95 warga S'pura antara 10,000 yang hadiri acara tabligh di M'sia di mana warga Brunei positif COVID-19
Pihak berkuasa Malaysia sedang menjejaki seramai 5,000 orang rakyatnya di merata negara kerana dipercayai terdedah kepada virus korona di sebuah acara keagamaan di Selangor, menurut kementerian kesihatan pada Rabu.

(Gambar: M Khairi AL Jawhari/Facebook)
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia sedang menjejaki seramai 5,000 orang rakyatnya di merata negara kerana dipercayai terdedah kepada virus korona di sebuah acara keagamaan di Selangor, menurut kementerian kesihatan pada Rabu.
Acara itu adalah satu perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Selangor, yang berlangsung antara 27 Feb hingga 1 Mac.
Langkah itu dibuat setelah Brunei melaporkan kes pertama COVID-19 pada Selasa (10 Mac). Ini kerana lelaki Brunei berusia 53 tahun itu didapati menghadiri acara di masjid tersebut, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.
“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut maklumat dari laman Buletin TTKM (ttkm.com.my) berhubung acara tabligh itu, 95 warga Singapura adalah antara lebih 1,500 warga luar negara yang menghadiri acara tabligh itu yang dipanggil 'Jhor Qudamak Malaysia 2020'. Hampir 700 warga Indonesia dan lebih 200 warga Filipina turut menghadirinya.

(Gambar: M Khairi AL Jawhari/Facebook)
Dr Noor Hisham dalam pada itu menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh tersebut supaya menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) negeri sekiranya mengalami gejala.
“Sekiranya tidak mengalami gejala, mereka hendaklah mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut,” katanya lagi.
Kementerian itu juga menggesa kesemua individu yang menghadiri acara itu untuk bekerjasama dengan para pegawai kesihatan bagi memastikan COVID-19 tidak terus menular dalam masyarakat masing-masing.
Pada Rabu (11 Mac), Malaysia melaporkan lagi 20 kes COVID-19, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sebanyak 149.
Kerajaan baru di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang mengadakan mesyuarat kabinetnya yang pertama pada hari yang sama, menguatkuasakan larangan masuk terhadap kesemua warga Iran, Itali dan Korea Selatan. Ini kerana ketiga-tiga negara tersebut mencatat penularan virus korona yang teruk.
Warga Malaysia yang pulang dari Iran, Itali dan korea Selatan akan dikuarantin selama 14 hari, menurut Menteri Kesihatan Adham Baba.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.