Skip to main content

Atlit Paralimpik kurang daya penglihatan dilanggar bas tanpa pemandu di Tokyo

Seorang atlit Paralimpik yang kurang daya penglihatan dilanggar oleh sebuah bas tanpa pemandu di perkampungan atlit di Tokyo.

Anggaran Waktu Membaca:
Atlit Paralimpik kurang daya penglihatan dilanggar bas tanpa pemandu di Tokyo

Bas ulang-alik tanpa pemandu di Perkampungan Paralimpik. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 27 Aug 2021 11:22PM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 11:25PM

TOKYO: Seorang atlit Paralimpik yang kurang daya penglihatan dilanggar oleh sebuah bas tanpa pemandu di perkampungan atlit di Tokyo.

Atlit itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki, lapor media Jepun hari ini (27 Ogos).

Toyota, yang membangunkan bas ulang-alik tanpa pemandu yang digunakan di pekarangan tersebut, menyatakan ia sudah menggantung operasi kenderaan tersebut selepas kemalangan yang berlaku pada Khamis petang.

Salah sebuah bas elektriknya "melanggar pejalan kaki yang kurang daya penglihatan" di lintasan pejalan kaki, menurut Toyota dalam satu kenyataan.

"Kami memohon maaf dari lubuk hati yang mendalam kepada mereka yang mengalami kecederaan. Kami bekerjasama sepenuhnya dengan polis dalam kes ini," tambah syarikat itu.

Beberapa media utama tempatan melaporkan nama pejalan kaki yang cedera itu sebagai atlit judo Jepun, Aramitsu Kitazono.

Lelaki berusia 30 tahun itu jatuh dan akan memerlukan dua minggu untuk pulih daripada kecederaannya setelah dirawat di klinik perkampungan tersebut, menurut laporan media.

Pihak penganjur Tokyo 2020 tidak segera menjawab permintaan bagi komennya.

Kitazono sepatutnya bertanding dalam acara divisyen lelaki 81 kilogram esok (28 Ogos). Belum jelas sama ada kecederaannya bermakna dia tidak akan dapat berlawan.

Dua pengendali bas - yang berada di dalamnya untuk mengawasi pemanduan bas tanpa pemandu itu - berkata mereka nampak atlit berkenaan, tetapi menyangka dia akan berhenti berjalan ketika bas itu menghampirinya, menurut laporan akhbar harian Asahi Jepun.

Akhbar harian Mainichi melaporkan bas itu berhenti secara automatik tetapi pengendalinya menekan butang bagi memulakan perjalanan kerana mereka tidak menyangka atlit itu akan melangkah ke jalan raya.

Lima penumpang berada di dalam kenderaan itu tetapi tiada yang cedera, lapor Asahi, sambil menambah bahawa atlit itu tidak membawa tongkat dan ada pengawal yang sedang mengawal lalu lintas di lokasi tersebut.

Ribuan atlit dan pegawai pasukan tinggal di Perkampungan Paralimpik bagi temasya Sukan yang bermula pada Selasa (24 Ogos) setelah ditangguhkan dek COVID-19.

Bas tanpa pemandu itu juga digunakan di perkampungan atlit semasa Sukan Olimpik.

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita