Belanjawan 2019: Bonus Bicentennial S$1.1 bilion bagi rakyat S'pura
Pemerintah akan memperkenalkan Bonus Bicentennial Singapura berjumlah S$1.1 bilion sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperingati Bicentennial Singapura. Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan demikian hari ini (18 Feb).
(Gambar: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Pemerintah akan memperkenalkan Bonus Bicentennial Singapura berjumlah S$1.1 bilion sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperingati Bicentennial Singapura. Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan demikian hari ini (18 Feb).
Bonus itu merangkumi beberapa komponen, termasuk baucar GST bagi rakyat Singapura yang berpendapatan rendah serta rebat cukai pendapatan peribadi.
Semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan hari ini (18 Feb), Encik Heng berkata dari masa ke masa jika kedudukan kewangan negara mengizinkan, Pemerintah akan berkongsi kelebihan kewangan dengan rakyat Singapura dan menyediakan lebih banyak bantuan bagi mereka dengan keperluan tertentu.
"Dengan bonus ini, saya berharap agar semua rakyat Singapura, yang muda dan tua, akan menyertai kami untuk memperingati detik penting ini dalam sejarah Singapura," katanya sedang beliau menggariskan pelbagai komponen bonus tersebut.
Yang pertama, ia akan membantu rakyat Singapura yang berpendapatan rendah untuk menampung perbelanjaan seharian mereka. Sekitar 1.4 juta rakyat akan meraih manfaat daripada Baucar Tunai GST (Bayaran Bicentennial) bernilai sehingga S$300.
Para pekerja berpendapatan rendah yang menerima bayaran Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) akan juga menerima Bonus Daya Kerja Bicentennial. Mereka akan menerima tambahan 10 peratus bayaran WIS bagi kerja-kerja yang dilakukan pada 2018, dengan bayaran minimum sebanyak S$100 dalam bentuk wang tunai.
Kedua, semua penduduk yang membayar cukai akan menerima rebat 50 peratus, pada cukai peribadi mereka dengan jumlah itu dihadkan kepada S$200, bagi pendapatan yang diperolehi pada 2018. Encik Heng berkata had itu ditetapkan bagi memberi manfaat kepada golongan berpendapatan pertengahan.
Ketiga, para ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah akan menerima sokongan tambahan bagi pendidikan anak mereka.
Akaun Edusave setiap pelajar rakyat Singapura di peringkat sekolah rendah dan menengah akan menerima tokokan S$150. Ia tambahan kepada sumbangan Edusave oleh Pemerintah setiap tahun.
Rakyat Singapura yang berusia antara 17 dengan 20 tahun pula akan menerima tokokan S$500 dalam Akaun Pendidikan Pos Menengah mereka jika mereka belum lagi meraih manfaat daripada tokokan Edusave. Encik Heng berkata ini akan membantu ibu bapa untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka di peringkat pengajian tinggi.
Secara keseluruhannya, sekitar 570,000 pelajar dijangka meraih manfaat daripada langkah ini dan tokokan itu akan menelan belanja sebanyak S$140 juta.
Akhir sekali, Encik Heng berkata lebih banyak sokongan akan disediakan bagi golongan warga tua yang hampir bersara.
Rakyat Singapura yang berusia antara 50 dengan 64 tahun pada 2019 dan mempunyai kurang daripada $60,000 dalam akaun CPF mereka, akan menerima tokokan $300 hingga $1,000.
Sekitar 300,000 rakyat Singapura akan mendapat faedah daripada tokokan itu, dengan sebahagian besarnya kaum wanita, kata Encik Heng.
"Sebahagian besar daripada mereka berhenti kerja pada usia muda untuk menjadi ibu, penjaga ataupun suri rumah," katanya. "Oleh itu, mereka mempunyai masa lebih singkat untuk membuat simpanan."
"Tokokan ini adalah satu cara untuk mengiktiraf sumbangan mereka dan membantu menambah simpanan masing-masing."
Encik Heng menambah bahawa rakyat Singapura dalam kalangan usia 50 tahun hingga 64 tahun, yang juga layak bagi skim Daya Kerja, akan meraih juga manfaat daripada peningkatan WIS. Sebilangan besar daripada mereka dalam lingkungan usia 60 hingga 64 tahun juga akan menerima Pakej Generasi Merdeka, tambah Encik Heng, manakala yang lain pula akan menerima tokokan MediSave selama lima tahun.
"Sama-sama, kami berharap agar langkah-langkah ini akan dapat memberi lebih banyak ketenangan kepada pekerja lanjut usia dan apabila mereka meniti usia senja."
DANA MASYARAKAT BICENTENNIAL BAGI MENGGALAK RAKYAT S'PURA SUMBANG SEMULA KEPADA MASYARAKAT
Selain Bonus Bicentennial, Encik Heng juga mengumumkan satu lagi inisiatif istimewa bagi menyokong Bicentennial Singapura.
Dana Masyarakat Bicentennial Singapura bernilai S$200 juta akan ditubuhkan bagi menggalak rakyat Singapura supaya menyumbang semula kepada masyarakat. Dana itu akan memadankan sedolar bagi setiap dolar yang diterima oleh institusi-institusi bertaraf awam (IPC) pada tahun kewangan 2019.
"Dengan ini, kami berharap untuk menggalak lebih ramai rakyat Singapura, termasuk golongan muda rakyat negara ini, untuk mengamalkan semangat menyumbang semula kepada masyarakat," katanya. "Pada masa yang sama, kami juga menggalak IPC supaya mendampingi lebih ramai penderma."
Dana itu, menurut Encik Heng, akan memastikan pengagihan sokongan yang baik bagi semua derma yang diterima oleh IPC, yang buat masa ini tidak menerima tokokan pemerintah. Dana itu juga akan meningkatkan kesan daripada usaha yang dilakukan badan-badan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.