menyatakan pada Mac bahawa di bawah skim tersebut, rakyat Singapura yang layak boleh menerima S$800 sebulan selama tiga bulan jika mereka juga komited untuk mendapatkan bantuan pekerjaan dan latihan daripada Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i).

"Dalam tiga minggu selepas Geran Bantuan COVID-19 dimulakan, kami menerima sekitar 48,000 permohonan. Kami komited untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas teruk," kata Encik Heng.

Sebagai sebahagian daripada Belanjawan Kecekalan bernilai S$33 bilion, Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan setiap keluarga yang mempunyai sekurang-kurangnua seorang warga Singapura akan menerima kredit sekali S$100 bagi menampung bil api air rumah mereka. Ia merangkumi semua jenis hartanah dan akan dikredit dalam bil utiliti mereka pada Julai atau Ogos, tambah beliau.

Subsidi itu diberikan sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Singapura kerana memainkan peranan mematuhi peraturan duduk di rumah demi melawan COVID-19," jelasnya.

Encik Heng menarik perhatian bahwa Pemerintah mengumumkan dalam Belanjawan sebelum ini bahawa jumlah rebat U-Save akan digandakan bagi kesemua keluarga layak yang menetap di HDB.

Bagaimanapun, beliau berkata: Rakyat Singapura sudahpun memberikan maklum balas bahawa walaupun mereka jimat dari segi tambang pengangkutan dan bayaran lain, mereka menjangkakan bil api air akan naik kerana duduk di rumah sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Dalam ucapannya hari ini, Encik Heng berkata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menerima lebih 60,000 permohonan di bawah Skim Bantuan Pendapatan Individu Bekerja Sendiri.

"NTUC sedang bekerja keras untuk memprosesnya. Para pemohon boleh jangka dapat jawapan daripada NTUC dalam tempoh sebulan daripada penyerahan permohonan mereka," katanya.

"Mereka yang bekerja sendiri tetapi tidak secara automatik layak atau atas sebab yang sedikit sahaja tidak memenuhi kriteria, boleh mendekati NTUC," tambah Encik Heng.

BANTUAN UNTUK BADAN AMAL, AGENSI KHIDMAT SOSIAL

Pemerintah juga akan membantu badan amal dan agensi khidmat sosial yang menyaksikan kejatuhan dalam jumlah derma, kata Encik Heng.

Badan amal boleh memohon untuk menerima bantuan dana tokokan sedolar bagi setiap dolar derma yang diterima daripada projek dalam tahun kewangan 2020. Jumlahnya dihadkan kepada S$250,000 bagi setiap badan amal. Ini termasuk sumbangan derma yang dikumpulkan menerusi wadah-wadah digital yang diluluskan.

"Untuk membolehkan ini dilakukan, saya akan menyediakan tokokan S$100 juta untuk ditambahkan kepada belanjawan sedia ada bernilai S$70 juta bagi Program Pengumpulan Dana Dipertingkat," kata Encik Heng.

Beliau menggesa rakyat Singapura dan penduduk di sini untuk terus menyumbang secara murah hati sekiranya mereka boleh berbuat demikian.

Menurutnya Pemerintah juga akan menyediakan tokokan sebanyak S$18 juta kepada Dana Invictus bagi menyediakan bantuan tambahan kepada agensi khidmat sosial.

Dana itu sebelum ini ditubuhkan oleh Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) untuk menyediakan bantuan tambahan kepada agensi khidmat sosial.

"Dana ini akan menyokong agensi khidmat sosial kami untuk memastikan perkhidmatan dapat terus ditawarkan, mengekalkan kakitangan dan menggunakan teknologi bagi mengubah pekerjaan mereka," kata Encik Heng.

BANTU PELAJAR, WARGA TUA BERALIH KEPADA DIGITAL

Encik Heng juga menarik perhatian bahawa semua penduduk harus mendakap digital untuk memperkukuhkan daya tahan sosial.

“Tidak kira usia atau sumber, semua anggota masyarakat kita harus mempunyai akses kepada sumber digital tanpa ada yang ketinggalan. Untuk tujuan ini, kami akan membantu kumpulan-kumpulan tertentu,” kata Encik Heng sambil merujuk kepada pelajar dan warga tua secara khusus.

Untuk menyokong pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, yang mungkin tidak mempunyai akses digital di rumah, Kementerian Pendidikan (MOE) meminjamkan lebih 22,000 peranti komputer dan dongle Internet untuk membolehkan semua pelajar itu meraih manfaat daripada pembelajaran di rumah sepenuhnya serta terus kekal berhubungan dengan guru dan rakan-rakan mereka.

"Sebagai sebahagian daripada rancangan jangka lebih panjang untuk menyokong usaha celik digital bagi semua pelajar, MOE akan mempercepatkan tempoh masa bagi semua pelajar sekolah menengah untuk memiliki sebuah peranti pembelajaran digital. Kementerian Pendidikan akan mengumumkan butirannya apabila siap nanti," kata Encik Heng.

Beliau menambah warga tua, yang lebih terjejas jika dijangkiti, sedang duduk di rumah semasa tempoh ini dan ramai akan perlu terus melakukan demikian bagi melindungi diri mereka daripada COVID-19 tetapi pengasingan seumpama itu boleh menjejas kesihatan mereka.

Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) sedang berhubungan dengan golongan yang memerlukan jagaan serta kurang mendapat sokongan keluarga, menerusi telefon dan akan terus melakukan demikian, kata Encik Heng.

Bagi membolehkan warga emas kekal berhubungan dengan keluarga serta rakan mereka, di samping membenarkan pasukan jagaan dan relawan membantu mereka dengan lebih berkesan, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan melancarkan gerakan 'Seniors Go Digital' untuk membantu warga tua mendakapi wadah digital. Ia juga bagi menyiapkan mereka dengan kemahiran digital untuk berbuat demikian, tambah Encik Heng.

Pemerintah akan melancarkan sebuah gerakan Duta Digital untuk menggalak anggota masyarakat dan relawan agar memberi sokongan kepada warga emas dalam mempelajari kemahiran digital.

"Bagi warga tua daripada keluarga berpendapatan rendah yang mahu belajar tetapi tidak mampu memilik peranti, kami juga akan menyediakan mereka dengan bantuan kewangan. Saya amat menggalakkan golongan belia kita yang mempunyai kemahiran digital serta juga pihak korporat untuk tampil ke hadapan dan menghulurkan bantuan," ujarnya.

Encik Heng berkata Menteri Perhubungan dan Penerangan serta IMDA akan berkongsi lebih banyak butiran kelak. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan