Belanjawan 2019: Nisbah pekerja asing dalam sektor perkhidmatan dikurangkan kepada 35% jelang 2021
Pemerintah akan mengurangkan kuota pekerja asing dalam sektor perkhidmatan bagi tempoh dua tahun akan datang untuk menggalak syarikat-syarikat meningkatkan usaha penyusunan semula dan daya penghasilan masing-masing.

Kuota bagi pekerja asing dalam sektor perkhidmatan akan dikurangkan dalam masa dua tahun akan datang. (Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Pemerintah akan mengurangkan kuota pekerja asing dalam sektor perkhidmatan bagi tempoh dua tahun akan datang untuk menggalak syarikat-syarikat meningkatkan usaha penyusunan semula dan daya penghasilan masing-masing.
Ini diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa membentangkan Kenyataan Belanjawan hari ini (18 Feb). Semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan, beliau turut mengumumkan bahawa Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) bagi sektor perkhidmatan akan dikurangkan dari 40 peratus kepada 38 peratus pada 1 Januari 2020 dan kepada 35 peratus pada 1 Januari 2021.
Pihak berkuasa juga akan mengurangkan jumlah pemegang Pas S yang boleh digajikan syarikat-syarikat dalam sektor perkhidmatan - dari 15 peratus kepada 13 peratus pada 1 Januari 2020 dan kemudian 10 peratus pada 1 Januari 2021.
Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) dan sistem nisbah Pas S kekal tidak berubah bagi sektor-sektor lain.
Dalam ucapannya, Encik Heng juga berkata bahawa meskipun sesetengah syarikat sudah memanfaatkan tenaga kerja mereka dengan cekap, namun pertumbuhan daya penghasilan tidak rata bagi semua sektor.
Meskipun sektor pengilangan mencatat prestasi baik, beliau menambah, sesetengah segmen dalam sektor perkhidmatan seperti Makanan dan Minuman (F&B) dan runcit, masih terlalu bergantung kepada tenaga buruh.
Jumlah pemegang Pas S dan permit kerja dalam sektor perkhidmatan sudah meningkat sekitar tiga peratus, atau 34,000, setiap tahun sepanjang tempoh tiga tahun lalu. Pertumbuhan pada jumlah pemegang Pas S dalam sektor perkhidmatan adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun.
"Jika trend ini berterusan, pertumbuhan tenaga kerja asing mungkin tidak dapat ditampung," tambah Encik Heng.
Sektor perkhidmatan merangkumi industri-industri seperti perdagangan borong dan runcit, infokom, penginapan dan khidmat makanan.
Pada 2017, ia merangkumi hampir 196,700 pertubuhan. Menjelang Jun 2018, sektor itu menggajikan 1.8 juta pekerja rakyat tempatan dan penduduk tetap (PR) berusia 15 tahun ke atas, berdasarkan statistik pemerintah.
"Pemerintah perlu bertindak tegas dalam menguruskan pertumbuhan tenaga kerja dalam sektor ini dan menggalak syarikat-syarikat supaya menyusun semula proses kerja, mereka semula pekerjaan dan melatih semula pekerja-pekerja mereka," kata Encik Heng.
"Bergantung kepada lebih ramai tenaga kerja asing bukanlah satu huraian jangka panjang - ekonomi-ekonomi lain juga sedang membangun," tambah beliau.
"Apa yang Singapura perlukan ialah pengaliran masuk pekerja asing yang mampan bagi melengkapi tenaga kerja Singapura sedang para pekerja tempatan meningkatkan kemahiran mereka dan Singapura membina keupayaan perusahaan yang mendalam," tambah beliau.
Encik Heng memberi amaran, "Pertumbuhan tenaga kerja Singapura semakin runcing, dan jika kita tidak menggunakan masa singkat ini untuk meningkatkan usaha penyusunan semula, syarikat-syarikat akan menghadapi cabaran di masa hadapan."
Beliau juga menambah Pemerintah sudah mengumumkan pengurangan pada kuota pekerja asing sekitar setahun lebih awal untuk memberi syarikat-syarikat masa untuk mempersiapkan diri.
Bagi syarikat-syarikat dengan tenaga kerja yang melebihi had baru ini, DRC akan dikenakan ke atas mereka apabila mereka membuat permohonan untuk memperbaharui permit.
SOKONGAN DAYA PENGHASILAN
Untuk membantu syarikat-syarikat membuat penyesuaian dengan perubahan-perubahan itu, Pemerintah akan memperluaskan sokongan di bawah Geran Pembangunan Perusahaan - yang memberi dana sehingga 70 peratus projek-projek bagi mengukuhkan keupayaan perniagaan, kecekapan operasi dan pengantarabangsaan - selama lagi tiga tahun sehingga Mac 2023.
Sokongan yang dipertingkat itu pada awalnya dijadual luput selepas Mac 2020.
Pemerintah juga akan melanjutkan sokongan yang dipertingkat di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan sehingga Mac 2023. Geran itu menawarkan sokongan dana sehingga 70 peratus bagi menggalak syarikat-syarikat melaksanakan huraian-huraian daya penghasilan dan teknologi yang lebih khusus.
Bagi meningkatkan kemahiran para pekerja, Geran Meningkatkan Daya Penghasilan juga akan merangkumi komponen yang memberi subsidi sehingga 70 peratus bagi menampung perbelanjaan latihan untuk syarikat-syarikat yang layak, dihadkan pada $10,000 bagi setiap syarikat. Ini juga akan dilanjutkan sehingga Mac 2023.
Sementara itu, Encik Heng turut mendedahkan bahawa syarikat-syarikat boleh terus memohon untuk mendapatkan kelonggaran tenaga kerja tambahan bagi kes-kes tertentu.
Sebagai contoh, syarikat-syarikat boleh membawa masuk para pekerja asing yang memiliki kemahiran khas dan permintaan bagi kemahiran sedemikian pula semakin menjadi rebutan di peringkat antarabangsa, berdasarkan kes, jika mereka masih menghadapi masalah kekurangan pekerja selepas mengambil kira tenaga kerja rakyat tempatan.
Di bawah Skim Lean Enterprise Development (LED) yang menyokong firma-firma yang sedang menjalani perubahan supaya jangan terlalu bergantung kepada tenaga kerja, kelonggaran sedemikian boleh dipertimbangkan jika firma-firma memerlukan sumber-sumber jangka pendek untuk beralih ke model operasi yang baru, tambah Encik Heng.
Bagi sektor limbungan kapal dan proses pula, Encik Heng berkata pihak berkuasa akan menunda daripada menaikkan kadar levi pekerja asing - yang diumumkan sebelum ini - kepada setahun lagi kerana industri-industri ini baru menunjukkan tanda-tanda awal kebangkitan.
PROGRAM SOKONGAN PEKERJAAN BARU
Bagi membantu para pekerja mendapatkan pekerjaan dalam bidang-bidang pertumbuhan baru, Encik Heng berkata Pemerintah akan melancarkan Program Penukaran Profesional (PCP) yang baru dalam sektor blockchain, sofwe kawal selia dan pasang siap pada tahun ini.
Program Penukaran Profesional (PCP) disasarkan kepada golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen, termasuk golongan pertengahan kerjaya, yang ingin menimba kemahiran baru untuk memasuki sektor-sektor lain dengan prospek pekerjaan yang lebih cerah.
Program Sokongan Kerja, yang menawarkan para majikan dengan subsidi gaji jangka pendek untuk menggalak mereka supaya menggajikan pekerja yang diberhentikan kerja atau yang sedang menganggur, juga akan dilanjutkan selama dua tahun sehingga Mac 2021.
USAHA-USAHA LAIN
Sedang syarikat-syarikat melalui perubahan, manfaat yang diraih harus disalurkan kepada para pekerja.
Mulai 1 April 2020, kesemua usaha transformasi yang disokong Geran Pembangunan Perusahaan mesti membuahkan "hasil positif" untuk para pekerja, termasuk dari segi kenaikan gaji.
Encik Heng berkata para kesatuan sedang melaburkan usaha dan sumber tambahan untuk menyokong syarikat-syarikat dan para pekerja bagi mencapai matlamat tersebut.
Pemerintah juga akan melancarkan Program Bakat Global yang baru, yang bermatlamat untuk menyediakan "bakat-bakat sedia global" bagi syarikat-syarikat perusahaan Singapura, untuk membantu rakyat muda Singapura cemerlang di persada antarabangsa dan menyokong syarikat-syarikat tempatan yang ingin menebarkan sayap ke luar negara.
Program itu akan menyokong para pelajar yang menjalani latihan amali - di Singapura dan juga di luar negara - dari segi perbelanjaan kewangan misalnya. Ia juga akan memberi sokongan kepada firma-firma tempatan yang merancang untuk menghantar golongan muda Singapura ke pasaran-pasaran utama luar negara.
Encik Heng berkata para pekerja perlu mendakap usaha melatih semula dan menimba kemahiran baru, di samping memanfaatkan peluang-peluang baru tempatan dan luar negara.
Sementara itu, syarikat-syarikat perlu meningkatkan usaha melatih dan mereka semula pekerjaan bagi para pekerja bagi meneruskan kemajuan mantap yang dicatatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tahun lalu, jumlah penduduk dalam tenaga kerja Singapura yang terlibat dalam latihan berstruktur atau kegiatan pendidikan meningkat kepada 48 peratus, berbanding 35 peratus pada 2015.
"Matlamat muktamad kami adalah untuk memastikan rakyat kita berupaya mendapatkan pekerjaan dan peluang yang baik dan supaya mereka kekal di paras terbaik," kata Encik Heng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.