Asatizah juga golongan yang bekerja sendiri; harus dibantu Belanjawan Berdaya Tahan tingkatkan diri, tegas Dr Maliki
Para asatizah digalak supaya memanfaatkan Belanjawan Berdaya Tahan untuk terus mempertingkatkan diri.
BERITAmediacorp: Para asatizah digalak supaya memanfaatkan Belanjawan Berdaya Tahan untuk terus mempertingkatkan diri.
Ini sedang ekonomi negara terkesan dengan penularan virus korona COVID-19 yang sudah menular ke merata dunia.
Sehubungan itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman membuat gesaan tersebut dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp.
"Saya amat menghargai pandangan asatizah kita kerana dalam keadaan sedemikian kita telah melihat bagaimana mereka telah tampil ke hadapan dan tunjukkan kepimpinan yang baik dalam membimbing anggota masyarakat Islam kita mengharungi cabaran seperti fatwa-fatwa yang dikeluarkan mengenai sama ada kita menutup masjid dan cabaran untuk bersembahyang berjemaah dan sebagainya," kata Dr Maliki.
ASATIZAH TERGOLONG SEBAGAI PEKERJA YANG BEKERJA SENDIRI
Namun menurut Dr Maliki, terdapat ramai asatizah yang tergolong dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri.
Ini termasuk para pemandu teksi dan pemandu kereta sewa privet, ejen hartanah, jurulatih sukan dan karyawan dalam sektor media dan seni.
Kumpulan ini terjejas teruk oleh keadaan ekonomi yang suram angkara wabak COVID-19.
"Apabila Belanjawan 2020 dibentangkan, kami dapat tahu ramai daripada mereka yang kehilangan pekerjaan kerana tidak mendapat projek. Pemandu teksi dan Grab misalnya terjejas kerana tidak ramai pengunjung ke Singapura.
BAYARAN TUNAI S$1,000 SELAMA 9 BULAN
Lantaran itu, di bawah Belanjawan Berdaya Tahan yang diumumkan semalam (26 Mac), para individu yang layak akan menerima bayaran tunai bulanan sebanyak S$1,000 selama sembilan bulan di bawah skim bantuan pendapatan baru yang disasarkan kepada yang bekerja sendiri.
"Bukan saja mereka dapat bayaran tunai bulanan tersebut, tetapi kerana mereka tidak bekerja, mereka boleh mengikuti kursus-kursus peningkatan diri. Menerusi kursus-kursus peningkatan ini mereka juga akan diberi elaun.
"Jadi kami harap ini memberi mereka peluang untuk meneroka peluang kerjaya dalam bidang baru."
Dan bagi para asatizah, ini peluang bagi mereka untuk memikirkan cara-cara baru untuk mendekati jemaah.
MANFAATKAN IT UNTUK DAMPINGI JEMAAH
"Kita sedia untuk memberi asatizah kita peluang-peluang baru untuk meningkatkan diri mereka. Bagaimana mereka boleh menggunakan Teknologi Maklumat (IT) untuk mendekati para jemaah mereka untuk kelas- kelas mereka dan sebagainya," kata Dr Maliki.
Dalam wawancara eksklusif ini juga, Dr Maliki turut menjelaskan bahawa kemelesetan yang dihadapi Singapura semasa Krisis Kewangan Global 2008/2009 sebahagian besarnya bersifat ekonomi dan kewangan.
Krisis kali ini katanya lagi, merangkumi pelbagai dimensi seperti perubatan, sosial dan psikologi untuk menangani pandemik.
"DPM Heng telah memberi keyakinan bahawa dengan pakej ini boleh membantu Singapura dan rakyatnya mengharungi masa genting sekarang,
Maka itu , Belanjawan Berdaya Tahan ini dikhususkan bagi menyelamatkan pekerjaan dan menyokong para pekerja, yang terus menjadi keutamaan pemerintah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.