Skip to main content

Iklan

Iklan

8 kelompok baru COVID-19, termasuk di kemudahan Kompleks Selarang Park; kelompok CGH ditutup

Singapura melaporkan lapan kelompok baru COVID-19 pada Sabtu (31 Julai), termasuk satu yang dihubung kait dengan kemudahan penjara di Kompleks  Selarang Park.

Anggaran Waktu Membaca:
8 kelompok baru COVID-19, termasuk di kemudahan Kompleks Selarang Park; kelompok CGH ditutup

Kompleks Selarang Park di Upper Changi. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 01 Aug 2021 02:02PM Dikemas Kini : 01 Aug 2021 02:07PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan lapan kelompok baru COVID-19 pada Sabtu (31 Julai), termasuk satu yang dihubung kait dengan kemudahan penjara di Kompleks Selarang Park.

Kementerian Kesihatan (MOH) juga mengumumkan kelompok di Hospital Besar Changi di Simei ditutup. Kelompok hospital itu mempunyai 20 kes dan sejak 28 hari lalu tidak lagi ada kes jangkitan berkaitan dengannya.

Lima daripada 117 kes tempatan baru pada hari Sabtu dikaitkan dengan Institusi S2 di Kompleks Selarang Park. Kelompok itu mempunyai enam kes.

Kompleks di Upper Changi Road North itu diuruskan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura.

Tujuh kelompok baru yang lain hanya dikenal pasti dengan nombor kes individu.
Kini terdapat 71 kelompok aktif di sini, masing-masing mempunyai antara tiga hingga 1,027 kes.

7 KES DALAM KEADAAN KRITIKAL

Jumlah pesakit COVID-19 dengan jenis penyakit serius yang memerlukan oksigen untuk membantu mereka bernafas meningkat kepada 33 orang. Jumlah ini adalah yang tertinggi buat sekurang-kurangnya 28 hari lalu dan berbanding 26 pesakit pada Jumaat.
Selain itu, terdapat tujuh pesakit dalam keadaan kritikal di bawah jagaan rapi.

Dalam kalangan 40 pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan atau rawatan rapi, tiga daripadanya sudah menerima kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Mereka juga mempunyai sejarah keadaan perubatan lain.

MOH menyatakan dalam kalangan 26 warga emas berusia lebih 60 tahun pula, 24 tidak mendapatkan vaksinasi atau hanya satu dos suntikan, dan kini sakit teruk.

Menurut data MOH lagi, bagi 33 pesakit yang memerlukan sokongan oksigen, 22 daripadanya berusia lebih 60 tahun, lima berumur antara 40 dengan 60 tahun, manakala enam yang lain berusia antara 19 dengan 39 tahun.

Empat daripada tujuh pesakit di bawah rawatan intensif berusia lebih 60 tahun, sementara bakinya berumur antara 40 hingga 60 tahun.

“Selama tempoh 28 hari lalu, 49 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke unit rawatan rapi, atau meninggal dunia. Seramai 28 tidak divaksinasi, 18 menerima suntikan dos pertama dan tiga menerima vaksinasi penuh,”kata MOH.

Sehingga Sabtu, terdapat 604 pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital.

Dalam pada itu, MOH menyatakan pihaknya sedang menyiasat kes jangkitan melibatkan pasar dan pusat makanan, yang mungkin bermula daripada penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong. Kelompok itu merupakan kelompok koronavirus aktif terbesar di Singapura dengan sebanyak 1,027 kes.

Mereka yang mengunjungi pasar dan pusat makanan tertentu dalam tempoh dua minggu lalu akan diberi kit ujian sendiri COVID-19 secara percuma.

Kit tersebut boleh diambil hari ini dan esok (1-2 Ogos) di pusat jawatankuasa penduduk (RC) di Pasar 497 Jurong West Street 41 dan Pasar Fajar.

KES COVID-19

Setakat Sabtu terdapat 117 kes COVID-19 dalam masyarakat, termasuk 42 yang tidak berkaitan dengan jangkitan sebelumnya.

Lagi 26 kes dikaitkan dengan kelompok di Pelabuhan Perikanan Jurong, menjadikan jumlahnya 1,027.

Kelompok melibatkan kelab karaoke (KTV) pula bertambah satu kepada 251 kes.

Terdapat juga tiga kes import. Satu kes dikesan sebaik tiba di Singapura manakala dua yang lain menghidap penyakit ini semasa dalam pengasingan.

Secara keseluruhan, Singapura mengesahkan 120 jangkitan baru COVID-19 pada Sabtu.

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada 868 pada minggu lalu, daripada 1,027 pada minggu sebelumnya.
Jumlah kes dalam masyarakat yang tidak diketahui sumber jangkitan meningkat kepada 273 minggu lalu, berbanding 99 pada minggu sebelumnya.

Singapura mencatatkan 64,981 kes COVID-19 dan 37 kematian sejak bermulanya pandemik ini.

VAKSINASI

Sehingga Jumaat, lebih 7.5 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada kira-kira 4.3 juta orang, kata MOH.

Sekitar 3,33 juta penduduk sudah menerima vaksinasi penuh - iaitu dua dos vaksin, atau satu dos bagi pesakit COVID-19 yang telah sembuh.

Sehingga Jumaat, 59 peratus penduduk telah selesai menjalani rejimen vaksinasi penuh mereka dan 77 peratus pula menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Selain itu, 102,840 dos vaksin Sinovac dari China telah diberikan kepada 73,793 individu. 

Sumber : Today/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan