Skip to main content

"Bapa saya pekerja khidmat penting tapi dia bukan doktor atau jururawat": Sanjungan Syazwan Majid buat bapanya di tengah COVID-19

Sedang ramai rakyat dan penduduk Singapura bekerja dari rumah sepanjang tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ini, masih ramai juga di luar sana yang sedang mengejar masa untuk menyelamatkan nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
"Bapa saya pekerja khidmat penting tapi dia bukan doktor atau jururawat": Sanjungan Syazwan Majid buat bapanya di tengah COVID-19

(Gambar: Syazwan Majid/Facebook)

Diterbitkan : 28 Apr 2020 10:38PM Dikemas Kini : 05 May 2020 07:22AM

SINGAPURA: Sedang ramai rakyat dan penduduk Singapura bekerja dari rumah sepanjang tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ini, masih ramai juga di luar sana yang sedang mengejar masa untuk menyelamatkan nyawa, bertungkus lumus menyediakan khidmat penting kepada kita yang duduk di rumah dan ada pula yang membanting tulang untuk menjaga kebersihan di kawasan-kawasan merata negara.

Golongan pekerja inilah yang tiada pilihan lain kecuali terpaksa keluar bekerja untuk memastikan segala khidmat penting dapat terus disediakan kepada seluruh rakyat dan penduduk Singapura.

Kasih sayang seorang anak buat bapanya mendorong Encik Syazwan Majid untuk menulis satu catatan yang cukup indah di Facebook pada Isnin (27 Apr) bagi menghargai dan menyanjung tugas bapanya sebagai seorang pekerja pembersihan.

BAPA SAYA SEORANG PEKERJA KHIDMAT PENTING

Dalam catatannya di Facebook, Syazwan berkata bahawa bapanya adalah seorang pekerja khidmat penting tetapi bukan seperti yang dijangkakan oleh sesetengah orang kerana bapanya bukan seorang doktor atau bertugas sebagai seorang jururawat.

Malah bapanya, menurut Syazwan, buta huruf dan tidak tahu membaca mahupun menulis. Namun beliau seorang yang 'rajin dan kuat bekerja demi memastikan jalan raya dan taman kita sentiasa bersih sepanjang 40 tahun hidupnya', tulis Syazwan.

Dalam catatan yang sama, Syazwan turut mengongsi sekeping gambar bapanya memakai uniform kerja sedang beliau bersiap sedia untuk pergi kerja pada awal pagi.

Mengiringi gambar bapanya itu adalah catatan yang berbunyi: "Semasa memetik gambar bapa saya yang sedang bersiap sedia untuk pergi kerja awal pagi ini semasa waktu sahur, saya rasa bangga melihat betapa luar biasa bapa saya dan betapa beruntungnya saya menjadi anaknya - walau apa saja pandangan masyarakat terhadapnya.

"Saya juga berdoa kepada Allah SWT supaya melindunginya, merahmatinya dengan kesihatan dan kebahagiaan baik di dunia mahupun di akhirat kelak atas segala-galanya yang sudah dilakukannya untuk ibu dan adik-beradik saya sejak bapa saya mendirikan rumah tangga bersama ibu saya dan membina keluarga bersamanya," luah Syazwan.

PERINGATAN UNTUK TERUS DUDUK DI RUMAH

Dalam catatan yang sama, Syazwan turut mengingatkan rakyat dan penduduk Singapura supaya memainkan peranan masing-masing dengan duduk di rumah.

Menurut Syazwan, bapanya termasuk para penghantar makanan, para pekerja pengangkutan awam dan kakitangan pasar raya sedang menjalankan tugas masing-masing bagi memastikan khidmat penting tidak terputus di Singapura meskipun mereka sendiri lebih berisiko terdedah kepada jangkitan virus korona COVID-19.

"Bapa saya dan para pekerja khidmat penting yang lain masih terus bekerja di luar sana - meskipun mereka terdedah kepada ancaman musuh ghaib ini."

Lantaran itu, Syazwan menggalak orang ramai supaya memandang serius terhadap usaha untuk memutuskan lingkaran jangkitan virus yang boleh membawa maut itu.

"Marilah kita sama-sama memainkan peranan untuk menjaga keselamatan warga tua, orang tersayang dan keluarga kita sendiri dan dengan ini kita tidak menambahkan lagi beban terhadap para pekerja barisan hadapan.

"Meskipun mereka menghargai nyanyian beramai-ramai, tepukan dan sorakan gemuruh, penghormatan tertinggi dan sanjungan yang boleh kita berikan kepada mereka adalah dengan duduk di rumah," kata Syazwan.

"Sekarang ini masa yang cukup sukar dan mencabar, janganlah pula kita memburukkannya lagi dengan menjadi orang yang keras hati dan degil," nasihat Syazwan sebelum mengakhiri catatannya itu. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita