Skip to main content

Iklan

Iklan

Anak kapal warga Indonesia kes tunggal jangkitan tempatan dalam kalangan 12 kes baru COVID-19 S'pura

Satu kes dalam masyarakat adalah antara 12 kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Selasa (27 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Anak kapal warga Indonesia kes tunggal jangkitan tempatan dalam kalangan 12 kes baru COVID-19 S'pura

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 28 Apr 2021 12:25AM Dikemas Kini : 28 Apr 2021 12:28AM

SINGAPURA: Satu kes dalam masyarakat adalah antara 12 kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Selasa (27 Apr).

Lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun itu adalah Kes 62485 dan beliau merupakan anak kapal yang bertugas di kapal tangki bunker MT ALLI. Beliau tidak turun dari kapal itu kecuali untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Lelaki itu dikaitkan dengan kelompok Kes 62113, yang kini melaporkan enam jangkitan dan dikenal pasti sebagai kontak rapat kes tersebut.

Beliau dikuarantin pada 18 Apr di sebuah kemudahan khas dan diuji pada 19 Apr dan hasil ujiannya negatif COVID-19.

Lelaki itu kemudian mengalami batuk dan sakit tekak pada 25 Apr dan melaporkan simptom yang dialaminya, menurut MOH, sambil menambah bahawa beliau dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada keesokan hari.

Lelaki berkenaan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada 8 Apr.

KES-KES IMPORT

Baki 11 kes adalah kes-kes import dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik tiba di Singapura, menurut MOH.

Seorang rakyat Singapura dan tiga Penduduk Tetap (PR) yang pulang dari India, Ivory Coast dan Kazakhstan adalah antara 11 kes import yang dilaporkan pada Selasa.

Dua adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Nepal.

Seorang pembantu rumah hijrahan adalah antara empat pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia dan Malaysia.

Kes selebihnya adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari Malaysia.

Tiada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Seramai 24 pekerja yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 diuji positif sekali lagi, sedang MOH dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menjalankan operasi ujian khas bagi menguji para penghuni Dormitori Westlite Woodlands, termasuk para pekerja yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19.

MOH dan panel pakar bagi penyakit berjangkit dan pakar mikrobiologi menyiasat kes-kes itu untuk menilai sama ada kes-kes itu adalah jangkitan semula atau jangkitan lama yang tidak lagi boleh menjangkiti orang lain.

Daripada 24 kes itu, 11 dinilai melupuskan fragmen virus dan lima lagi mungkin adalah kes jangkitan semula COVID-19. Dua kes ditentukan sebagai negatif COVID-19 sebaik sahaja diuji sekali lagi dan baki enam kes masih menunggu hasil ujian mereka.

22 KES DIBENAR KELUAR HOSPITAL

Lagi 22 kes dibenarkan keluar hospital atau kemudahan masyarakat, menjadikan jumlah keseluruhan yang sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus tersebut sebanyak 60,704.

Lagi 108 kes masih berada di hospital, dengan sebahagian besar dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih dan tiada seorang pun pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Lagi 221 kes sedang diasingkan dan dijaga di kemudahan-kemudahan masyarakat. 

Mereka mempunyai gejala ringan atau sudah sihat secara klinikal tetap masih diuji positif COVID-19.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan