Skip to main content

Iklan

Iklan

Acara

Rahayu: KGMS bertambah relevan, semakin penting di tengah-tengah cabaran pandemik dan perubahan landskap pendidikan

Pandemik COVID-19 membawa cabaran baru bagi guru-guru dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dapat memberi sokongan dalam keadaan sukar dan rumit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 membawa cabaran baru bagi guru-guru dan ini perlu diharungi mereka di tengah-tengah perubahan landskap pendidikan di Singapura.

Di samping menyesuaikan diri dengan norma baru, beberapa pembaharuan diperkenalkan seperti penskoran baru PSLE.

Oleh itu, rangkaian seperti Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura menjadi lebih relevan dan semakin penting dalam masa-masa genting ini kerana dapat memberi sokongan dalam keadaan sukar dan rumit.

Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam berkata demikian di majlis penyampaian Anugerah Pendidikan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) di Begonia Pavilion, Downtown East hari ini (18 Dis).

"Kesatuan seperti KGMS bertambah relevan dan semakin penting dalam masa-masa yang genting dalam pandemik sebegini kerana apabila timbulnya keadaan yang sukar dan rumit, baik untuk adanya rangkaian di mana kita boleh dapatkan sokongan.

"Tapi dalam masa-masa begini, apabila kita boleh cuba gunakan kesatuan ini sebagai satu platform di mana kita boleh dapatkan sokongan... itu adalah sesuatu yang baik dan acara seperti ini juga memberikan dorongan kepada anak-anak mereka, menunjukkan betapa pedulinya kesatuan ini terhadap kebajikan ahli dan keluarga mereka. Saya rasa usaha-usaha sebegini tahun demi tahun dapat membantu," kata Cik Rahayu yang ditemui pihak media selepas acara tersebut.

Cik Rahayu juga berharap hubungan antara anggota KGMS dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan.

"Saya harap pada masa-masa akan datang KGMS akan terus memperkuatkan hubungan ini dan memberi sokongan kepada para guru kerana sememangnya ini adalah waktu yang amat sukar bagi mereka dalam perubahan landskap pendidikan kita, jadi saya harap ini dapat sedikit sebanyak memberikan mereka sokongan untuk melakukan tanggungjawab mereka," tambah Cik Rahayu.

Beliau juga merakam penghormatannya kepada para guru yang menjadi tunggak kekuatan bagi para pelajar serta mendapatkan inspirasi dan perangsang dalam keadaan mencabar COVID-19.

20 ANAK AHLI KGMS DIBERI ANUGERAH PENDIDIKAN

Dalam mengiktiraf kejayaan anak-anak ahli KGMS, seramai 20 daripada mereka menerima Anugerah Pendidikan KGMS peringkat PSLE dalam acara pagi tadi.

(Gambar: Ira Musfirah)

Salah seorang penerima anugerah ialah alumni Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Nadra Sofea Rozaini.

Anak kepada seorang ahli KGMS, Cikgu Nurwani Yacob dari Sekolah Rendah Lakeside itu bakal melanjutkan pelajarannya di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

"Saya harap anugerah ini boleh menjadi pendorong saya untuk membuat lebih bagus lagi di sekolah menengah nanti.

"Ini akan mengingatkan saya untuk sentiasa belajar dengan bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa jika menghadapi cabaran di dalam keadaan yang tidak menentu," kata Nadra Sofea.

Seorang lagi penerima anugerah, Hamzah Sadiq Aidil juga berkongsi kegembiraannya: "Saya rasa berbesar hati kerana dapat anugerah ini. Saya rasa bahawa anugerah ini boleh digunakan sebagai pembakar semangat untuk selalu mendapat keputusan cemerlang."

Bapa Hamzah, Cikgu Aidil Md Idris juga seorang anggota KGMS dan guru di Sekolah Menengah Clementi Town.

Selain sijil, setiap penerima anugerah juga menerima cek bernilai $100.

"Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk anda terus berusaha dan berjaya kelak kerana perjalanan anda untuk menuntut ilmu masih jauh dan tidak akan tamat," kata Cik Rahayu dalam ucapannya.

Sejak diperkenalkan sembilan tahun lalu, Anugerah Pendidikan KGMS sudah diberikan kepada lebih 200 orang anak ahlinya yang cemerlang dalam pelajaran.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan