BELANJAWAN 2019: Lebih banyak sokongan bagi pekerja lanjut usia, bergaji rendah; tambahan subsidi CHAS di klinik GP
Pemerintah akan menawarkan lebih banyak sokongan kewangan kepada para pekerja bergaji rendah dan pekerja lanjut usia dengan menaikkan bayaran tahunan yang diagihkan melalui Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS).
Lebih banyak sokongan bagi pekerja lanjut usia, bergaji rendah diumumkan di Belanjawan 2019. (Gambar: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Pemerintah akan menawarkan lebih banyak sokongan kewangan kepada para pekerja bergaji rendah dan pekerja lanjut usia dengan menaikkan bayaran tahunan yang diagihkan melalui Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS). Selain itu, beberapa inisiatif akan diperluaskan bagi membantu golongan itu menambah simpanan bagi persaraan mereka.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat menggariskan perkembangan itu dalam Belanjawan tahun ini, sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Singapura untuk membina sebuah masyarakat yang penyayang dan inklusif.
Bagi menambah pendapatan para pekerja bergaji rendah, Pemerintah akan mempertingkatkan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) dengan menawarkan bayaran tunai dan tokokan CPF bagi pekerja dengan pendapatan dalam kalangan bawah 20 peratus, dengan sokongan turut dihulurkan kepada mereka yang berada di atas golongan tersebut.
Pertama, had pendapatan untuk layak bagi Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) akan dinaikkan dari S$2,000 sekarang kepada S$2,300 setiap bulan yang akan dikuatkuasakan mulai Januari 2020.
Kedua, bayaran tahunan maksimum akan dinaikkan sehingga S$400. Para pekerja lanjut usia juga akan mendapat kenaikan lebih tinggi dari segi bayaran. Misalnya, para pekerja yang berusia 60 tahun dan meraih pendapatan S$1,200 sebulan kini akan mendapat bayaran S$4,000 setiap tahun melalui Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), atau hampir 30 peratus daripada pendapatan mereka.
Encik Heng menambah, peningkatan itu akan menelan belanja tambahan sekitar S$206 juta setiap tahun dan dengan itu meningkatkan kos WIS kepada hampir S$1 bilion setahun secara keseluruhannya. Hampir 440,000 penduduk dijangka meraih manfaat.
Pemerintah juga akan menokok dana Kredit Pekerjaan Khas (SEC) sebanyak S$366 juta untuk memberi lebih sokongan kepada para majikan yang menggajikan pekerja lanjut usia.
Kredit Pekerjaan Khas (SEC), bersama dengan Kredit Pekerjaan Khas Tambahan (ASEC) yang bertujuan untuk menggalak para majikan menggajikan pekerja yang melepasi usia pengambilan semula, akan dilanjutkan selama lagi setahun sehingga 31 Disember 2020.
"Pemerintah akan mengkaji bentuk-bentuk sokongan yang lebih baik untuk terus membantu para pekerja kekal produktif, selain meraih pendapatan dan simpanan yang lebih besar bagi persaraan. Kita akan mengkaji semula kesesuaian dan struktur SEC dan ASEC, selari dengan saranan-saranan oleh Kumpulan Kerja Perikatan Tiga Pihak mengenai Pekerja Lanjut Usia," kata Encik Heng.
PENINGKATAN SUBSIDI CHAS DI KLINIK GP
Untuk memudahkan akses kepada jagaan kesihatan di klinik-klinik kejiranan, Pemerintah akan memperluaskan subsidi Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) untuk merangkumi semua rakyat Singapura yang menghidap penyakit kronik, tanpa mengira pendapatan mereka.
Selain itu, bagi golongan berpendapatan rendah dan golongan pertengahan yang memegang kad CHAS berwarna jingga dan buat masa ini menerima subsidi bagi penyakit-penyakit kronik, subsidi-subsidi itu akan diperluaskan untuk merangkumi penyakit-penyakit biasa. Subsidi-subsidi bagi keadaan kronik yang rumit juga akan ditingkatkan.
Encik Heng turut menarik perhatian bahawa Pemerintah akan melakarkan langkah-langkah bagi memastikan klinik-klinik CHAS menyediakan khidmat yang baik.
"Kementerian Kesihatan akan meneliti cara-cara bagaimana untuk membantu klinik-klinik CHAS memantau perkembangan para pesakit. Pada masa yang sama, MOH juga akan menyemak semula garis panduan klinikal bagi khidmat jagaan di klinik-klinik pergigian CHAS, untuk memastikan khidmat jagaan yang ditawarkan sesuai dengan keperluan para pesakit," ujar beliau.
Dengan perubahan-perubahan itu, Pemerintah dijangka akan membelanjakan lebih S$200 juta dalam bentuk subsidi CHAS setiap tahun.
Di samping itu, Pemerintah akan memperuntukkan lagi S$3.1 bilion, selain S$2 bilion yang diperuntukkan tahun lalu untuk menyokong perlindungan kewangan bagi jagaan jangka panjang rakyat Singapura.
"Pemerintah akan menyalurkan S$5.1 bilion ini ke Dana Sokongan Jagaan Jangka Panjang yang baru. Ini akan membantu membiayai subsidi CareShield Hayat dan langkah-langkah sokongan jagaan jangka panjang, seperti ElderFund," kata Encik Heng.
TOKOKAN LIMA TAHUN MEDISAVE
Selain itu, Encik Heng turut mengumumkan sokongan yang dipertingkat bagi rakyat Singapura yang membentuk Generasi Merdeka.
Namun, bagi rakyat Singapura yang tidak layak menerima Pakej Generasi Merdeka khususnya bagi mereka yang mencecah usia 50 tahun dan ke atas pada 2019, Encik Heng mengumumkan bahawa Pemerintah akan memberi tokokan Medisave sebanyak S$100 setiap tahun selama lima tahun kepada golongan itu.
Encik Heng berkata, "Generasi ini lebih muda dan lebih sihat, dan saya berharap mereka akan melakukan lebih lagi untuk kekal aktif dan sihat."
Sementara itu, Pemerintah juga akan menaikkan kadar bantuan wang tunai bagi skim Elaun Singapura dan Bantuan Jangka Panjang ComCare.
Skim itu menawarkan bantuan tunai setiap bulan bagi mereka yang tidak lagi berupaya bekerja dan hanya mendapat sedikit bantuan daripada keluarga mereka untuk menampung perbelanjaan harian mereka.
Dengan peningkatan itu, sebuah keluarga seramai dua anggota yang kedua-duanya layak bagi skim itu akan menerima tambahan S$130 sebulan. Dengan ini, jumlah bantuan yang diterima meningkat kepada S$1,000 sebulan.
Para pesara dari perkhidmatan awam yang menerima jumlah pencen yang lebih rendah akan mendapat Elaun Singapura yang lebih tinggi dan had pencen bulanan yang masing-masing akan dinaikkan S$20 sebulan kepada S$320 dan S$1,250 setiap seorang. Perubahan ini dijangka akan memanfaatkan sekitar 9,300 pesara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.