Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2021: Pemerintah rancang keluarkan bon baru biaya prasarana utama jangka panjang

Pemerintah berhasrat untuk mengeluarkan bon baru bagi membiayai projek-projek prasarana besar jangka panjang, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam ucapan Belanjawan beliau pada Selasa (16 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2021: Pemerintah rancang keluarkan bon baru biaya prasarana utama jangka panjang

Pulau Tekong. (Gambar: HDB)

Diterbitkan : 16 Feb 2021 11:17PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 11:20PM

SINGAPURA: Pemerintah berhasrat untuk mengeluarkan bon baru bagi membiayai projek-projek prasarana besar jangka panjang, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam ucapan Belanjawan beliau pada Selasa (16 Feb).

Projek-projek itu termasuk laluan baru MRT dan prasarana untuk melindungi negara daripada paras air yang kian meningkat.

Menurut Encik Heng, ini penting kepada pembangunan dan kemampanan jangka panjang Singapura.

Bon itu dikeluarkan di bawah Akta Pinjaman Pemerintah bagi Prasarana Penting (SINGA) yang dicadangkan.
Pemerintah akan membentangkan rang undang-undang mengenainya di Parlimen lewat tahun ini, kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

Dalam kenyataan-kenyataan Belanjawan sebelum ini, Encik Heng berkata bahawa pemerintah sedang meneroka pendekatan ini bagi membiayai projek-projek besar sedemikian yang membolehkan kos dibahagikan dengan lebih saksama merentasi generasi.

Pemerintah juga telah mengeluarkan bon bagi membangunkan pasaran hutang domestik dan menampung keperluan pelaburan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi persaraan rakyat Singapura.

Timbalan Perdana Menteri berkata pada Selasa bahawa Pemerintah sudah memberi taklimat kepada Presiden Halimah Yacob dan mendapatkan sokongan secara prinsip beliau bagi menggunakan pendekatan pinjaman untuk membiayai prasarana besar jangka panjang.

Beliau menambah bon baru di bawah SINGA akan membolehkan cara pembahagian tanggungjawab fiskal yang "adil dan cekap".

"Adil, kerana bayaran ini ditanggung oleh generasi-generasi yang secara langsung meraih manfaat daripada prasarana yang dipertingkat. Cekap, kerana ia membolehkan kami meraih manfaat daripada sekitaran kadar faedah rendah sedia ada."

Encik Heng berkata Pemerintah akan menggunakan hasil pinjaman SINGA dengan cara yang jimat dan telus, dan menetapkan had S$90 bilion bagi pinjaman di bawah SINGA sebagai perlindungan.

"Ini berdasarkan kepada jangkaan projek prasarana utama jangka panjang yang dalam perancangan bagi tempoh 15 tahun akan datang," kata beliau.

"Kami juga akan menetapkan perlindungan lain dalam undang-undang, yang akan dibuka kepada penelitian Parlimen dan orang awam. Butiran lanjut akan disediakan apabila Rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen lewat tahun ini." 

Sumber : CNA/IM/na

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa