Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2019: Sistem cukai lebih progresif, berdaya tahan

Pemerintah akan melakukan beberapa penyesuaian untuk menjadikan sistem cukai Singapura lebih progresif dan berdaya tahan, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Isnin (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2019: Sistem cukai lebih progresif, berdaya tahan

Gambar fail. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 19 Feb 2019 10:34AM Dikemas Kini : 19 Feb 2019 10:40AM

SINGAPURA: Pemerintah akan melakukan beberapa penyesuaian untuk menjadikan sistem cukai Singapura lebih progresif dan berdaya tahan, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Isnin (18 Feb).

Penyesuaian-penyesuaian ini termasuk membenarkan golongan ibu bekerja membuat tuntutan Pelepasan Penjaga Datuk Nenek jika mereka mendapatkan bantuan ibu bapa, datuk nenek, ibu bapa mertua atau datuk nenek mertua untuk menjaga seorang anak berkeperluan khas atau anak yang belum berkahwin dan tidak mampu berdikari tidak kira usia anak tersebut dan jika mereka memenuhi semua syarat lain.

Buat masa ini, ibu bekerja yang mendapatkan bantuan sedemikian hanya boleh membuat tuntutan Pelepasan Penjaga Datuk Nenek bagi seorang anak berusia 12 tahun atau ke bawah pada tahun sebelum tahun penilaian tuntutan.

Encik Heng turut mengumumkan bahawa insentif cukai akan dilanjutkan dan diperkukuh untuk meningkatkan daya saing perniagaan Singapura.

Ini termasuk lanjutan Elaun Pelaburan 100 peratus di bawah Pakej Sokongan Automasi untuk dua tahun lagi sehingga 31 Mac 2021. Ia diperkenalkan dalam Belanjawan 2016 bagi tempoh tiga tahun untuk menyokong syarikat-syarikat menggunakan automasi, memacu daya penghasilan dan berkembang.

"Pemerintah akan terus merancang bagi jangka panjang," katanya. "Komitmen saya kepada warga Singapura adalah keseluruhan sistem cukai dan pemindahan akan kekal adil, progresif dan pro-pertumbuhan."

STRATEGI FISKAL DISESUAIKAN UNTUK BIAYA PELABURAN BARU

Dalam ucapannya, Encik Heng berkata Singapura akan menarik pelaburan baru menerusi strategi fiskal yang disesuaikan. Satu pendekatan akan diambil bagi pelaburan prasarana utama, manakala satu lagi pendekatan diambil bagi perbelanjaan sosial dan keselamatan berulang dalam bidang-bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan pra-sekolah dan keselamatan.

Satu "pendekatan lebih adil dan kukuh" adalah untuk membiaya perbelanjaan berulang dengan hasil pendapatan berulang, kata Encik Heng.

Beliau berkata banyak negara mengambil "jalan lebih mudah" dengan membiayai perbelanjaan berulang menerusi pinjaman. Namun beliau menegaskan, Singapura tidak seharusnya melakukan sedemikian kerana pinjaman sebegitu "memindahkan beban bayaran keperluan hari ini ke generasi masa hadapan."

"Ini bukan cara Singapura," tegas Encik Heng.

Pendekatan berbeza akan diambil bagi pelaburan prasarana utama seperti pembangunan Changi East dan projek-projek kereta api seperti Laluan Rentas Pulau, menurutnya lagi.

"Bagi perbelanjaan besar yang manfaatnya boleh dinikmati banyak generasi warga Singapura, membiaya menerusi pinjaman adalah lebih adil dan berkesan," kata Encik Heng.

"Meminjam secara bertanggungjawab dan mampan, akan membantu menerapkan disiplin kewangan dan membahagikan bahagian pendanaan secara lebih saksama antara generasi kini dengan masa depan."

Beliau berkata Pemerintah pada 1980an membuat pinjaman untuk membina laluan-laluan MRT Singapura yang pertama, dan lembaga-lembaga berkanun dan syarikat-syarikat milik pemerintah terus membiaya projek pelaburan besar menerusi pinjaman.

Changi Airport Group, tambah Encik Heng, akan mengambil pinjaman untuk membiaya bahagiannya dalam pelaburan infrastruktur bagi pembangunan Changi East.

Untuk merendahkan kos pinjaman, Encik Heng mengumumkan bahawa Pemerintah, dengan keizinan Presiden, akan memberikan jaminan untuk pinjaman Changi East. Ini menurut beliau akan membolehkan mereka untuk memanfaatkan kekuatan penyata imbangan Pemerintah untuk menjamin "pelaburan strategik" ini dan mengurangkan kos pinjaman.

Pemerintah juga sedang mengkaji dengan lebih mendalam pilihan menggunakan pinjaman pemerintah sebagai sebahagian daripada pembiayaan projek prasarana jangka panjang yang akan dilaksanakan oleh Pemerintah, tambah beliau.

Beliau turut berkata, apabila kadar GST dinaikkan seperti diumumkan dalam Belanjawan tahun lalu, Pemerintah akan memastikan sistem cukai dan pemindahan secara keseluruhannya akan kekal adil dan progresif.

Lebih banyak bantuan akan dihulurkan kepada keluarga berpendapatan lebih rendah dan warga emas dengan meningkatkan Skim Baucar GST. Kesan kenaikan GST juga akan dikurangkan untuk satu tempoh menerusi satu pakej bantuan GST.

Perinciannya akan diumumkan kelak.

Encik Heng berkata, teras utama sistem fiskal Singapura adalah komitmen untuk memastikan beban cukai keseluruhan kekal rendah meskipun ada keperluan untuk menambah hasil pendapatan di masa hadapan.

"Pada dasarnya, rejim cukai yang berdaya saing dapat membantu menarik dan mengekalkan pelaburan dan bakat. Ini pula akan menjana pekerjaan baik bagi warga Singapura," kata Encik Heng. "Rejim cukai yang berdaya saing adalah asas utama pertumbuhan ekonomi dan cara terbaik untuk meningkatkan pendapatan cukai secara berdaya tahan."

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan