Skip to main content

Angka korban COVID-19 sepuluh kali ganda H1N1: WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, COVID-19 menyebabkan 10 kali ganda kematian berbanding wabak H1N1 yang pernah menyebabkan pandemik global pada 2009.

Anggaran Waktu Membaca:
Angka korban COVID-19 sepuluh kali ganda H1N1: WHO

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Apr 2020 12:48PM Dikemas Kini : 14 Apr 2020 12:50PM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, COVID-19 menyebabkan 10 kali ganda kematian berbanding wabak H1N1 yang pernah menyebabkan pandemik global pada 2009.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata WHO sedang melakukan penyelidikan berterusan mengenai virus yang sedang melanda dunia itu, yang sehingga kini menyebabkan kira-kira 117,000 kematian dan menjangkau 2 juta jangkitan di seluruh dunia.

“Kami sedar COVID-19 tersebar pantas dan ia menyebabkan lebih daripada 10 kali ganda kematian daripada pandemik H1N1 pada 2009,” katanya dalam satu taklimat secara maya, pada Isnin (13 Apr)

WHO menyatakan pandemik H1N1 yang bermula di Mexico dan Amerika Syarikat pada Mac 2009 mengorbankan 18,500 orang.

Bagaimanapun, jurnal perubatan antarabangsa, Lancet menganggarkan statistik angka korban keseluruhan jauh lebih tinggi iaitu di antara 151,700 sehingga 575,400 orang.

Kajian oleh Lancet ini merangkumi anggaran kematian di Afrika dan Asia Tenggara yang tidak termasuk dalam jumlah pengiraan keseluruhan oleh WHO.

Wabak H1N1 yang diisytiharkan sebagai pandemik global pada Jun 2009, dan dianggap berakhir pada Ogos 2010, tidak berbahaya seperti yang disangkakan pada mulanya.

Ini selepas vaksin khusus ditemui bagi mengatasi penularannya.

Bagaimanapun, WHO dikritik ketika itu kerana dikatakan memberikan reaksi keterlaluan berkaitan epidemik influenza berkenaan yang meragut antara 250,000 hingga 500,000 nyawa setiap tahun.

Encik Tedros turut bersimpati dengan beberapa negara dunia yang menyaksikan dua kali ganda kes COVID-19 dalam tempoh tiga hingga empat hari lalu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, wabak itu boleh diperangi sekiranya setiap negara komited melaksanakan "kajian awal bagi setiap kes, melaksanakan pengasingan dan mengambil berat serta mengesan setiap kontak" yang mungkin boleh menyumbang kepada peningkatan kes.

Setakat ini, lebih separuh daripada penduduk dunia duduk di rumah masing-masing sebagai langkah menghentikan rantaian penularan wabak.

Namun Encik Tedros turut memberikan amaran perhubungan manusia secara global boleh menjadi risiko untuk pandemik wabak ini kembali menular dan berterusan.

Beliau turut menekanakn COVID-19 menular dengan amat cepat, tetapi jumlah kes berkurangan agak perlahan.

“Maksudnya, kes COVID-19 menunjukkan lebih banyak peningkatan berbanding penurunan.

“Justeru, langkah pengawalan yang ketat perlu diteruskan termasuk dengan melakukan pengesanan kontak dalam kapasiti yang besar,” katanya.

Beliau turut berkata, WHO sangat menghargai usaha banyak pihak bagi mencari penawar atau vaksin bagi merawat wabak ini.

Menurutnya, vaksin COVID-19 mungkin boleh digunakan sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lagi.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita