Skip to main content

Iklan

Iklan

Atlit Team S'pore pamer profesionalisme, keberanian, ketabahan di Olimpik, tegas ketua kontinjen Ben Tan

Para atlit Team Singapore memperlihatkan tahap profesionalisme yang tinggi, keberanian dan ketabahan yang mengagumkan di Sukan Olimpik Tokyo, kata Chef de Mission Ben Tan pada Sabtu (7 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit Team S'pore pamer profesionalisme, keberanian, ketabahan di Olimpik, tegas ketua kontinjen Ben Tan

Team Singapore di upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo. (Gambar: SNOC)

Diterbitkan : 07 Aug 2021 09:29PM Dikemas Kini : 07 Aug 2021 09:36PM

TOKYO: Para atlit Team Singapore memperlihatkan tahap profesionalisme yang tinggi, keberanian dan ketabahan yang mengagumkan di Sukan Olimpik Tokyo, kata Chef de Mission Ben Tan pada Sabtu (7 Ogos).

Bercakap dalam sidang media secara maya, Dr Tan menegaskan bahawa beliau "amat kagum" dengan prestasi mereka.

"Dari keterampilan atlit kita, saya amat kagum ... Kita menyaksikan erti sebenar kesukanan yang memaparkan semangat juang manusia," kata Dr Tan.

"Contohnya, kita menyaksikan ... (Yu) Mengyu dan (Feng) Tianwei. Mereka adalah pemain tenis meja yang mapan. Mereka sangat berpengalaman dan anda boleh lihat susila kerja mereka. Jadi daripada mereka, saya belajar erti profesionalisme."

Yu menduduki tempat keempat dalam acara tenis meja perseorangan wanita manakala Singapura ditewaskan oleh China di peringkat suku akhir acara berpasukan wanita.

Dr Tan juga menyebut Kimberly Lim dan Cecilia Low yang mencatatkan kedudukan terbaik oleh mana-mana atlit sukan layar Singapura di Sukan Olimpik.

Lim dan Low mencipta sejarah sebagai atlit sukan layar pertama untuk menempah tempat di perlumbaan akhir Sukan Olimpik di mana mereka menduduki tempat ke-10 secara keseluruhannya.

"Sukan layar adalah sukan yang dikuasai oleh para atlit dari Eropah. Amat sukar untuk orang Asia dan lagi mencabar bagi negara kecil seperti Singapura untuk menerobos masuk ke tangga teratas dunia. Namun, mereka menganalisis tentang apa ... yang diperlukan untuk mencapainya dan mereka mengatur strategi dan mengecapinya secara sistematik satu demi satu."

Atlit lawan pedang Amita Berthier dan Kiria Tikanah serta pemain badminton Loh Kean Yew dan Yeo Jiamin pula berdepan lawan yang "pastinya lebih hebat" berbanding mereka tetapi mereka "tidak gentar," kata Dr Tan.

"Ia tidak pernah mudah untuk menjadi orang yang pertama kerana andalah yang mempelopori laluan bagi orang lain," tambah beliau.

Dr Tan juga sedia maklum bahawa para atlit Singapura terpaksa berdepan dengan cabaran-cabaran dalam persiapan mereka bagi Sukan Olimpik di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan mampu menanganinya dengan "amat baik" .

KECEWA BAGI PARA PERENANG

Pada masa yang sama, Ketua Institut Sukan Singapura (SSI) Toh Boon Yi akur bahawa para perenang Singapura tidak mencatatkan prestasi seperti yang dijangkakan.

"Mereka sendiri akur tentang perkara itu. Dan kita harus menyemak semula apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik lagi, apakah isu-isunya," kata Encik Toh.

"Kita semua berasa kecewa, dari para perenang hingga ke para pegawai dan orang awam, kerana kami menaruh harapan yang tinggi. Harapan tinggi berdasarkan prestasi di (Olimpik) 2016 sebelum ini. Tapi itu adalah lima tahun lalu."

Beliau juga menyokong usulan supaya para perenang diberikan "ruang" dan berkata langkah-langkah selanjutnya akan ditentukan pada masa hadapan. 

Sebagai rangkaian Sukan Olimpik Singapura, Mediacorp membawakan liputan meluas Sukan Olimpik Tokyo 2020. Lungsuri laman mediacorp.sg/tokyo2020 untuk butiran lanjut. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan