Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2021: GST dikenakan ke atas semua barangan diimport dan dibeli online mulai 2023

Mulai tahun 2023, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas barangan berharga rendah yang diimport dan dibeli online melalui udara atau pos.

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2021: GST dikenakan ke atas semua barangan diimport dan dibeli online mulai 2023

(Gambar: Tang See Kit)

Diterbitkan : 16 Feb 2021 11:22PM Dikemas Kini : 16 Feb 2021 11:26PM

SINGAPURA: Mulai tahun 2023, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas barangan berharga rendah yang diimport dan dibeli online melalui udara atau pos.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam ucapan Belanjawan beliau pada Selasa (16 Feb).

Buat masa ini, barangan berharga S$400 atau kurang dan diimport melalui udara atau pos tidak dikenakan GST untuk memudahkan pelepasan di sempadan. Bagaimanapun cukai dibayar ke atas barangan sedemikian yang dibeli di sini.

GST juga akan dikenakan ke atas perkhidmatan bukan digital yang diimport untuk perniagaan kepada pengguna (B2C), bagi perkhidmatan yang dibekalkan menerusi Internet atau rangkaian elektronik lain seperti yang melibatkan interaksi secara langsung dengan penyedia luar negara bagi pembelajaran pendidikan, latihan kecergasan, kaunseling dan tele-perubatan.

Perubahan-perubahan itu akan "memastikan tahap persaingan sama rata bagi perniagaan tempatan untuk bersaing dengan berkesan," menurut Encik Heng pada Selasa, sambil menekankan bahawa ia adalah satu ciri sistem cukai yang adil dan berdaya tahan.

Perubahan-perubahan itu juga diperkenalkan berlatar belakangkan kegiatan beli-belah online yang semakin popular, termasuk dari pembekal luar negara.

Pengumuman itu juga setelah GST dilanjutkan pada 2020 kepada khidmat digital diimport seperti khidmat penstriman filem dan muzik, di tengah-tengah ekonomi digital yang kian meningkat dan dagangan online bagi barangan dan perkhidmatan.

Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan, menarik perhatian bahawa beberapa bidang kuasa, termasuk Australia, New Zealand dan Kesatuan Eropah, sudah melaksanakan atau mengumumkan rancangan serupa ke atas barangan sedemikian.

"Para pembekal barangan dan perkhidmatan di luar negara akan dikenakan bayaran GST yang serupa dengan pembekal tempatan," tambahnya.

"Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) akan terus bekerjasama dengan pihak industri untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar."

BAGAIMANA PERUBAHAN ITU AKAN DILAKUKAN?

Para pembekal barangan dan perkhidmatan bukan digital berharga rendah yang dimport di luar negara akan perlu mendaftar untuk mengenakan bayaran GST ke atas penjualan sedemikian kepada pelanggan tempatan.

"Para pembekal luar negara, pengendali pasaran elektronik dan penghantar semula akan diperlukan berdaftar bagi GST jika mereka membekalkan jumlah barangan bernilai rendah yang besar kepada pelanggan tempatan," menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa.

"Mereka akan memperoleh GST bagi penjualan barangan berharga rendah yang diimport oleh pelanggan tempatan dan kemudian membayar GST kepada IRAS."

MOF menyatakan IRAS akan berbincang dengan pihak industri tidak lama lagi sebelum menetapkan butiran pelaksanaannya.

"Perubahan itu akan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2023, untuk memberi masa kepada peniagaan-peniagaan membuat persiapan bagi pelaksanaan tersebut."

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan