Skip to main content

Iklan

Iklan

Bazar alternatif tawar juadah berbuka sedang bazar Geylang dibatalkan buat tahun kedua

Dengan bazar Hari Raya Geylang Serai dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut, Encik Naufal Azman, 22, teringin menikmati suasana perayaan sekali lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Bazar alternatif tawar juadah berbuka sedang bazar Geylang dibatalkan buat tahun kedua

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 26 Apr 2021 02:58PM Dikemas Kini : 26 Apr 2021 03:00PM

SINGAPURA: Dengan bazar Hari Raya Geylang Serai dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut, Encik Naufal Azman, 22, teringin menikmati suasana perayaan sekali lagi.

Oleh itu apabila beliau terlihat kiriman di media sosial mengenai "bazar mini" di The Grandstand, sebuah pusat beli-belah di Turf Club Road, jaraknya yang jauh dari rumah beliau di kawasan timur tidak menghambatnya daripada mengunjungi 'bazar' tersebut.

Di sana, 21 gerai yang menjual makanan dan minuman, kuih tradisional, baju dan barangan elektronik malah kedai gunting rambut juga, dibuka sejak pertengahan bulan Mac sebagai persediaan untuk Ramadan.

"Saya amat merindui makanan bazar, terutamanya dendeng dan burger Ramly," kata Encik Naufal yang ke sana bersama dua rakannya pada Khamis (22 Apr).

Kebanyakan pemilik gerai sebelum ini terlibat dalam bazar Geylang.

Salah satu daripadanya adalah The Mango Float, sebuah gerai yang popular dengan minuman perisa mangga dan snek keju Korea yang dijualnya.

Gerai itu dikendalikan oleh Cik Zalinah Zanial, 36, dan suaminya Encik Mohamad Hussin Said, 34. Mereka mengambil bahagian dalam bazar Geylang pada 2018 dan 2019.

"Sejak COVID-19, tiada lagi pasar malam, oleh itu kami berpendapat ini adalah alternatif baik yang bukan sahaja membantu kami (penjual), tetapi membolehkan orang ramai menikmati sedikit 'suasana Ramadan' juga," katanya kepada Mediacorp.

Bazar itu adalah sebuah ruang jualan tetap menurut Cik Zalinah, kerana mereka sudah menandatangani kontrak 18 bulan dengan Paradiso by HAO, yang digambarkan sebagai sebuah ruang konsep Halal, dengan pasar raya Halal, pilihan makanan dan minuman dan dewan acara.

"Anda jarang melihat orang Melayu di kawasan ini tetapi kini mereka datang ke sini. Seminggu sebelum Ramadan ia sudah agak sesak meskipun kami hanya mempromosikan produk-produk kami di Facebook dan media sosial," katanya.

"Kami agak terkejut kerana setiap hari pada pukul 4.00 petang, orang ramai mula datang. Kami tidak terfikir yang ramai akan sanggup datang sejauh ini."

Bagi mematuhi langkah jarak selamat, Cik Zalinah berkata bahawa mereka bekerja rapat dengan duta-duta jarak selamat. Mereka juga menggajikan kakitangan keselamatan mereka sendiri bagi memastikan peraturan dipatuhi.

Cik Wardah Anuar, 35, pemilik bersama Da Boomz, sebuah gerai yang menjual lempeng tradisional dan kuih-kuih lain, berkata bahawa pendapatannya hampir sama dengan waktu beliau mengambil bahagian dalam bazaar pada 2019.

"Pada mulanya kami agak bimbang dan tidak yakin kerana tempat ini agak jauh, tetapi ia amat sibuk setiap hari," katanya.

"Tahun lalu disebabkan oleh pemutus rantaian jangkitan, semua orang terkurung di dalam rumah. Oleh itu saya rasa sekarang mereka mahu keluar saja, meskipun jauh."

Pekerja khidmat sosial, Cik Nurul Shazlyn Zuriaty Mohd Zaidi, 25, yang berkunjung dari rumahnya di Sengkang bersama suaminya pada Khamis malam, berkata bahawa persekitarannya baik kerana bazar itu berhawa dingin dan semua orang mengamalkan jarak selamat.

"Sudah tentu, suasana bazar kecil-kecilan ini tidak sehebat di Geylang sebelum COVID-19 berlaku.

"Meskipun bazar itu mempunyai jumlah gerai yang terhad, sekurang-kurangnya kami dapatkan makanan yang kami inginkan. Ia sudah tentunya membantu kami menghidupkan semula beberapa detik istimewa daripada bazar Geylang," katanya.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan