9 kes baru COVID-19 terkait kelompok Bukit Merah View termasuk 2 murid prasekolah
Sembilan kes baru COVID-19 dalam masyarakat yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat (18 Jun) terkait dengan kelompok Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View, termasuk seorang budak perempuan berusia empat tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun.
SINGAPURA: Sembilan kes baru COVID-19 dalam masyarakat yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat (18 Jun) terkait dengan kelompok Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View, termasuk seorang budak perempuan berusia empat tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun.
Saiz kelompok itu kini meningkat kepada 65 kes.
Terdapat lima kes lain dalam masyarakat, sekali gus membawa jumlah keseluruhan jangkitan dalam masyarakat kepada 14.
Satu kes buat masa ini berhubung kait dengan satu lagi kelompok manakala baki empat tiada sebarang kaitan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
KELOMPOK BUKIT MERAH VIEW
Dua kanak-kanak kecil, seorang budak perempuan berusia empat tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun, adalah dalam kalangan sembilan kes baru yang terkait dengan kelompok Bukit Merah View.
Mereka adalah murid-murid dari Prasekolah PCF Sparkletots di 78A Telok Blangah Street 32 dan kali terakhir pergi ke sekolah pada 21 Mei.
Mereka dikenal pasti sebagai anggota keluarga dan kenalan serumah kepada kes-kes yang dilaporkan sebelum ini. Kedua-duanya sudahpun dikuarantin pada 14 Jun.
Kedua-dua budak itu duji bagi COVID-19 pada 14 Jun dan hasil ujian mereka adalah negatif. Mereka diuji sekali lagi pada 16 Jun. Kedua-dua hasil ujian mereka positif COVID-19 pada 17 Jun.
Kes-kes lain yang sudahpun dikuarantin adalah seorang pesara berusia 69 tahun dan seorang lelaki berumur 39 tahun, yang bekerja sebagai seorang pekerja logistik CKD Singapore.
Kes-kes lain yang berhubung kait dengan kelompok Bukit Merah View termasuk seorang pesara berusia 83 tahun, seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang di Bake King, sebuah kedai bekalan buat kuih di Haig Road, seorang pesara berumur 72 tahun dan seorang pembantu rumah.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 64 tahun yang digajikan KAL Transport sebagai seorang pemandu bas sekolah bagi Tanglin Trust School juga terkait dengan kelompok Bukit Merah View.
KES IMPORT
Terdapat juga dua kes import - kedua-duanya melibatkan rakyat Singapura yang pulang dari Indonesia. Mereka dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.
Tiada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.
Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 16 kes baru COVID-19 pada Jumaat.
Pada Jumaat, Pusat Kegiatan Warga Tua NTUC Health di Henderson dan cawangan NTUC FairPrice di Bukit Merah Central menjadi antara lokasi baru yang ditambah ke dalam senarai tempat yang dikunjungi oleh kes-kes COVID-19 semasa tempoh berjangkit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.