Skip to main content

7 kes baru COVID-19 dalam masyarakat di Singapura, kelompok baru berkait pengurus KTV

Sebanyak tujuh jangkitan baru COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan di Singapura pada Jumaat (4 Jun), jumlah paling rendah dalam tempoh lebih tiga minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
7 kes baru COVID-19 dalam masyarakat di Singapura, kelompok baru berkait pengurus KTV

Pheonix Entertainment Karaoke TV Music Lounge. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 04 Jun 2021 11:54PM Dikemas Kini : 05 Jun 2021 12:00AM

SINGAPURA: Sebanyak tujuh jangkitan baru COVID-19 dalam masyarakat dilaporkan di Singapura pada Jumaat (4 Jun), jumlah paling rendah dalam tempoh lebih tiga minggu.

Hanya satu kes yang tidak mempunyai kaitan dengan kes sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini pada Jumaat malam. Enam kes lain dikaitkan dengan jangkitan terdahulu dan sudah dikuarantin.

Jumlah kes baru dalam masyarakat itu adalah yang paling rendah dicatatkan sejak 10 Mei apabila tiga jangkitan dilaporkan.

Sejak itu, jumlah kes harian dalam masyarakat kekal dua angka.

Enam kes import juga dilaporkan hari ini, yang terdiri daripada dua warga Singapura dan empat penduduk tetap yang pulang dari India dan Amiriah Arab Bersatu. Semuanya sudah dikenakan notis jangan keluar setibanya di Singapura.

Tidak ada jangkitan baru dilaporkan di dormitori pekerja hijrahan.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 13 kes baru COVID-19 pada Jumaat.

2 KELOMPOK BARU, SATU BERKAIT PENGURUS KARAOKE

Dua kelompok baru dikenal pasti.

Salah satu dikaitkan dengan lelaki Singapura berusia 68 tahun yang bekerja sebagai pengurus di Phoenix Entertainment Karaoke TV Music Lounge. Beliau diuji positif pada 30 Mei.

Dua kes masyarakat yang dilaporkan pada Jumaat adalah kontak isi rumah pengurus KTV itu. Kes pertama adalah wanita Singapura berusia 64 tahun yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di KTV berkenaan.

Wanita itu sudah menerima vaksin penuh, dan kali terakhir pergi kerja pada 15 Mei. Wanita itu dikuarantin pada 30 Mei dan diuji negatif COVID-19 pada 31 Mei. Beliau tidak mengalami gejala, dan dikesan apabila diuji lagi pada 2 Jun.

Hasil ujian serologinya negatif bagi antigen N, yang menunjukkan adanya jangkitan awal, kata MOH.

Satu lagi kes adalah lelaki Malaysia berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pembersih kereta di Kok Wang Car Grooming. Beliau adalah kontak isi rumah pengurus dan pekerja pembersihan tersebut dan dikuarantin pada 30 Mei.

Beliau diuji negatif COVID-19 pada 31 Mei. Lelaki itu tidak mengalami simptom, dan dikesan ketika diuji lagi pada 3 Jun. Hasil ujian serologinya negatif. Kelompok ini kini mempunyai tiga jangkitan.

Kelompok baru kedua dikaitkan dengan suri rumah Singapura berusia 56 tahun.

Dua kes baru dikaitkan dengannya. Kelompok ini kini mempunyai empat jangkitan yang disahkan.

Kes baru yang dilaporkan pada Jumaat adalah seorang warga Singapura berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pegawai teknikal di Fugro Singapore Land dan seorang wanita Singapura berusia 31 tahun yang bekerja sebagai anggota pentadbiran di Citibank.

Kedua-duanya adalah anggota keluarga dan kontak keluarga wanita berusia 56 tahun dan satu kes dalam kelompok itu.

KELOMPOK PEKERJA PEMBERSIHAN HONG YE GROUP

Dua lagi kes dikaitkan dengan kelompok pekerja pembersihan Hong Ye Group, menjadikan jumlah jangkitan dalam kelompok itu menjadi 27 orang.

Kes pertama adalah pelajar Singapura berusia lapan tahun yang sudah dikuarantin. Pelajar Sekolah Rendah Fuhua itu kali terakhir pergi sekolah pada 18 Mei dan merupakan ahli keluarga dua kes COVID-19 sebelumnya.

Budak lelaki itu dikuarantin pada 1 Jun dan diuji pada 2 Jun. Dia mengalami batuk dan demam pada hari yang sama dan hasil ujiannya positif COVID-19 pada 3 Jun. Hasil serologinya negatif.

Kes kedua berkaitan kelompok ini adalah lelaki Singapura berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu di Wongso Limousine Services, dan dikerahkan oleh Certis Cisco untuk membawa mereka yang dikenakan kuarantin di kemudahan kuarantin pemerintah.

"Di tempat kerja, beliau menggunakan peralatan pelindungan diri (PPE), termasuk pelitup N95, pelindung muka, gaun dan sarung tangan," kata MOH.

Beliau telah membawa dua kes di dalam kenderaannya pada 23 Mei yang kemudian disahkan COVID-19, dan dikaitkan dengan kelompok pekerja pembersihan Hong Ye Group. Pemandu itu demam pada 1 Jun dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah hospital pada 3 Jun, di mana beliau diuji bagi COVID-19.

Hasil ujiannya positif COVID-19 pada hari yang sama dan keputusan ujian serologinya belum selesai.

PELAJAR HWA CHONG SATU-SATUNYA KES TIDAK BERKAIT

Satu-satunya kes yang tidak berkait melibatkan pelajar Singapura berusia 19 tahun di Institusi Hwa Chong. Remaja itu kali terakhir pergi sekolah pada 18 Mei.

Dia mengalami demam, sakit tekak dan sengal otot pada 2 Jun dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik pada 3 Jun, di mana dia menjalani ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR). Remaja itu segera diasingkan apabila hasil ARTnya kembali positif.

Keputusan ujian PCRnya juga positif COVID-19 pada hari yang sama sementara keputusan ujian serologinya belum selesai.

LAGI 23 PESAKIT DIBENAR PULANG

Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat dari 137 kes pada minggu sebelumnya kepada 139 kes pada minggu lalu.

Jumlah kes yang tidak berkaitan dalam masyarakat juga meningkat dari 21 kes pada minggu sebelumnya kepada 23 kes pada minggu lalu.

Sebanyak 74 daripada 188 kes yang dilaporkan dari 29 Mei hingga 4 Jun, diuji positif bagi ujian serologi mereka sementara 99 daripadanya negatif. 15 keputusan ujian serologi lagi belum selesai.

Sebanyak 23 lagi pesakit deibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah kes yang sembuh sepenuhnya di Singapura kepada 61,580.

Terdapat 229 kes masih di hospital. Sebilangan besarnya stabil atau bertambah baik, dan dua berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. 316 kes lain diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Singapura melaporkan 62,158 kes COVID-19 sehingga Jumaat dengan 33 kematian akibat penyakit itu. 

Sumber : CNA/SS/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita