Akta Memelihara Keharmonian Kaum tidak akan halang perbincangan isu perkauman
Pengenalan Akta Memelihara Keharmonian Kaum (MRHA) yang bertujuan menangani isu-isu kaum tidak akan menghalang lebih banyak perbincangan berhubung isu perkauman di Singapura.
SINGAPURA: Pengenalan Akta Memelihara Keharmonian Kaum (MRHA) yang bertujuan menangani isu-isu kaum tidak akan menghalang lebih banyak perbincangan berhubung isu perkauman di Singapura.
Demikian menurut para Anggota Parlimen Melayu/Islam dalam satu sesi dialog bagi membincangkan inti ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Sesi dialog anjuran MESRA Persatuan Rakyat itu, yang diadakan pada Selasa (31 Ogos) disertai lebih 250 peserta pemimpin akar umbi dan wakil badan-badan Melayu/Islam.
ISU-ISU UTAMA DIALOG - BANGSA & AGAMA DAN TUDUNG
Sesi yang diadakan di Wisma Geylang Serai itu dipimpin Setiausaha Parlimen Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan Rahayu Mahzam, serta Anggota Parlimen Sharael Taha dan Nadia Ahmad Samdin.

Selama hampir dua jam, 15 soalan diajukan dalam sesi itu, dan enam daripadanya berkisar tentang soal kaum dan agama.
Antara lain, para peserta prihatin jika rancangan Pemerintah mahu melaksanakan Akta Memelihara Keharmonian Kaum akan membataskan perbincangan mengenai kaum dan agama di Singapura pada masa depan.
Menjawab, para AP itu berkata undang-undang perlu diadakan untuk memastikan isu perkauman tidak akan menggelegak di Singapura. Sebaliknya ia harus membolehkan masyarakatnya terus mengadakan perbincangan pelbagai hala.
Merumuskan sesi tersebut kepada para wartawan, Cik Rahayu akur bahawa isu agama dan perkauman "memang isu yang hangat dalam kalangan belia".
"Apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyentuh tentang isu yang amat sensitif dan sukar ini, saya rasa ia membuka peluang untuk mereka berfikir secara kritis dan mengupas perkara ini dengan lebih mendalam.
"Mereka mengambil peluang untuk menanyakan tentang implementasi tudung dan isu-isu berkaitan dengannya. Ini menunjukkan bahawa mereka sedar akan kerumitan dan cabaran yang akan datang," jelas Cik Rahayu kepada pihak media.

Turut dibincangkan dalam sesi dialog tersebut ialah soal pemakaian tudung bagi jururawat Muslim. Antara lain para peserta melahirkan keprihatinan tentang isu diskriminasi yang mungkin dihadapi serta cabaran-cabaran yang bakal muncul bagi para jururawat Muslim.
Meskipun keputusan kebenaran disambut baik ramai peserta, para AP juga berharap bahawa masyarakat Melayu/Islam tidak mengambil sikap 'diberi betis hendak peha'.
Ini setelah timbulnya soalan-soalan dalam sesi itu yang menyentuh tentang perlunya lebih ramai lelaki Melayu yang patut disertakan antaranya dalam Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) atau kebenaran untuk berjanggut dalam kerjaya beruniform.
Para AP sebaliknya menggesa masyarakat untuk memikirkan langkah menepis stereotaip buruk serta mewujudkan imej yang positif dan yang menyumbang kepada masyarakat.
"Saya gembira dengan perbincangan hari ini dan saya rasa banyak soalan kritis dan mendalam ditimbulkan oleh para peserta dan saya rasa ini mencerminkan para belia kita yang benar-benar memikirkan tentang isu-isu yang dibentangkan Perdana Menteri kita. dan keinginan mereka untuk menyampaikan isu yang ditimbulkan," jelas Cik Rahayu.
Menyentuh tentang 'hak istimewa kaum Cina', Cik Rahayu berkata bahawa isu tersebut perlu dibincangkan mengikut konteks. Menurutnya, penting untuk menghargai dan mengiktiraf bahawa sebagai masyarakat berbilang bangsa, rakyatnya mencapai persefahaman dan mampu bertolak ansur.

Sesi dialog yang diadakan secara hibrid itu adalah yang pertama daripada tiga sesi anjuran PA MESRA sepanjang tiga minggu ini.
Lebih 500 peserta termasuk sukarelawan M3@Bandar, pemimpin akar umbi dan wakil badan-badan Melayu/Islam dijangka menyertai tiga sesi dialog tersebut.

Sesi dialog yang seterusnya akan dijalankan pada Rabu (8 Sep) dan akan dipimpin oleh Menteri kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman, Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor madya Muhammad Faishal Ibrahim serta Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Encik Saktiandi Supaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.