Skip to main content

Iklan

Iklan

Atlit paralimpik Nur'Aini Mohd Yasli gesa lebih banyak sikap inklusif dalam masyarakat

Sukan Paralimpik Tokyo sudah menutup tirainya, namun atlit paralimpik Singapura Nur'Aini Mohamad Yasli akan kembali sibuk seminggu dari sekarang demi bersiap pula bagi Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asia dan Sukan Para Komanwel.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sukan Paralimpik Tokyo sudah menutup tirainya, namun atlit paralimpik Singapura Nur'Aini Mohamad Yasli akan kembali sibuk seminggu dari sekarang demi bersiap pula bagi Sukan Para ASEAN, Sukan Para Asia dan Sukan Para Komanwel.

Dia kini menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setelah pulang dari Tokyo dan SHN tersebut dijangka tamat Isnin depan (13 Sep).

Semasa beraksi bagi kemunculan pertama Singapura dalam sukan 'powerlifting' di Paralimpik Jepun, Aini mencatat prestasi memberangsangkan setelah berjaya menduduki tempat keenam setelah berjaya mengangkat 77 kilogram.

"Saya amat berpuas hati dengan prestasi saya. Walaupun kita tidak dapat keputusan peribadi terbaik yang baru tapi saya rasa kita membuktikan bahawa teknik dan juga dari segi pelaksanaan kita mampu melakukan di arena paralimpik.

"Jadi secara keseluruhan saya dan jurulatih berpuas hati dengan prestasi saya di Sukan Tokyo Paralimpik ini," menurut Aini.

LEBIH BANYAK USAHA BAGI MASYARAKAT LEBIH INKLUSIF

Semasa diwawancara BERITAmediacorp bagi membincangkan prestasinya itu, Aini berkongsi satu lagi harapan - iaitu mahu melihat lebih banyak sikap inklusif dalam kalangan masyarakat terhadap golongan kurang upaya.

Berusia 29 tahun, atlit itu menghidap displasia pelbagai epifisis menyebabkan tubuhnya setinggi 1.36 meter sahaja.

Kini selaku alumni Paralimpik, Aini menekankan betapa sumbangan seseorang individu istimewa besar nilainya dan mampu memberi impak mendalam.

Beliau akur Singapura memberi banyak sokongan kepada golongan istimewa sepertinya, namun banyak lagi yang boleh diperbaiki demi menjadikan masyarakat lebih inklusif.

"Kadangkala masyarakat terlalu cepat menilai insan-insan istimewa. Mereka berpendapat bahawa insan istimewa lemah dan kurang berdikari. Jadi saya berharap masyarakat dapat membuka minda apabila berinteraksi dengan insan istimewa dan juga memberi mereka peluang untuk mencuba.

"Sebagai contoh, saya pernah lihat insan istimewa tidak dibenarkan masuk ke gim. Mungkin ini sesuatu yang kita boleh perbaiki terutama sekali jika kita ingin menjadi masyarakat yang inklusif," ujar Aini lagi.

MAJIKAN, RAKAN SEKERJA MAINKAN PERANAN PENTING

Aini berkata dia beruntung bahawa majikannya iaitu Politeknik Republik memberi sokongan padu.

Lantaran itu dia berharap lebih banyak majikan lain akan menyokong insan-insan istimewa sepertinya.

"Tentu sekali tanpa sokongan mereka saya tidak dapat merealisasikan impian saya. Dari segi itu, saya juga harap lebih banyak majikan dapat menyokong insan-insan istimewa untuk melibatkan atau menceburi sukan para. Saya percaya bahawa sokongan majikan kepada insan-insan istimewa boleh mengubah persepsi masyarakat terutamanya terhadap sukan para," ujarnya.

Aini juga berharap kisahnya dapat bertarung di Sukan Paralimpik pada usia 29 tahun sendiri dapat memberi inspirasi kepada golongan istimewa lain untuk menceburi bidang sukan.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa rakan-rakan sekerjanya turut memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan. Baginya, keprihatinan dan minat mereka terhadap prestasinya dalam sukan 'powerlifting' itu secara tidak langsung membakar semangatnya lagi untuk bersaing.

Tambahnya lagi, sukan bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kesihatan tetapi juga meningkatkan keyakinan diri.

UBAH PERSEPSI MASYARAKAT

Namun Aini akur, ia bukan mudah meyakinkan orang-orang di sekelilingnya ketika beliau mula berjinak-jinak dalam sukan tersebut. Menurut Aini, pada awalnya ibu dan neneknya juga tidak menggalakkannya menceburi sukan 'powerlifting' kerana bimbang ia akan memudaratkan tubuhnya.

Dia juga terpaksa berdepan dengan kata-kata kurang menyenangkan daripada segelintir individu lain:

"Selalunya orang berpendapat bahawa insan-insan yang istimewa harus melakukan kerja-kerja yang lain yang tidak melibatkan banyak kekuatan kerana mereka bimbang ini boleh mencederakan.

"Tapi saya rasa jika mereka tahu bahawa wujudnya atlit para, mereka tahu manfaatnya sukan para terutamanya bagi insan-insan istimewa, saya arasa ramai yang akan tampil mencuba sukan (para).

"Saya sendiri merasainya bagaimana terlibat dalam sukan membantu saya meraih keyakinan lebih baik tentang diri saya. Saya tidak rasa begitu lemah, saya tidak rasa macam saya tidak boleh melakukan apa-apa."

Sebaliknya kata Aini, menerusi sukan dia menyumbang kepada masyarakat. Jadi jika insan-insan istimewa lain juga dapat melakukannya, ini akan membantu, kata Aini.

Dia kini berharap kisahnya akan mendorong para individu kurang upaya yang lain untuk menceburi sukan yang menggunakan kekuatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan