Skip to main content

Iklan

Iklan

Banyak kawasan undi PAP saksikan kemerosotan undi popular dalam GE2020

Majoriti undi yang diraih calon-calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya kali ini rata-rata merosot di hampir kesemua kawasan undi berbanding GE2015.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majoriti undi yang diraih calon-calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya kali ini rata-rata merosot di hampir kesemua kawasan undi berbanding GE2015.

Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast menyaksikan kemerosotan undi paling banyak berbanding pilihan raya lalu, iaitu sekitar 27 peratus. Ini diikuti GRC Chua Chu Kang (-18.25 peratus), GRC Tanjong Pagar (-14.58 peratus), SMC Bukit Panjang (-14.64 peratus), SMC Hong Kah North (-13.78 peratus) dan SMC Pioneer (-14.36 peratus).

Itu juga yang dialami tiga penjawat politik Melayu/Islam dalam keputusan pilihan raya masing-masing - iaitu Dr Maliki Osman, Encik Zaqy Mohamad dan Dr Faishal Ibrahim.

Ini sejajar dengan kemerosotan undi popular yang diraih PAP - iaitu sekitar 9 peratusan mata - berbanding Pilihan Raya Umum 2015.

Di GRC East Coast yang ditandingi Dr Maliki Osman misalnya, undi bagi PAP merosot sekitar 7 peratusan mata berbanding GE2015.

Namun demikian para AP Melayu itu mengajak masyarakat bersatu padu setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum 2020. Ini lebih-lebih lagi kerana Singapura sedang memerangi krisis pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonomi.

Selepas diisytihar menang hari ini (11 Jul), ini penghargaan yang Dr Maliki rakamkan untuk penduduk GRC East Coast

"Kami berjanji akan berusaha gigih untuk terus berkhidmat dan menunaikan janji-janji kami, melaksanakan pelan East Coast dan terus berkhidmat untuk anda. Kami tahu kita semua adalah rakyat Singapura dan mahu yang terbaik untuk Singapura. Tidak kira siapa yang anda telah undi, masa ini adalah masa untuk kita bersatu sebagai rakyat Singapura dalam kita memerangi wabak COVID-19 dan muncul lebih kuat lagi," ujar beliau.

UNDIAN BUAT GRC PAP LAIN TURUT MEROSOT

Selain Dr Maliki, kawasan undi ditandingi Encik Zaqy Mohamad (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Dr Muhammad Faishal Ibrahim (GRC Nee Soon) turut menyaksikan kemerosotan sokongan sekitar 5 peratusan mata.

Kedua-dua mereka, bagaimanapun, mengucapkan terima kasih kepada para penduduk yang masih memberi kepercayaan kepada mereka dan pasukan PAP.

Encik Zaqy berkata: "Kami berterima kasih kerana memberi kami mandat untuk menjalankan program yang dibentangkan dalam kempen ini dan ingin kami bekerjasama dengan anda semua supaya kita menjalankan program untuk berkhidmat kepada masyarakat, untuk kita membangunkan estet Marsiling-Yew Tee yang boleh dibanggakan."

GRC Marsiling-Yew Tee meraih 63.18% undi kali ini berbanding 68.7% pada GE2015.

"Para penduduk Nee Soon terima kasih atas sokongan dan mandat yang diberikan kepada kami. Marilah kita sama-sama meneruskan usaha untuk membangunkan Nee Soon sebagai satu bandar yang senang didiami oleh semua warga dan marilah kita membangunkan Nee Soon untuk meningkatkan mutu kehidupan anda," kata Dr Faishal.

Pasukan Dr Faishal di GRC Nee Soon yang diketuai Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam meraih 61.9% berbanding 66.8% pada 2015. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan