Bekerja dari rumah kekal sebagai aturan pilihan; JSS dilanjutkan hingga Julai
Bekerja dari rumah kekal sebagai aturan pilihan meskipun sedang Singapura melangkah ke Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dalam masa beberapa minggu mendatang, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (13 Jun).

Gambar: MCI
SINGAPURA: Bekerja dari rumah kekal sebagai aturan pilihan meskipun sedang Singapura melangkah ke Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) dalam masa beberapa minggu mendatang, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (13 Jun).
Bagi para pekerja yang perlu pergi ke tempat kerja, waktu kerja mereka harus disusun secara berperingkat dan waktu kerja fleksibel harus dilaksanakan. Para pekerja tidak seharusnya disuruh bekerja di tempat kerja yang berbeza-beza.
Para pekerja juga tidak dibenarkan berkumpul atau menyajikan makanan dan minuman di acara-acara yang diadakan di tempat kerja, tambah MOH.
Singapura melangkah ke peringkat pertama Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada 14 Jun selepas jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat merosot. Lebih banyak sekatan akan dilonggarkan di peringkat kedua mulai 21 Jun dengan orang ramai dibenarkan makan di luar dalam kumpulan seramai dua orang saja.
SKIM BANTUAN PEKERJAAN DILANJUTKAN
Dengan sekatan-sekatan ke atas kegiatan seperti makan di luar dan bersenam tanpa perlu memakai pelitup di tempat-tempat tertutup masih dikuatkuasakan, langkah-langkah seperti Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) juga akan dilanjutkan untuk perniagaan-perniagaan dan para pekerja mereka.
Di bawah skim yang memberi subsidi gaji kepada pekerja tempatan itu, perniagaan-perniagaan terjejas boleh menerima sokongan sebanyak 30 peratus selama tiga minggu mulai 21 Jun. Subsidi itu kemudian akan dikurangkan kepada 10 peratus bagi dua minggu selanjutnya mulai 12 Julai.
Sebelum ini, pemerintah mengumumkan bahawa sektor-sektor yang perlu ditutup sehingga 20 Jun sebagai sebahagian daripada pembukaan semula ekonomi secara berperingkat akan menerima sokongan 10 peratus dari 21 Jun hingga 30 Jun.
Kegiatan-kegiatan yang akan dibenarkan mulai 21 Jun termasuk duduk makan di restoran dan pusat makanan, persembahan secara langsung, bersenam tanpa memakai pelitup di gim dan studio kecergasan serta kelas-kelas tuisyen dan program-program pengayaan.
"Kami sedia maklum bahawa sesetengah perniagaan akan terjejas lantas, Kementerian Kewangan akan melanjutkan langkah-langkah sokongan," kata pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 Encik Lawrence Wong di sidang media siang tadi.
"Malangnya, kami tidak boleh meneruskan peringkat kedua pembukaan semula negara setelah mengambil kira penularan-penularan baru dan kelompok-kelompok besar yang dikesan di Bukit Merah baru-baru ini. Dan kini kami harus mengubah suai rancangan kami," kata beliau.
Encik Wong yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan langkah-langkah sokongan bagi industri F&B yang akan akan dilanjutkan.
Para penjaja yang bekerja sendiri bakal menerima pengecualian sewa dan subsidi bagi yuran membersihkan meja dan khidmat mencuci pinggan mangkuk, kata beliau. Ini bagi para pegerai di pusat-pusat penjaja yang diuruskan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau para pengendali yang dilantik oleh NEA.
Bagi para pekerja yang masih terjejas oleh sekatan-sekatan lebih ketat, Geran Pemulihan COVID-19 akan dilanjutkan sehingga hujung Julai, tambah beliau.
Para penerima geran sekarang ini, boleh membuat permohonan kedua pada Julai. Perincian lanjut akan diumumkan kelak, menurut MOH.
UJIAN WAJIB BAGI KAKITANGAN KEGIATAN TANPA PELITUP
Para kakitangan yang bekerja di persekitaran yang berisiko tinggi di mana pelanggan tidak memakai pelitup atau berdepan dengan individu lain untuk tempoh yang berpanjangan, akan dikehendaki menjalani kitaran ujian 14 hari bermula pertengahan Julai.
Sebelum ini, pemerintah mengumumkan bahawa mereka yang bekerja di persekitaran berisiko tinggi mesti menjalani ujian COVID-19 secara berkala tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Ini termasuk para pekerja di restoran dan pusat makanan, khidmat jagaan dan dandanan diri yang memerlukan pelanggan menanggalkan pelitup seperti rawatan muka, mandi wap dan khidmat dandanan serta gim dan studio kecergasan di mana para klien tidak memakai pelitup.
"Kebanyakan ujian sebegini boleh dilakukan melalui sistem ujian swab kendiri, oleh pekerja itu sendiri dan diselia oleh para majikan," kata Encik Wong sambil menambah pemerintah akan melatih para pekerja untuk melakukan sedemikian.
Latihan akan disediakan secara percuma bagi tempoh tiga bulan akan datang dan kit-kit ujian pantas antigen akan disediakan bagi tujuan tersebut.
Untuk perniagaan-perniagaan yang tidak mampu mengendalikan ujian-ujian swab kendiri, para pekerja mereka boleh menjalani ujian di Pusat Ujian Pantas, kata Encik Wong. Sebuah pusat akan dibangunkan di Tekka dan sebuah lagi di Yishun dan kedua-duanya akan beroperasi mulai 21 Jun. Lebih banyak pusat akan didirikan kelak.
Pemerintah juga akan memberi kemudahan lebih awal bagi mereka yang bekerja di tempat berisiko tinggi untuk mengurangkan jangkitan COVID-19.
LAPORAN-LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.