Bayaran S$600 Pemerintah pada 14 April sebabkan barisan beratur panjang di ATM
Bayaran S$600 dari Pemerintah dimasukkan ke dalam akaun bank DBS Cik Juriah Yaacob, seorang suri rumah pada Selasa (14 Apr) dan beliau tidak dapat menanti sehari lagi untuk mengeluarkan wang tersebut.
(Gambar: Navene Elangovan/TODAY)
SINGAPURA: Bayaran S$600 dari Pemerintah dimasukkan ke dalam akaun bank DBS Cik Juriah Yaacob, seorang suri rumah pada Selasa (14 Apr) dan beliau tidak dapat menanti sehari lagi untuk mengeluarkan wang tersebut.
Pendapatan suaminya, seorang pemandu teksi, menjunam sejak Februari apabila para penumpang elak menaiki teksi dan menggunakan khidmat kongsi kereta sewa, semasa pandemik COVID-19.
Beliau memerlukan wang tersebut secepat mungkin untuk membeli barangan dapur, kerana terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi barangan tersebut.
"Sekarang ini masa yang sukar... Mujur Pemerintah memberikan wang, jika tidak, saya tidak tahu apa kami akan lakukan," katanya kepada Mediacorp.
Cik Juriah ialah antara ramai rakyat Singapura yang beratur di mesin ATM di seluruh Singapura untuk mengeluarkan bayaran sekali S$600.
Kementerian Kewangan menyatakan pada Ahad bahawa 90% rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas akan menerima wang tersebut di dalam akaun bank mereka.
BELI LAMPIN, BAYAR BIL
Pada sekitar pukul 1.00 tengah hari, Mediacorp melihat seramai 10 orang sedang beratur di ATM di Kelab Masyarakat Nee Soon South di Yishun Street 81.
Manakala di Hougang, tempat Cik Juriah berada, kira-kira tujuh orang sedang beratur untuk menggunakan satu-satunya ATM DBS pada sekitar 2.00 petang.
Seorang penghantar makanan GrabFood memberitahu bahawa beliau sedang mengeluarkan wang untuk membeli lampin bagi bayi lelakinya berusia dua tahun.
Lelaki berusia 34 tahun itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Jimmy berkata bahawa beliau kehilangan pekerjaannya sebagai jurujual bulan lalu. Isterinya bekerja sebagai jururawat.
"Mungkin S$600 bukan wang yang banyak bagi orang lain... Tetapi ia banyak untuk kami."
Di cawangan POSB Marine Parade pula, Mediacorp melihat ramai warga tua memegang buku akaun masing-masing, sambil menunggu untuk menyemak sama ada wang S$600 itu sudah dimasukkan ke dalam akaun mereka.
Seorang pemandu teksi berusia 62 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Chua berkata bahawa dengan "tiada wang simpanan" dan pendapatan berkurangan, beliau memerlukan wang tersebut untuk membayar bil.
Sebelum ini, beliau akan mengambil sekurang-kurangnya empat hingga lima penumpang antara pukul 6.00 petang dengan 1.00 pagi, tetapi kini mendapat satu atau dua penumpang pada waktu malam dianggap sudah baik, tambahnya.
Pada Selasa, beberapa pengguna menghadapi kesukaran mengakses sistem bank DBS seperti aplikasi telefon bimbit.
Dalam satu respons kepada pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap DBS berkata bahawa para pelanggan mungkin mengalami kelengahan disebabkan aliran "trafik tinggi" bagi khidmat perbankan digital pada Selasa.
Beliau enggan mengulas mengenai puncanya, tetapi tidak menafikan andaian bahawa bayaran tersebut mungkin adalah menyebabkan lonjakan trafik.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.