Skip to main content

Belanjawan 2019: Pelan perubahan persatuan, dewan perdagangan diperkenalkan bagi perkukuh kerjasama

Lebih banyak bantuan, seperti pembangunan pelan perubahan berbilang tahun, akan disediakan bagi persatuan dan dewan perdagangan (TAC).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2019: Pelan perubahan persatuan, dewan perdagangan diperkenalkan bagi perkukuh kerjasama

(Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 18 Feb 2019 11:05PM Dikemas Kini : 20 Feb 2019 10:27AM

SINGAPURA: Lebih banyak bantuan, seperti pembangunan pelan perubahan berbilang tahun, akan disediakan bagi persatuan dan dewan perdagangan (TAC). Ia adalah sebahagian daripada tumpuan Pemerintah untuk menjalin 'kerjasama yang lebih mendalam' dalam Singapura dan dengan negara-negara lain di merata dunia.

Penekanan terhadap kerjasama dalam negeri, di samping mengekalkan hubungan global, akan membentuk salah satu teras utama transformasi ekonomi Singapura yang berterusan, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan hari ini (18 Feb).

TAC, seperti Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), boleh memainkan peranan penting dalam membina keupayaan industri. Encik Heng juga menarik perhatian bahawa ia sudah banyak membantu syarikat-syarikat menjalin kerjasama di luar negara.

Pada masa akan datang, Enterprise Singapore akan menghasilkan pelan perubahan bagi tempoh selama lima tahun berdasarkan TAC yang sebelum ini "menunjukkan kepimpinan yang kukuh dan aspirasi untuk melakukan lebih lagi bagi masyarakat perniagaan".

Ini, menurut Encik Heng, akan membantu TAC untuk mengambil "pendekatan yang lebih strategik dan lebih bersifat jangka panjang" untuk memacu perubahan industri, di samping mengakses pembiayaan dana dan berpotensi memikat pertubuhan-pertubuhan sedemikian dari sektor awam menerusi Program Pembangunan Perusahaan dan Persatuan Tempatan (LEAD).

Selain itu, terdapat juga usaha untuk memperkemas dan mendigitalkan proses-proses perdagangan dengan lebih lanjut lagi bagi membantu syarikat-syarikat tempatan memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan lebih berkesan, seperti perjanjian perdagangan Kesatuan Eropah-Singapura yang dimuktamadkan baru-baru ini.

Menyusuli pelancaran Platform Rangkaian Perdagangan tahun lalu yang bermatlamat untuk memperkemas proses perdagangan dan menyediakan sistem pengurusan maklumat sehenti bagi para pedagang, Encik Heng turut mengumumkan bahawa kerja-kerja sedang dijalankan bagi "memudahkan pertukaran dokumen perdagangan elektronik dengan selamat".

MEMBANGUNKAN S'PURA SEBAGAI PUSAT GLOBAL-ASIA

Encik Heng menekankan bahawa kerjasama sejagat juga memainkan peranan penting dalam meletakkan Singapura sebagai sebuah pusat teknologi, inovasi dan keusahawanan Global-Asia - iaitu satu strategi utama bagi fasa pertumbuhan seterusnya bagi Singapura.

Perikatan Inovasi Sejagat (GIA) sudah membangunkan sembilan pusat pemula global seperti Bangkok dan Beijing sejak ia dilancarkan dua Kenyataan Belanjawan yang lalu.

"Pusat-pusat GIA memberi para usahawan dan pelajar kita peluang untuk mempelajari dan membangunkan rangkaian di seluruh dunia."

Selain itu, ada juga usaha untuk membawa masyarakat inovasi dari merata dunia ke Singapura dan mewujudkan peluang-peluang bagi mengintai peluang kerjasama.

Bagi tujuan itu, dua acara utama - Pesta Teknologi Kewangan Singapura serta Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura - akan diadakan pada minggu yang sama pada pertengahan November.

Encik Heng juga mengumumkan penubuhan dua Pusat Inovasi baru, yang memberi tumpuan kepada akuakultur dan tenaga, sebagai sebahagian daripada usaha Pemerintah untuk membantu syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dari segi inovasi teknologi.

Pusat yang memberi tumpuan kepada akuakultur itu akan menyokong pertubuhan dan membantu syarikat-syarikat tempatan menembusi pasaran antarabangsa sambil meningkatkan kebingkasan makanan negara ini. Pusat berkenaan akan ditubuhkan oleh Politeknik Temasek.

Pusat yang kedua pula, yang akan ditempatkan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), bertujuan untuk memacu inovasi yang diterajui industri, dalam kecekapan tenaga, tenaga yang boleh diperbaharui dan mobiliti elektrik.

"Sepanjang beberapa tahun lalu, kami sudah menjalin kerasama yang mendalam dengan ekonomi-ekonomi G3 seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun serta China, India dan ASEAN," kata Encik Heng.

Kedudukan Singapura sebagai 'pusat Global-Asia' akan membuka peluang baru untuk syarikat-syarikat dan rakyat memanfaatkan Revolusi Perindustrian Keempat yang tercetus akibat kemajuan dan kemunculan teknologi baru, tambahnya.

Bagi mempersiapkan rakyat Singapura untuk merebut peluang-peluang tersebut, Program Bakat Global akan ditawarkan kepada para pelajar yang buat masa ini menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi.

Program baru itu menggabungkan program-program bekerja sambil belajar di dalam dan luar negara, dan akan menyediakan lebih banyak sokongan dana bagi para pelajar yang menjalani latihan amali dengan syarikat-syarikat Singapura di luar negara.

Ia juga akan menyokong syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi menjana pertumbuhan dengan menghantar rakyat Singapura yang berpengalaman bekerja selama sehingga tiga tahun ke pasaran-pasaran utama seperti Asia Tenggara, China dan India.

"Dengan memberikan pendedahan luar negara kepada rakyat muda Singapura, mereka boleh menimba kemahiran baru untuk menyokong pengembangan syarikat-syarikat kita di luar negara dengan lebih baik," tambah Encik Heng. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita