Skip to main content

Iklan

Iklan

69 jangkitan tempatan COVID-19 di S'pura; kelompok baru dikesan di pusat dialisis NKF

Singapura melaporkan 69 kes tempatan baru COVID-19 pada Isnin (9 Ogos). Satu kelompok baru dikesan di Pusat Dialisis Sakyadhita Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) yang terletak di Blok 19 Upper Boon Keng Road.

Anggaran Waktu Membaca:
69 jangkitan tempatan COVID-19 di S'pura; kelompok baru dikesan di pusat dialisis NKF

Pusat Dialisis Sakyadhita Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) di Blok 19 Upper Boon Keng Road. (Gambar: NKF)

Diterbitkan : 09 Aug 2021 11:11PM Dikemas Kini : 09 Aug 2021 11:13PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 69 kes tempatan baru COVID-19 pada Isnin (9 Ogos). Satu kelompok baru dikesan di Pusat Dialisis Sakyadhita Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) yang terletak di Blok 19 Upper Boon Keng Road.

20 daripada kes tempatan baru COVID-19 itu tidak berhubung kait dengan kes-kes terdahulu.

39 kes yang terkait dengan kes-kes lalu sudahpun dikuarantin dan baki 10 kes dikesan melalui ujian pemantauan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dalam kalangan kes baru COVID-19 itu, dua adalah warga tua berusia 70 tahun ke atas yang belum divaksin atau sudahpun menerima suntikan pertama vaksin dan berisiko mengalami penyakit serius, menurut kementerian tersebut.

Selain itu, tiga kes import dilaporkan dan kesemuanya sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura. Satu kes dikesan sewaktu tiba di negara ini manakala dua kes mengalami penyakit itu ketika menjalani SHN atau tempoh pengasingan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 72 kes baru COVID-19 pada Isnin.

Kelompok pusat dialisis NKF itu, dengan tiga kes dikaitkan dengan pusat dialisis tersebut, juga merupakan satu-satunya kelompok baru COVID-19 yang dilaporkan pada Isnin.

Dua kes lain ditambah pada kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar dan Pusat Penjaja Hong Lim, sekali gus membawa jumlah terkumpul daripada kelompok itu kepada sebanyak 1,148 kes. Ia kekal sebagai kelompok aktif terbesar di Singapura.

Setakat Isnin, terdapat 131 kelompok aktif di Singapura.

10 KES DALAM KEADAAN TENAT

Sejumlah 527 kes masih dirawat di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan baik dan diletakkan di bawah pemantauan, menurut MOH.

Terdapat 35 kes sakit teruk yang memerlukan sokongan oksigen tambahan dan 10 dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Tujuh daripada 45 kes itu sudahpun divaksin sepenuhnya. Daripada jumlah itu, lima kes memerlukan sokongan oksigen tambahan manakala dua kes memerlukan jagaan ICU kerana mereka mempunyai masalah perubatan sedia ada.

Seramai 34 orang berusia 60 tahun ke atas - 28 daripada mereka belum divaksin sama sekali atau sudah menerima suntikan dos pertama - kini sakit teruk, menurut MOH.

70% PENDUDUK S'PURA LENGKAP DIVAKSIN

Setakat Ahad, 70 peratus penduduk Singapura sudahpun selesai menjalani rejimen vaksinasi lengkap dengan menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi negara.

Sekitar 79 peratus penduduk pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin.

"Rejimen lengkap merujuk kepada para individu yang sudahpun menerima kedua-dua dos vaksin atau satu dos vaksin bagi individu yang pulih daripada jangkitan COVID-19," jelas MOH.

Selain itu, 131,497 vaksin Sinovac sudahpun diberikan setakat Ahad, lantas memberikan perlindungan kepada 81,709 individu.

"Terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi berupaya membantu mencegah penyakit serius apabila seseorang dijangkiti koronavirus," menurut MOH.

Sepanjang tempoh 28 hari yang lalu, 99 kes jangkitan tempatan memerlukan sokongan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Seramai 60 daripada mereka langsung belum divaksin, 28 sudah menerima suntikan dos pertama vaksin dan 11 sudah lengkap divaksin.

TREND KES TEMPATAN

Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada 526 kes pada minggu lalu berbanding 835 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes dalam masyarakat tanpa hubung kait juga berkurangan kepada 149 kes pada minggu lalu berbanding 261 kes pada minggu sebelumnya.

Setakat Isnin, jumlah terkumpul kes COVID-19 di Singapura adalah 65,836 kes, dengan 42 korban jiwa akibat jangkitan koronavirus itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan