Belanjawan 2019: Cukai diesel akan naik kepada 20 sen setiap liter
Cukai diesel akan dinaikkan dari 10 sen kepada 20 sen setiap liter berkuat kuasa serta merta.
(Gambar fail: Hester Tan)
SINGAPURA: Cukai diesel akan dinaikkan dari 10 sen kepada 20 sen setiap liter berkuat kuasa serta merta. Demikian diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa Belanjawan 2019 hari ini (18 Feb).
Cukai diesel itu digandakan sebagai sebahagian dari langkah Pemerintah untuk menyusun semula cukai-cukai minyak diesel. Pada masa yang sama, satu cukai khas tahunan bagi kenderaan teksi diesel akan dikurangkan sebanyak $850 secara tetap.
Langkah itu berikutan perubahan pada 2017, di mana cukai diesel bagi kedua-dua kereta dan teksi beralih daripada sistem cukai tahunan ke arah sistem cukai berdasarkan penggunaan.
"Selama beberapa tahun, kita melaksanakan beberapa skim bagi menggalakkan pembaharuan awal kenderaan komersil diesel dan juga mengambil kira kesan terhadap pengeluaran asap dari kenderaan," kata Encik Heng, sambil menambah langkah itu melihat "hasil positif."
"Lebih ramai pemilik kenderaan beralih kepada penggunaan enjin mesra alam seperti kenderaan hibrid elektrik. Kami gembira melihat pengurangan dalam jumlah kenderaan diesel baru dan teksi berdaftar," tambah beliau.
Sewaktu membuat pengumuman Belanjawan pada Isnin (18 Feb), Encik Heng menggesa syarikat-syarikat teksi supaya menyalurkan penjimatan kepada para pemandu, seperti yang dilakukan pada 2017, kerana ini akan "mengurangkan kesan peningkatan cukai diesel lebih dari tiga perempat untuk para pemandu teksi."
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (18 Feb), syarikat teksi ComfortDelGro mengesahkan bahawa ia akan menyalurkan penjimatan yang diraih dari pengurangan jumlah cukai khas tahunan bagi teksi diesel kepada para pemandunya.
CUKAI JALAN, REBAT WANG TUNAI BAGI KENDERAAN DIESEL
Pemerintah juga akan mengurangkan secara kekal cukai khas untuk kenderaan diesel sebanyak $100. Secara purata, ini akan mengurangkan kesan kenaikan cukai diesel sebanyak lebih daripada separuh.
Untuk membantu perniagaan membuat penyesuaian, kenderaan komersil diesel akan mendapat 100 peratus rebat cukai selama setahun dan sebahagian rebat cukai jalan selama dua tahun. Bas-bas sekolah yang menggunakan diesel juga akan mendapat penambahan rebat tunai sehingga $3,200 sepanjang tiga tahun.
Namun, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan rebat cukai jalan baru itu tidak tertakluk kepada bas-bas awam yang beroperasi di bawah kontrak LTA. Sebaliknya, perjanjian berasingan akan dibuat bersama para pengendali bas di bawah peruntukan kontrak.
"Bas-bas diesel dan kenderaan barangan perlu memenuhi kesemua syarat sedia ada untuk memperbaharui cukai jalan raya untuk menerima cukai rebat jalan yang baru. Ini termasuk mempunyai insurans motor yang sah dan lulus pemeriksaan kenderaan," menurut LTA.
Bagi para pemilik bas diesel dan kenderaan barangan yang membayar cukai jalan raya bagi tempoh selepas 1 Ogos 2019, baki cukai jalan yang dibayar akan secara automatik digunakan untuk mengimbangi jumlah yang perlu dibayar pada pembaharuan seterusnya.
"Jika pemilikan kenderaan itu dipindahkan sebelum cukai jalan seterusnya, baki cukai jalan yang dibayar akan digunakan untuk mengimbangi bayaran pemindahan dan baki cukai jalan berlebihan akan ditanggung oleh pemilik baru," tambah LTA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.