Skip to main content

Iklan

Iklan

96% pelajar dijangka sudah disuntik dos pertama vaksin sebelum sekolah dibuka semula

Sekitar 297,000 pelajar di Singapura dijangka sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebelum sekolah dibuka semula pada 28 Jun, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (23 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
96% pelajar dijangka sudah disuntik dos pertama vaksin sebelum sekolah dibuka semula

Seorang pelajar menerima suntikan. (Gambar: Kementerian Pendidikan/Facebook)

Diterbitkan : 23 Jun 2021 10:12PM Dikemas Kini : 23 Jun 2021 10:16PM

SINGAPURA: Sekitar 297,000 pelajar di Singapura dijangka sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebelum sekolah dibuka semula pada 28 Jun, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (23 Jun).

Ini membentuk sekitar 96 peratus daripada lebih 310,000 pelajar yang layak mendaftarkan diri untuk janji temu bagi mendapatkan suntikan vaksin sejak 1 Jun, tambah kementerian itu dalam satu kenyataan bersama dengan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

MOE dan SEAB juga sudah menggariskan perincian mengenai langkah-langkah pengurusan selamat bagi ujian lisan PSLE dan GCE.

PELITUP DIWAJIBKAN BAGI UJIAN LISAN

Untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19, semua calon dan pemeriksa ujian lisan dikehendaki memakai pelitup.

Sebelum bermula ujian lisan, para pemeriksa akan meminta calon menyatakan nama dan sekolah mereka dengan terang bagi memastikan mereka boleh mendengar satu sama lain dengan jelas.

Para calon dan pemeriksa dibenarkan meminta antara satu sama lain untuk bercakap lebih kuat atau mengulangi soalan mereka. Papan tanda untuk mengingatkan para calon tentang perkara itu juga akan diletakkan di hadapan mereka. Mereka tidak akan didenda kerana membuat permintaan sedemikian.

Para pemeriksa juga akan mengambil kira pemakaian pelitup sewaktu menilai para calon, menurut MOE dan SEAB.

Langkah-langkah pengurusan selamat yang lain juga akan terus dilaksanakan termasuk pemeriksaan suhu badan dan gejala jangkitan, menghantar pulang calon, membersihkan permukaan yang kerap disentuh dan menggunakan lokasi-lokasi dengan pengalihan udara yang baik seperti dewan dan bilik darjah untuk peperiksaan.

Para calon tidak akan dibenarkan menduduki ujian lisan dan ujian kefahaman mendengar jika mereka mengalami COVID-19, sedang menjalani perintah kuarantin atau Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diberikan cuti ketidakhadiran (LOA).

Disebabkan ujian lisan akan dijalankan sepanjang beberapa hari, mereka yang tidak dapat hadir pada tarikh yang ditetapkan dengan alasan yang munasabah, boleh menduduki ujian itu pada tarikh lain dalam tempoh tersebut atau boleh menduduki ujian lisan pada tarikh lain yang diaturkan, menurut MOE dan SEAB.

Para calon yang tidak dapat mengambil salah satu pilihan boleh memohon pertimbangan khas - satu prosedur yang memberikan calon markah terunjur dengan mengambil kira prestasi mereka dalam peperiksaan-peperiksaan lain bagi sesuatu subjek di peringkat nasional dan berdasarkan peperiksaan sekolah.

Pertimbangan khas juga akan mengambil kira prestasi kohort tahun akhir sesebuah sekolah. Kesemua permohonan akan "dinilai mengikut kes dan akan menjalani proses semakan yang ketat".

CLT TETAP TIDAK DIMASUKKAN UNTUK PSLE

Topik-topik terakhir atau Common Last Topics (CLT) yang tidak dimasukkan ke dalam kurikulum peperiksaan nasional bagi kohort-kohort tahun akhir disebabkan oleh kesan tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan tahun lalu ke atas jadual kurikulum, akan terus dikecualikan untuk peperiksaan PSLE tahun ini.

CLT adalah topik-topik daripada sukatan pelajaran yang dikenal pasti oleh MOE untuk diajarkan paling terakhir kepada kohort-kohort tahun akhir di semua sekolah.

Menurut MOE dan SEAB, sekolah-sekolah berhasil menyorot pengalaman pembelajaran di rumah (HBL) sepanjang tiga minggu setengah pada 2020, lantas membolehkan mereka menjalankan HBL sepenuhnya dengan "lancar" dari 19 Mei hingga 28 Mei.

Mereka dijangka boleh menghabiskan kurikulum yang akan diuji "dalam tempoh masa yang mencukupi" sebelum peperiksaan nasional pada 2021, menurut kedua-dua badan itu.

"Namun, para murid Darjah 6 mungkin menghadapi gangguan tambahan pada pembelajaran mereka berbanding kohort-kohort tahun akhir yang lain kerana jumlah besar murid Darjah 6 masih belum layak menerima vaksin COVID-19 disebabkan usia mereka," tambah MOE dan SEAB.

Dengan penularan varian COVID-19 yang lebih mudah berjangkit, keperluan untuk HBL penuh sesekali dijalankan di sekolah-sekolah rendah "tidak boleh ditolak".

Kemungkinan para murid Darjah 6 tidak dapat belajar dengan berkesan sewaktu HBL juga diambil kira, menurut MOE dan SEAB.

CLT yang tidak akan dimasukkan ke dalam kurikulum PSLE tahun ini adalah seperti berikut:

CCA AKAN DITANGGUH

Penyambungan semula Kegiatan Ko-Kurikular (CCA) secara fizikal akan ditunda sekurang-kurangnya seminggu lagi, tambah MOE dan SEAB.

Sebelum ini, MOE mengumumkan selepas para pelajar pulang ke sekolah pada 28 Jun, CCA akan disambung semula bermula pada minggu kedua Penggal Ketiga.

Sejajar dengan usaha pemerintah menangani situasi COVID-19 yang kian berubah-ubah, CCA di sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millennia akan disambung semula pada 12 Julai, iaitu pada minggu ketiga Penggal Ketiga.

CCA secara fizikal pula akan disambung semula di sekolah rendah pada minggu kelima Penggal Ketiga.

MOE dan SEAB menyatakan bahawa kedua-dua pihak akan terus memantau situasi COVID-19 dan akan memberi kemas kini jika terdapat perubahan lanjut pada aturan-aturan untuk peperiksaan nasional dan kegiatan-kegiatan sekolah.

"Kami berharap langkah-langkah ini akan memberi para pelajar dan ibu bapa mereka ketenangan," kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan