Skip to main content

Iklan

Iklan

Australia sasar budak bawah 12 tahun divaksin mulai Jan 2022

Australia, yang pantas menjadi antara negara dengan paling ramai penduduk divaksin terhadap COVID-19, berkemungkinan akan mula memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun pada Januari. Demikian menurut para pegawai pada Ahad (14 Nov), lapor Reuters. 

Anggaran Waktu Membaca:
Australia sasar budak bawah 12 tahun divaksin mulai Jan 2022

Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Brendan Smialowski)

Diterbitkan : 14 Nov 2021 05:55PM Dikemas Kini : 14 Nov 2021 05:57PM

MELBOURNE: Australia, yang pantas menjadi antara negara dengan paling ramai penduduk divaksin terhadap COVID-19, berkemungkinan akan mula memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun pada Januari. Demikian menurut para pegawai pada Ahad (14 Nov), lapor Reuters.

Menteri Kesihatan Greg Hunt berkata pengawal selia perubatan masih sedang menyemak data kesihatan dan keselamatan bagi vaksinasi kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun. Pemberian vaksin itu tidak mungkin diputuskan untuk tahun ini.

"Jangkaan yang ditetapkan mereka adalah separuh pertama Januari, harap-harap awal Januari," Encik Hunt memberitahu program Insiders terbitan Australian Broadcast Corporation. "Namun mereka sedang mempercepatkannya seberapa boleh."

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat pada bulan ini mencadangkan suntikan Pfizer Inc/BioNTech SE untuk kegunaan meluas bagi kumpulan usia antara lima dengan 11 tahun. Ini selepas ia diluluskan oleh Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).

Leftenan Jeneral John Frewen, komander Pasukan Bertindak COVID-19 Australia, memberitahu akhbar The Age bahawa Australia sudahpun memperolehi bekalan yang diperlukan.

"Kami sebenarnya sudah membeli bekalan yang mencukupi untuk dos dan dos penggalak sehingga ke bayi," kata beliau.

Pada Jumaat, jumlah individu berusia 16 tahun dan ke atas di Australia yang sudah menerima satu dos menjangkaui 90 peratus, dengan 83 peratus lengkap divaksin. Negara itu juga sudah memvaksin 57.7 peratus kanak-kanak berumur antara 12 dengan 15 tahun, Reuters memetik data kementerian kesihatan.

Kadar vaksinasi yang tinggi di Australia adalah kunci kepada keputusannya untuk membuka semula separa sempadan antarabangsanya bulan ini buat pertama kali sejak pandemik melanda. Ini sekalipun dengan penularan varian Delta yang masih mencengkam bandar-bandar dengan paling ramai penduduk, New South Wales dan Victoria.

Pada Ahad, terdapat 1,100 kes jangkitan dicatatkan di kedua-dua wilayah tersebut yang menjadi kediaman bagi hampir 60 peratus penduduk Australia. Lagi lima kematian turut dilaporkan.

Sekalipun dengan penularan varian Delta yang menyebabkan dua bandar terbesar - Sydney dan Melbourne - menjalani perintah berkurung, jumlah terkumpul kes di negara itu hanya 191,000 jangkitan dan 1,596 kematian. Jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding negara-negara maju yang lain. 

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan