77 individu didenda langgar peraturan COVID-19; penguatkuasaan dipertingkat
Seramai 77 individu didenda atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19 di taman-taman sejak Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) berkuat kuasa.

Akses masuk sebuah taman. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Seramai 77 individu didenda atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19 di taman-taman sejak Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) berkuat kuasa, dedah Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Jumaat (11 Jun).
Para individu itu melanggar langkah-langkah pengurusan selamat di taman-taman yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara (NParks). Sesetengah daripada mereka berkumpul dalam kumpulan-kumpulan melebihi dua orang manakala ada pula yang tidak memakai pelitup meskipun mereka tidak melakukan senaman.
MSE menyatakan dua kumpulan merangkumi lapan individu ditemui berkumpul di Taman Pantai Changi dan Taman East Coast.
NParks juga mengeluarkan lebih 6,000 surat makluman kepada individu-individu kerana tidak memakai pelitup dan lebih 800 surat makluman kerana berhimpun dalam kumpulan dengan lebih dua orang.
Demi memastikan taman-taman kekal selamat untuk semua orang, NParks akan terus menutup akses kepada sesetengah taman buat sementara waktu selain menutup sebahagian kawasan pantai, lapangan rumput dan kemudahan apabila terlalu ramai orang ke sana atau selagi orang ramai enggan mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat, tegas MSE.
Orang awam dinasihati merujuk kepada portal Safe Distance @Parks untuk maklumat terkini tentang kadar pengunjung sebelum pergi ke taman-taman.
PENGUATKUASAAN DIPERTINGKAT DI TAMAN, ESTET HDB
Dalam pada tu, MSE menyatakan ia sudahpun mempertingkatkan penguatkuasaan di tempat-tempat seringnya berlaku pelanggaran termasuk taman-taman dan kawasan-kawasan estet perumahan HDB yang digunakan orang ramai seperti gelanggang bola keranjang dan astaka.
Demikian menyusuli maklum balas awam dan pemerhatian di lapangan terhadap kawasan-kawasan di mana langkah-langkah pengurusan selamat seringkali dilanggar.
Di mana langkah-langkah pengurusan selamat dilanggar berkali-kali, MSE akan menutup kemudahan itu demi keselamatan masyarakat, tekan agensi itu.
"Oleh itu, kami menggesa orang awam menggunakan kemudahan-kemudahan ini dengan bertanggungjawab," tegas MSE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.